Pages

Wednesday, April 30, 2008

Pandithan meninggal dunia di HKL

KUALA LUMPUR: Presiden Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Tan Sri MG Pandithan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 8.30 pagi ini.

Pandithan, 68, dilaporkan meninggal dunia akibat kanser.

Turut berada di sisi sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah isterinya, Puan Sri Jevashree Pandithan.

PERAK: PENGARAH JAIP DI TUKAR KE PEJABAT SUK

IPOH, 30 April :-Menteri Besar perak, Dato' Seri Ir.Mohammad Nizar yang genap 43 hari menjadi Menteri Besar menjelaskan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury Jamry itu adalah sesuatu yang ‘normal’ dari segi prosedur pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, Jamry ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan penggantinya di JAIP akan diumumkan kemudian.

Jamry dilantik memegang jawatan Pengarah JAIP sejak tahun 2004. Sebelum itu, beliau ialah Pegawai Daerah Kuala Kangsar.

Beliau kemudian menegaskan bahawa arahan pertukaran tersebut adalah sesuatu yang biasa dan tiada apa-apa yang negatif mengenainya.

“Sebelum ini juga terdapat beberapa pertukaran dan perpindahan beberapa pegawai kerajaan negeri, tetapi ia tidak dihebahkan kepada umum.

“Bertukar atau naik pangkat dalam pentadbiran adalah perkara biasa. Kita ada Timbalan SUK (Setiausaha Kerajaan) ditukarkan... naik pangkat pergi ke ibu pejabat, ini biasa.

“Anda patut kemukakan soalan ini kepada Menteri Besar yang dulu bila dia masuk-masuk sahaja, dia malah menukarkan SUK... saya tidak,” katanya pada sidang media selepas satu majlis di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini petang ini.

Mohammad Nizar turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dan Jamry hingga menyebabkan Jamry ditukarkan.

Jamry, 48, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai arahan itu, tetapi memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini.“Setakat ini, saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu.“Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan selepas menghadap Sultan,” kata beliau.

Dalam laporan utusan hari ini , tanpa menjelaskan sumber yang jelas diberitakan kononnya Jamry diarah bertukar serta-merta dalam tempoh 24 jam oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas.

Utusan dilaporkan cuma menjelaskan "Menurut sumber kerajaan negeri" Siapakah yang didakwa sumber kerajaan negeri itu ? dan bila dia ditugaskan untuk mengeluarkan kenyataan seperti hendak menangguk diair yang keruh ?

Sebagai warga Perak yang sayangkan institusi pentadbiran agama Islam, saya sangat yakin semua rakyat akan berdiri teguh dibelakang Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat. Kalau hendak tahu siapa dia Jamry tanyalah pegawai dibawahnya? dan tahulah siapakah dia yang sebenarnya?


Diposting oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Kuil: Dr Khir, jangan salahkan MIC

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu meminta bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo supaya berhenti membuat tuduhan tidak berasas berhubung kekalahan Barisan Nasional di negeri itu dalam pilihanraya umum lalu.

"Beliau berkata saya telah memberi persetujuan agar kuil (di Kampung Rimba Jaya dekat Shah Alam) dirobohkan pada 15 November.

"Saya ingin jelaskan bahawa kuil itu telahpun dirobohkan pada pertengahan Oktober," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kenapa beliau tidak sebut sayalah orangnya yang merayu kepada beliau dan perdana menteri supaya menghentikan rancangan asal untuk merobohkan kuil itu," katanya dalam laporan Bernama.

Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, Dr Mohamad Khir mendakwa Samy Vellu menelefon beliau agar bertindak terhadap kuil itu kerana ia digunakan sebagai tempat upacara penyokong Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

'Henti bercakap'

Dr Mohamad Khir berkata Samy Vellu menelefonnya pada malam 15 November dan memberitahunya bahawa penyokong Hindraf telah menyusup masuk ke kuil itu dan ia perlu dirobohkan malam itu juga.

"Tetapi kuil itu telahpun dirobohkan dan patung-patungnya dipindahkan pada akhir Oktober.

"Apa lagi nak dirobohkan, dan kenapa pula saya harus minta supaya sebuah kuil, yang sudah dirobohkan, dirobohkan lagi," kata Samy Vellu.

Beliau berharap Dr Mohamad Khir berhenti mencari alasan bagi kekalahan BN di Selangor.

"Permintaan saya kepada beliau ialah supaya berhenti bercakap mengenai semua ini. Marilah kita kukuhkan kembali BN," katanya.

Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan

KUALA LUMPUR, 30 April, Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat.

"Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya.

Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. - mks.

Tuesday, April 29, 2008

5 tokoh Perjuang Sepanjang Zaman

http://5tokoh.blogspot.com

Lima Tokoh Pejuang Malaysia

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Ditulis oleh Saari Sungib

Latar Belakang

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna “amat pintar” adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da’irat Al-Ma’arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan
Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma’arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol. Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti “menghidupkan kemuliaan”. Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974. Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya. Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia. Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk “berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing”.

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir. Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu. MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR. LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan. Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu. Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.

LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu. Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.

Ku Li sanggah Abdullah: Perlembagaan Umno benarkan EGM

KUALA LUMPUR, 29 April - Perlembagaan Umno membenarkan bahagian-bahagian parti mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini, seperti dilaporkan Bernama.

