Khairy yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau berkata sikap agresifnya perlu terutama untuk melawan pembangkang dan tidak kisah sekiranya sikap itu dijadikan modal pembangkang untuk memburuk-burukkannya.

"Sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, memang saya agresif untuk melawan pembangkang. Mungkin bagi orang PAS, itu mungkin boleh menjadi modal politik yang baik, tapi saya tahu penyokong BN faham sikap sebegitu perlu untuk membawa perubahan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Khidmat Rakyat Bukit Tuku, di Pasir Mas Isnin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang yang juga calon Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku Datuk Mohd Zain Ismail; calon bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang Afandi Yusoff; calon kerusi negeri kawasan Gual Periuk Datuk Shaari Mat Hussain dan calon kerusi DUN Meranti, Abdullah Mat Yassin.

Khairy berkata pembangkang sudah kehabisan modal apabila sentiasa menjadikan statusnya selaku menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai bahan kempen dan ceramah mereka.

Bernama melaporkan beliau membidas tindakan pembangkang menjadikan perkara itu sebagai satu isu besar sedangkan senario 'saudara mara' dalam politik, katanya, turut berlaku dalam kalangan mereka.

"Saya tak faham kenapa mereka nak mainkan isu saya menantu Perdana Menteri sedangkan ada juga anak pemimpin pembangkang yang terlibat dalam politik," katanya.

Beliau memberi contoh Nurul Izzah, anak perempuan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah sebagai calon PKR akan berdepan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Anak penasihat DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng pula akan bertanding di kawasan Parlimen Bagan, manakala anak pengerusi DAP Karpal Singh, Gobind Deo Singh pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Puchong.- 3/2/2008