"Perlembagaan parti membenarkannya. Saya bukan kata ia bertentangan dengan semangat (parti) tetapi jika mahu mengadakan mesyuarat agung, tiada yang dapat menghalangnya. Ia dibenarkan oleh perlembagaan.

"Tetapi sama ada mereka boleh mendapatkan sebanyak mana (bahagian) untuk mengadakan mesyuarat serupa supaya mereka dapat mengadakan perhimpunan agung luar biasa, itu merupakan perkara berbeza," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sidang pertama Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Tengku Razaleigh, yang juga anggota Parlimen Gua Musang, mengulas kenyataan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya semua bahagian parti berhenti mengadakan EGM untuk membincangkan masalah parti dan menggesa pemimpin meletak jawatan.

Tengku Razaleigh berkata ini akan hanya menggalakkan akar umbi menyuarakan pendapat mereka secara tidak mengikut undang-undang. "Pemimpin menggesa anggota parti berjumpa mereka. Kenapa mereka tidak menggalakkan mereka mengadakan mesyuarat mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti," katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Abdullah berkata daripada mengadakan mesyuarat bagi mendesak peralihan kuasa sebelum pemilihan parti Disember ini, anggota Umno sepatutnya menumpukan kepada perkara berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Lagipun, beliau berkata pucuk pimpinan sudah menerima dan memahami kehendak akar umbi.

Tengku Razaleigh berkata kurangnya mesyuarat dan perundingan akan hanya melemahkan parti.

"Perasaan rakyat tidak dapat dikawal. Jika mahu menjadi stereotaip, dengan itu hanya perlu menulis semuanya dalam sekeping kertas untuk mereka ikuti, ulangi apa yang kita mahu mereka katakan. Tetapi ini sebuah negara merdeka dan semua orang berhak menyuarakan apa yang mereka mahu katakan. Sama ada apa yang mereka katakan itu betul atau tidak, biar rakyat menentukannya," katanya.

Ditanya sama ada banyak bahagian merancang untuk mengadakan EGM, Tengku Razaleigh berkata terdapat mereka yang telah bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat itu.

Bekas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu Bernama bahawa mengadakan EGM pada masa ini hanya membazirkan masa kerana perhimpunan agung parti akan diadakan pada Disember.

"Tidak banyak masa yang ada untuk mengadakannya (EGM). Jika mereka mahu lakukan, misalnya, mencadangkan usul untuk memansuhkan sistem kuota, mereka perlukan separuh daripada jumlah bahagian untuk mengadakan EGM. Hanya selepas itu baru boleh mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

"Tetapi mesyuarat peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi, pada Julai, jadi tidak ada cukup masa untuk mengadakannya, walaupun ia dibenarkan oleh perlembagaan," katanya.

Anggota Parlimen Jerlun Dato' Mukhriz Tun Mahathir juga tidak bersetuju dengan gesaan Presiden Umno supaya bahagian parti tidak lagi mengadakan EGM kerana ia merupakan hak anggota parti.

"Saya ingat tidak sesuai untuk Presiden menyatakan EGM tidak diperlukan kerana ini hak ahli di peringkat bahagian untuk memutuskan sama ada EGM itu diperlukan atau tidak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Mukhriz berkata, jika ada bahagian yang mahu terus mengadakan EGM, mereka tidak patut dihalang.

Katanya beliau berharap ketua-ketua cawangan Umno diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing melalui sesi soal jawab pada perjumpaan dengan presiden parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kalau mereka datang dari seluruh negara berjumpa dengan presiden tetapi jika tidak diberi peluang untuk bercakap, maka saya ingat itu tidak bermakna. Biarlah mereka menyampaikan maklumat dan isi hati mereka secara langsung kepada presiden," katanya.

Monday, April 28, 2008

Umno Terengganu fail tiga lagi petisyen pilihan raya

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan tiga petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berhubung salah laku penyokong dan pemimpin PAS pada Pilihan Raya Umum ke12, 8 Mac lepas.

Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid berkata petisyen itu, yang difailkan melalui firma guaman Ahmad Shahbudin & Co kirakira 2.30 petang, membabitkan kawasan Parlimen Marang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan DUN Manir.

Dalam petisyen itu, beliau berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai responden (sebagai wakil rakyat) bagi kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang manakala Datuk Harun Taib (Adun) bagi kawasan DUN Manir.

"Umno mempunyai asas kukuh serta saksi yang sanggup tampil membuktikan apa yang dilakukan itu melanggar dan bercanggah dengan undang-undang kerana menghalang hak rakyat untuk keluar mengundi dalam negara demokrasi ini," katanya kepada pemberita di pejabat Umno negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu memfailkan petisyen di mahkamah yang sama pagi ini, memohon supaya sebanyak 1,089 undi pos dikeluarkan sebagai undi yang dikira bagi keputusan kerusi Parlimen Kuala Terengganu semasa pilihan raya umum lepas.

Mohamad Sabu yang tidak hadir di mahkamah, memfailkan petisyen itu melalui peguam Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab daripada firma guaman Aziz & Co dan diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed kira-kira 11.30 pagi.

Pada pilihan raya umum lepas di Parlimen Kuala Terengganu yang membabitkan pertandingan tiga penjuru, Mohamad Sabu tewas dengan majoriti 628 undi.

Beliau memperoleh 31,934 undi manakala Datuk Razali Ismail dari BN memperoleh 32,562 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Semalam Umno Terengganu memfailkan petisyen di mahkamah yang sama, memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi DUN Ladang yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada hari pengundian. BERNAMA

Kem ISA wajar dipindahkan dari Perak

Subky Abdul Latif [Mon | Apr 28, 08 | 8:02:49 pm MYT ]

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin ketika mengadakan kunjungan rasmi kepada Perdana Menteri membangkitkan tapak khemah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kamunting, sedang parti yang memerintah Negeri Perak sekarang adalah menentang ISA.

Tidak pasti apa perincinya yang mereka bincang, tetapi yang jelas ketiga parti yang membentuk kerajaan campuran di Perak iaitu PAS, DAP dan KeADILan adalah menentang ISA dan mahu ISA dimansuhkan.

Kerajaan Perak tiada kuasa untuk memansuhkan ISA kerana ia adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat. Tetapi tentulah kerajaan Perak merasa tidak senang sesuatu yang dibenci dan dikutuknya berkhemah dalam wilayahnya.

Maka secara terhormat adalah munasabah kalau Perak minta Kerajaan Persekutuan memindahkan khemah tahanan ISA itu dari Kamunting ke negeri yang lain.

Adalah dipercayai empat lagi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tidak sedia menimbangkan wilayah mereka untuk dijadikan tapak baru khemah undang-undang yang mereka sifatkan zalim itu.

Setakat ini Pahang dan Johor yang masih dikira kubu kuat BN yang tidak lagi tergugat tentu bersedia memberikan tanahnya untuk akta yang terkutuk itu. Kedua-dua negeri itu masih punya banyak kawasan yang belum diteroka, maka boleh dijadikan tapak khemah ISA yang baru.

Bukan suatu yang mudah bagi kerajaan Perak untuk mengusirkan khemah itu keluar dari Kamunting. Tentu ada perjanjian antara kedua kerajaan tentang tanah yang dijadikan khemah tahanan itu. Apa jua yang hendak dilakukan atas perkara itu terpaksa merujuk kepada persetujuan pemberian kawasan itu dulu.

Dulu tiada kerajaan yang menentang ISA. Tetapi sekarang mulai banyak kerajaan negeri yang menentang ISA. Kesemua parti pembangkang yang menguasai lima buah negeri sepanjang masa menjadikan ISA sebagai agenda yang perlu dimansuhkan.

Janji itu dibuat dalam setiap pilihan raya, baik pilihan raya umum mahu pun pilihan raya kecil. Ia adalah janji yang ditawarkan oleh mereka kepada rakyat.

Dalam pilihan raya pada 8 Mac lalu, majoriti pengundi di lima negeri itu mengundi mereka. Antara yang mereka setuju itu adalah untuk memansuhkan ISA.

Yang masih berdegil untuk mengekalkan ISA ialah BN. Maka secara sukarela wajarlah Kerajaan Pusat menimbangkan untuk keluar dari Kamunting jika diminta oleh kerajaan negeri itu.

Kawasan yang dijadikan khemah tahanan itu agak luas. Dalam rangka pelaksanaan program pembangunan koridor utara yang sudah dilancarkan itu, ia adalah sesuai untuk dibangunkan bagi satu-satu projek yang menjana kemajuan negeri Perak.

Mungkin ia boleh dijadikan kampus pengajian tinggi yang baru. Perak yang ramai penduduknya tentu memerlukan sebuah universiti. Jika nama ISA itu hendak dikekalkan tiada masalah, asal jangan untuk menahan rakyat tanpa bicara.

Jika kerajaan Perak hendak menjadikannya tapak kampus yang memakai nama ISA, maka boleh dinamakan Institut Sains Awam singkatnya ISA atau Institut Sultan Azlan juga singkatnya ISA.

Apa isi kampus itu boleh ditentukan oleh penduduk Perak, tetapi yang penting nama ISA boleh dipakai untuk tujuan yang baik, bukan untuk menindas seperti yang digunakan oleh BN selama lebilh 50 tahun lalu.

Adalah jauh lebih bermakna bagi ISA sama ada Institut Sains Awam atau Institut Sultan Azlan dijadikan tapak bagi membina modal insan yang seramai-ramainya yang diperlukan oleh masyarakat dan negara ssekarang, bukan dijadikan kawasan membunuh jiwa insan seperti yang berlaku selama ini.

Dato' Seri Nizar membangkitkan isu itu untuk difikirkan oleh Perdana Menteri bagaimana suatu yang tidak disukai oleh kerajaan Perak sekarang dibiarkan terus berada di dalam wilayahnya.

Tentunya kerajaan Perak tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai suatu yang boleh menghalang kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Belum pada peringkat ini kerajaan Perak hendak memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat, tetapi yang diperlukan ialah bagaimana kerajaan menggunakan kebijaksanaannya menghormati keputusan pengundi di negeri itu.

Tentulah Menteri Besar Perak itu tidak bertujuan untuk menambah beban dan tekanan yang sedang dihadapi oleh Perdana Menteri gara-gara prestasi menjunamnya dalam pilihan raya lalu.

Perdana Menteri perlu dibantu oleh Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato Syed Hamid Albar menimbang secara berhemat dan tidak menegangkan isu itu hingga menggawatkan lagi beban yang dihadapi Umno sekarang.

Kerajaan Persekutuan tidak wajar menganggap keputusan pengundi Perak itu sebagai satu perkembangan sementara. Ia jangan menjadikan perkembangan di Terengganu dulu akan berlaku pula di negeri-negeri yang ia kalah sekarang.

Dulu BN dilihat elok dan Perdana Menterinya juga dilihat elok. Tetapi sekarang Umno sendiri pun mula melihat semuanya sudah tidak elok. Maka adalah baik bagi Kerajaan Pusat mencari kawasan khemah baru di negeri yang ia tidak dilihat hodoh.

Jangan gunakan kuasa bagi menyelesaikan isu yang sangat ringan ini. Ia mesti berfikir bukan lagi mudah untuk mendapatkan kembali kuasa yang sudah terlucut. Yang terjadi di Terengganu itu adalah satu nasib baik. Tetapi nasib baik tidak semesti berlaku di semua tempat.

Perak tidak berkuasa untuk memansuhkan ISA dengan kuasa yang ada padanya, tetapi ia tidak mahu Kamunting terus menyakitkan mata kerajaan negeri.- tajdid

Penyapu bukan punca BN hilang S'gor

Bekas menteri besar Selangor menafikan "anugerah penyapu" kepada seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca BN kalah teruk sehingga negeri itu kini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata sebahagian besar faktor tidak ditentukan oleh negeri tetapi "akibat faktor-faktor nasional" di luar pengaruh negeri itu.

"Saya tidak bersetuju, kalau faktor penyapu menyumbang kepada kekalahan negeri Selangor.

"Apa telah berlaku di Pulau Pinang, apa telah berlaku di Kedah, Perak dan juga Wilayah Persekutuan? Itu semua isu politik bila mana kita menafikan, sindrom sangkalan kita," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

Beliau diminta mengulas tuduhan dua akhbar utama Akhbar Berita Harian, senada dengan New Straits Times, pada 16 April yang mendakwa isu anugerah penyapu, keris dan perobohan kuil sebagai punca-punca yang menyumbang ketewasan teruk BN dalam pilihanraya umum ke-12.

Melalui lidah pengarang yang jarang-jarang dimuatkan di halaman muka depan, dua akhbar itu menyatakan: "Ada yang mahu (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) seorang saja bertanggungjawab atas kekalahan (pilihanraya umum 8 Mac) itu sedangkan mereka terlepas daripada tanggungjawab itu.

"Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama, disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk pada pilihan raya umum lalu."

Tindak-tanduk yang dimaksudkan itu termasuklah upacara menghunuskan keris oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein di persidangan agung Pemuda yang "mengguris hati masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN".

Harian itu, yang dianggap dekat dengan perdana menteri, juga mendakwa kejadian merobohkan kuil di Selangor dan menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam sehingga "menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan."

Anugerah penyapu itu disampaikan Dr Mohamad Khir kepada yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail pada 17 November lepas sebagai lambang pengajaran akibat memberi perkhidmatan yang paling tidak memuaskan daripada keseluruhan PBT di negeri itu.

Dalam wawancara Khamis lalu, mantan menteri besar itu berkata:

"Apabila saya bincang, setahun yang lepas, mereka setuju. Ada cadangan memberi (anugerah) selipar, gantung selipar di leher. Ada pula yang mencadangkan, suruh kita pakaikan baju koyak dan ada mencadangkan beri penyapu.

"Cuma mungkin kesilapan (saya, menganugerahkan) penyapu (yang) tidak dibalut. Itu sebab yang siapkan (anugerah) itu bukan saya. Pegawai kerajaan yang siapkan semua ini. Dan dah dipersetujui sebelum itu," katanya.

Tidak lama selepas wawancara tersebut, Dr Mohamad Khir juga menyentuh isu yang sama di blognya.

"Hadiah penyapu dipilih kerana ia merupakan simbolik sebagai usaha untuk membersihkan sikap buruk dan masalah di PBT tersebut," coretnya.

"Perkara ini turut diberitahu oleh salah seorang pegawai (bahawa menjadi amalan) biasa dilakukan di negara-negara yang mempunyai produktiviti tinggi seperti di Korea Selatan.

"Dan saya telah mengarahkan supaya mesyuarat membuat pilihan, akhirnya penyapu telah dipersetujui sebagai hadiah kepada PBT yang gagal mencapai tahap pungutan cukai minima."

Keputusan setahun lebih awal itu, tambahnya lagi, dibuat agar PBT mempunyai masa yang cukup untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka.

Pusat perlu akui silap sekat peruntukan pembangunan ke Kelantan - MB

KOTA BHARU, 28 April - Sesuai dengan keghairahan pemimpin-pemimpin Umno memohon maaf di atas kesilapan lampau, maka perkara serupa perlu juga dilakukan terhadap kerajaan Kelantan.

Malah mereka perlu mengakui kesilapan menyekatkan hak Kelantan mendapat peruntukan terutamanya berkaitan pembangunan yang berlaku sejak 18 tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dilihat kepada ghairahnya pemimpin Umno memohon maaf, maka perkara yang serupa juga wajar dilakukan terhadap negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

?Sekarang masa paling sesuai bagi mengembalikan semangat demokrasi berparlimen memandangkan sejak kebelakangan ini ramai pemimpin BN memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan-kesilapan dan penyelewengan yang pernah dilakukan mereka.

?Begitu juga dalam kes pemecatan hakim-hakim kanan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Sebagai tanda bersalah kerajaan pusat membayar sejumlah pempasan kewangan kepada hakim yang dipecat ketika itu.

?Sangat wajar sekiranya permohonan maaf turut dibuat kerajaan pusat terhadap kerajaan dan rakyat Kelantan kerana sejak sekian lama peruntukan pembangunan dinafikan.

?Saya selaku Menteri Besar akan mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri supaya mengembalikan semula peruntukan pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri,? katanya selepas majlis angkat sumpah Adun di Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

Ekoran kemerosotan teruk prestasi pada pilihan raya umum lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu kerajaan BN memohon maaf di atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman.

Menurut senator tersebut tindakan pemecatan itu memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Manakala dalam kes lain Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf secara terbuka dalam isu keris Panca Warisan yang sering dijulang setiap kali perhimpunan agung Umno diadakan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kalau kerajaan pusat boleh membayar kepada hakim-hakim dan mengaku kesilapan besar memecat mereka, maka perkara yang serupa perlu dilakukan terhadap Kelantan.

?Kalau hakim dibayar pampasan, kerajaan Terengganu juga menuntut kembali royalti petroleum maka kerajaan Kelantan juga mempunyai hak serupa,? kata beliau.

Malah tegas beliau kerajaan pusat sepatutnya menyalur kembali peruntukan dan bantuan yang menjadi hak kerajaan negeri, sesuai dengan semangat kerjasama antara negeri dengan Persekutuan sebagaimana dijamin perlembagaan.

Menurutnya kerajaan negeri di bawah BN menerima terus peruntukan pembangunan termasuk pembinaan perumahan awam kos rendah, namun ia tidak berlaku di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu semata-mata kerana diperintah PAS.

?Sedangkan Kelantan juga sebahagian daripada Malaysia dan kerajaan negeri yang ada sekarang sebuah kerajaan sah dipilih rakyat melalui sistem demokrasi yang sama-sama kita dokongi,? ujarnya.

Selain itu kata beliau kerajaan Pusat pimpinan Umno perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia kerana melakukan kesilapan besar sepanjang tempoh 50 tahun lalu apabila tidak menjadikan Islam sebagai dasar dalam pemerintahan negara.

Menteri Besar juga melahirkan rasa syukur dan gembira di atas perubahan minda rakyat sehingga membawa kepada kemenangan besar parti-parti Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum, baru-baru ini.

?Kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum baru-baru ini sebenarnya melibatkan perubahan pemikiran rakyat yang yakin terhadap kemampuan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP.

?Perubahan jelas berlaku di kalangan rakyat bukan Islam di mana mereka boleh menerima dan yakin dengan kepemimpinan PAS,? kata beliau. - mj

Juruaudit Balkis nafi terlibat RM9.9 juta

Juruaudit luar Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) menafikan firma itu pernah dirujuk sebelum pemindahan wang RM9.9 juta seperti dilaporkan.

Akauntan bertauliah Yee Choon Kong & Co berkata yang dipertuanya Zahrah Kechik dan suaminya, yang juga bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo atau sebarang ahli Balkis tidak pernah merujuk firma itu seperti didakwa dalam laporan The Star hari ini.

"Ia juga dapat dibuktikan dengan kenyataan Dr Mohamad Khir seperti dilaporkan oleh New Straits Times bahawa 'tidak perlu merujuk atau memaklumkan kepada juruaudit Balkis sebelum badan kebajikan itu dibubarkan dan dananya dipindahkan," kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, firma itu beberapa kali menghubungi bendahari Balkis, Suraimi Sapuan, agar beliau menyerahkan rekod-rekod kewangan seperti penyata bank, buku resit rasmi, baucer pembayaran, dokumen sokongan, resit deposit tetap, minit mesyuarat, butiran keahlian dan senarai langganan untuk membolehkannya mengaudit kewangan tahunan Balkis bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 1997.

"Panggilan telefon kepada bendahari (Balkis) tidak dijawab pada tarikh tersebut dan mengesahkan bahawa penyata kewangan Balkis masih kekal tanpa audit dan saya juga tidak pernah mengeluarkan Laporan Audit yang sah berhubung urusan kewangan Balkis bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 kepada anggota-anggotanya dan tidak pernah pula saya 'mengesahkan akaun tersebut sebelum dana itu dipindahkan' seperti laporan New Straits Times," kata pemilik firma itu Yee Choon Kong.

Khamis lalu, menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis," katanya dalam satu kenyataan.

Selain Zaharah dan Surami, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua dan Pon Ishak (setiausaha).

Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.

Mohamad Sabu fail petisyen pilihan raya minta undi pos tidak dikira

28/04/2008 5:23pm

KUALA TERENGGANU 28 April - Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, memohon supaya 1,089 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dikeluarkan daripada kiraan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bagi kawasan itu.

Mohamad melalui peguamnya, Mohd. Kamaruzaman Abd. Wahab memfailkan petisyen itu kira-kira pukul 11.30 pagi yang diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed.

Petisyen tersebut dikemukakan Mohamad bagi meminta supaya kertas undi pos itu tidak dikira sebagai undi bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail.

Menurut Mohd. Kamaruzaman, petisyen itu difailkan mengikut peruntukan undang-undang iaitu undi pos sepatutnya adalah rahsia.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, terdapat 1,357 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dan 1,089 dikira sebagai undi manakala 157 ditolak.

Katanya, daripada 1,089 kertas undi pos yang dikira, 999 undi memihak kepada calon BN.

``Jika kertas undi pos ini ditolak, ia akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu,'' katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad, Razali dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali yang kini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi berbanding Mohamad sebanyak 31,934 undi manakala Maimun memperoleh 685 undi. - Utusan

Adun PAS Simpang Empat angkat sumpah di Dun Perlis

KANGAR, 28 April - Semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya umum yang lalu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis pagi tadi.

Majlis mengangkat sumpah diadakan di hadapan Speaker yang baru, Dato' Yazid Mat.

Terdahulu beliau mengangkat sumpah sebagai speaker setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Dato' Dr Md Isa Sabu dan disokong oleh Adun Pauh, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Md Isa kemudiannya mendahului semua Adun mengangkat sumpah.

Wakil PAS, Rus'sele Eizan turut mengangkat sumpah sebagai Adun Simpang Empat. Beliau memenangi kerusi tersebut selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Zahari Bakar dengan majoriti 53 undi.

Begitu juga majlis tersebut turut menyaksikan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan mengangkat sumpah sebagai Adun Tambun Tulang.

Abdullah Hassan (BN-Sanglang) turut mengangkat sumpah walaupun belum pasti kesahihannya sebagai Adun kerana kemenangannya dipertikaikan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihan raya mengumumkan pemenang bagi kerusi Dun tersebut.

Kes tersebut sudahpun difailkan petisyennya oleh calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin. - mks.

Adun Meranti dilantik Speaker baru Dun Kelantan

KOTA BHARU, 28 April - Adun Meranti, Ustaz Nusuruddin Daud hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker baru Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan menggantikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Ia merupakan satu sejarah baru sejak 1990 apabila seorang lulusan bidang agama dilantik sebagai Speaker Dun Kelantan.

Sejak PAS mentadbir Kelantan pada akhir 1990 sehingga sekarang, tiga Speaker dilantik yang bermula dengan Omar Muhamad, Wan Rahim dan Nusuruddin.

Pada penggal lalu, Adun Meranti dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Manakala timbalan Speaker baru pula iaitu Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim. Wan Abdul Rahim melepaskan jawatan itu selepas memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Majlis pelantikan tersebut bermula jam 9 pagi tadi selepas namanya dicadang Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong timbalannya, Datuk Ahmad Yakob.

Selepas selesai pelantikan Speaker, Menteri Besar yang juga wakil rakyat Cempaka mengangkat sumpah sebagai Adun, diikuti Ahmad, Datuk Husam Musa, Datuk Anuar Tan Abdullah, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Datuk Takiyuddin Hassan.

Diikuti Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood, Wan Ubaidah Omar, Che Abdullah Mat Nawi dan Dr Mohd Fadzli Hassan.

Manakala barisan penyokong kerajaan dimulakan Adun Perupok, Datuk Omar Mohamad, Ustaz Hassan Mohamood (Tawang), Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal) dan Haji Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku).

Selepas 38 Adun PAS dan seorang daripada KeADILan, Tuan Zamri Arif Tuan Zakaria (Guchil) mengangkat sumpah ia diikuti Adun pembangkang dengan diketuai Datuk Mohd Alwi Che Amat (Kok Lanas), Datuk Norzahidi Omar (Pengkalan Kubur).

Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah), Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) dan Mat Yusof Abdul Ghani (Nenggiri).

Adun Galas, Chek Hashim Sulaima dari PAS yang terbabit dengan kemalangan jalan raya Mac lalu juga hadir mengangkat sumpah. Kini beliau sembuh sepenuhnya selepas hampir dua minggu terlantar di hospital.

Suasana agak gamat seketika semasa nama Norzula dipanggil Speaker untuk tampil ke hadapan bagi mengangkat sumpah kerana pada persidangan akhir tahun lalu beliau cuba bertindak kasar terhadap Adun Kelaboran.

Selain itu, beberapa Adun PAS yang berjaya menewaskan calon BN yang mempunyai kedudukan tinggi di peringkat bahagian menerima tempukan daripada Adun-Adun lain.

Antaranya, Abdul Aziz Kadir menewaskan Datuk Dr Ilias Hussin di Dun Jelawat, Wan Hassan Wan Ibrahim mengalahkan Datuk Kamaruddin Mohd Noor di Semerak dan Arifabillah Ibrahim menewaskan Datuk Ramzi Abdul Rahman di Dabong.

Majlis angkat sumpah tersebut berjalan lancar dan ia berlangsung hampir dua jam. Persidangan penuh Dun Kelantan bersambung jam 9 pagi esok. - mj

Suruhanjaya saingi Kuasa Raja dan PM

A Kadir Jasin [Mon | Apr 28, 08 | 12:36:29 pm MYT ]

PERKARA 122B Perlembagaan menyatakan dengan jelas siapa yang berhak melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Malaya, Sabah dan Sarawak serta Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi.

Perlembagaan mengatakan bahawa "Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja" akan melantik mereka.

(The Chief Justice of the Federal Court, the President of the Court of Appeal and the Chief Judges of the High Courts and (subject to Article 122C) the other judges of the Federal Court, of the Court of Appeal and the High Courts shall be appointed by the Yang di-Pertuan Agong, acting on the advice of the Prime Minister, after the consulting the Conference of Rulers.)

Jadi tiga pihak yang berhak dan bertanggungjawab itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja. Itulah yang berlaku atau sepatutnya berlaku sejak Malaya (kini Malaysia) merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Mungkin bukan suatu kebetulan apabila para perundingan kemerdekaan yang mewakili Tanah Melayu dan Empayar British pada tahun 1956 memberikan kuasa ke atas Kehakiman kepada Yang di-Pertuan Agong (Melayu), Perdana Menteri (Melayu), dan Raja-Raja (Melayu).

Tetapi sekiranya sebuah suruhanjaya ditubuhkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada jamuan makan malam Majlis Peguam (Bar Council) baru-baru ini, maka berkuranganlah kuasa tiga pihak ini.

Yang akan turut berkuasa dan turut berpengaruh adalah ahli suruhanjaya yang dicadangkan itu.

Secara peribadi, saya berasa agak hairan mengapa sebuah suruhanjaya diperlukan. Adakah perkongsian tiga pihak ini belum menjamin ketelusan proses pelantikan dan seterusnya integriti Kehakiman?

Saya tidak boleh berpura-pura bercakap bagi pihak orang lain. Tetapi sebagai warganegara, pembayar cukai dan pengundi, saya lebih rela menyerahkan kuasa kepada seorang ahli politik yang saya pilih daripada menyerahkan kepada Presiden Majlis Peguam atau seorang Senator.

Tidak mengapalah jikalau ahli politik yang saya undi itu dangkal sedikit.

Alasannya adalah jika ahli politik dangkal yang saya pilih itu membuat kesilapan, saya boleh membuangnya pada pilihan raya akan datang. Tetapi jikalau Presiden Majlis Peguam atau seorang Senator membuat kesilapan, saya tidak ada kuasa menghukum mereka.

Menteri yang menjaga undang-undang, Senator Zaid Ibrahim, telah menjamu Majlis Peguam dengan menggunakan duit pembayar cukai (duit rakyat), Perdana Menteri telah membuat pengumuman dan justeru itu Kabinet telah turut menjadi fait accompli.

Maka saya hairan siapa yang akan bercakap bagi pihak Hakim-Hakim?

Pastinya Hakim-Hakim tidak boleh membuat kenyataan macam orang politik atau peguam. Namun kita ingin juga tahu pandangan mereka mengenai ?idea hebat? ini. Malangnya mereka tidak boleh berkokok seperti Senator Zaid atau Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

Daripada apa yang saya dengar di sana sini, para Hakim berpendirian bahawa penubuhan suruhanjaya itu adalah keputusan dasar (policy decision) yang terletak di tangan cawangan Eksekutif iaitu Perdana Menteri dan Kabinet.

Kalau begitu, saya ingin bertanya apakah Kabinet dibawa berunding sebelum pengumuman dibuat? Atau Kabinet sekadar terseret menjadi fait accompli kerana pengumuman sudah dibuat oleh Perdana Menteri?

Kebimbangan saya adalah bagaimana memastikan hanya orang yang paling berintegriti dan bebas sahaja dilantik menganggotai suruhanjaya ini.

Pada pandangan saya, orang yang berkepentingan dalam Kehakiman dan proses mahkamah seperti peguam dan pembesar korporat wajib tidak dilantik menduduki suruhanjaya ini.

Cuba bayangkan apakah persepsi umum apabila seorang peguam yang terbabit dengan proses pelantikan seorang hakim kemudian hadir di mahkamah mewakili anak guamannya di hadapan hakim yang sama.

Dalam keadaan sekarang pun ada peguam yang begitu angkuh dan sombong bila hadir di mahkamah kerana dia peguam kanan dan hakim pula hakim baru. Malah kebayakan penangguhan perbicaraan adalah disebabkan oleh tindak tanduk peguam.

Kemudian soal bilangan anggota suruhanjaya. Perlu diambil kira bahawa tidak semua Hakim yang menganggotainya boleh atau akan mengundi bagi setiap pelantikan sama ada kerana mereka terbabit terus dengan pelantikan atau kerana konflik kepentingan (conflict of interest).

Logiknya, lima penjawat utama Kehakiman iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Malaya, Sabah dan Sarawak amat wajar menganggotai suruhanjaya ini.

Hendaknya dalam percubaan mempertingkatkan imej dan integriti Kehakiman ini janganlah pula timbul tanggapan bahawa Hakim-Hakim terhutang budi, tunduk dan melutut kepada peguam atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke atas pelantikan dan kenaikan pangkat mereka.

Mungkin baik buat permulaan ini kuasa suruhanjaya dihadkan kepada pelantikan pertama sahaja iaitu pelantikan orang yang belum menjadi Hakim ke jawatan-jawatan Hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman sahaja.

Yang paling dikhuatiri ialah kemungkinan adanya pihak atau orang tertentu dalam Kabinet yang berpengaruh ke atas Perdana Menteri yang menggunakan Kehakiman untuk matlamat atau demi kepentingan kelompok tertentu.

Seelok-eloknya, biarlah hal-hal berkaitan Kehakiman ditentu dan diputuskan oleh Hakim-Hakim sendiri (by their own peers) dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.

Lagipun, hanya hakim boleh membicarakan hakim. - kadirjasin.blogspot

Lantik Senator dari Kelab Penyokong PAS

MELAKA, 28 Apr (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab mencadangkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kelantan atau Kedah yang diterajui PAS memilih Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow sebagai calon Senator.

Selain itu, kerajaan Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri itu juga disarankan supaya memilih seorang lagi wakil dari Kelab Penyokong PAS India untuk jawatan sama, tambah beliau.

"Perkara ini penting bagi membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang mementingkan semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

"Kini sudah sampai masanya PAS melantik wakil-wakil kaum bukan Melayu di Dewan Negara setelah golongan ini dilantik sebagai ahli PBT, Penghulu dan lain-lain di Kelantan," tambah beliau.

PAS katanya, mesti meneruskan agenda memberikan kebajikan merentasi agama, budaya dan kaum kerana dalam konteks Malaysia, parti-parti perkauman sudah tidak relevan lagi sehingga sebahagian besar calon-calon parti perkauman seperti MCA, MIC, Umno dan Gerakan ditolak rakyat di Semenanjung Malaysia.

"Kini orang Tionghua dan India tidak takut lagi mengundi PAS dan KeADILan manakala orang Melayu sudah tidak segan lagi mengundi DAP," tegas beliau.

Ketika ditanya siapakah di kalangan kaum India yang layak dilantik sebagai senator, Sofi menjawab Kumutha, bekas Calon Kelab Penyokong PAS pada PRU 12 adalah antara calon yang layak untuk dipertimbangkan.

Sejak akhir-akhir ini Kelab Penyokong PAS seluruh negara terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan terkini Kelab Penyokong PAS telah berjaya ditubuhkan di Negeri Melaka malah di negeri-negeri lain Kelab Penyokong PAS Cina dan India telah ditubuhkan sampai ke peringkat Kawasan Parlimen. - mns

Sunday, April 27, 2008

Pemilihan Parti Gerakan Diadakan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Parti Gerakan memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti itu tahun ini.

Pemangku presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini berkata Jawatankuasa Pusat, badan pembuat keputusan parti paling tinggi, pada mesyuaratnya hari ini memutuskan bahawa pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional diadakan tahun ini dan bukannya tahun hadapan berikutan maklum balas daripada akar umbi.

"Apabila kami memutuskan sebelum ini iaitu pada Januari (tahun ini) untuk menangguhkan pemilihan ke tahun hadapan, ia adalah kerana kami tidak pasti bila pilihan raya umum akan diadakan, Memandangkan ia (pilihan raya umum) telah lepas dan dengan majoriti akar umbi mahu pemilihan parti diadakan tahun ini, kami memutuskan untuk mengadakannya tahun ini.

"Maklumat terperinci, seperti tarikh dan prosedur, akan diumum Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Nasional selepas mereka bermesyuarat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Menara PGRM di sini.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye, yang mempengerusikan Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Nasional, dijadual mengumumkan jadual pemilihan parti pada Selasa.

-- LAGI

Umno Kampar Hantar Petisyen Desak Tajol Rosli Letak Jawatan

KAMPAR, 27 April (Bernama) -- Umno Bahagian Kampar telah menghantar petisyen kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali meminta beliau meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas sebagai ketua.

Petisyen berkenaan ditandatangani 111 wakil jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri serta ketua-ketua cawangan dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini.

Setiausaha Umno bahagian itu, Abdul Rahman Md.Som berkata salinan petisyen itu telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno.

Pada 14 April lalu, ketua bahagian berkenaan, Datuk Mohd Radzi Manan membuat kenyataan terbuka mendesak Tajol Rosli meletakkan jawatannya dengan secepat mungkin bagi membolehkan Umno Perak dipimpin oleh ketua yang lebih bersemangat.

Abdul Rahman berkata petisyen itu turut menyatakan Umno Kampar kesal kerana bekas Menteri Besar Perak itu tidak mengambil inisiatif selaku pemimpin untuk merangsang semangat ahli parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Dalam keadaan yang amat meruncing pada masa ini, semua ahli kini tertekan kerana ketiadaan hala tuju dan pelan tindakan yang tegas supaya Umno Perak bangkit semula dalam masa yang terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas satu majlis perjumpaan kira-kira 500 pemimpin pelbagai peringkat Umno Bahagian Kampar di Changkat Tin dekat sini hari Ahad.

-- BERNAMA

Awak Tanya Saya Jawap: Sekularisme

Soalan:

Apakah sebab-sebab umat Islam kini berpecah kepada dua golongan sekular dan golongan islam sebenar. Apakah langkah dan perkara yang perlu dilakukan oleh kita umat islam?

Mahadi, Marang

Jawapan:

Terjadinya kekeliruan yang dinyatakan oleh penyoal pada pandangan ana ianya adalah berdasarkan kepada:

1)Kejahilan.
Ianya adalah punca yang paling besar manusia menjadi sesat.Samada dalam aqidah,ibadah politik dan lain-lain.Oleh kerana itulah nabi saw menerima wahyu pertama

ٱقۡرَØ£ۡ بِٱسۡÙ…ِ رَبِّÙƒَ ٱلَّØ°ِÙ‰ Ø®َÙ„َÙ‚َ (surah al-Alaq ayat 1) yang bermaksud “bacalah (wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk)

dan jemaah Islam meletakkan awlawiyyat menyebarkan ilmu untuk memberi kesedaran kepada ummat sehingga ummat terpimpin.

Dalam masa yang sama kejahilan dapat dihapuskan dan ilmu menjadi penyuluh untuk memilih Islam yang sebenar daripada Islam yang dimasuki oleh ideologi-ideologi ciptaan manusia

2)Kepentingan peribadi.
Bahaya kepentingan peribadi boleh menyekat kebenaran.Oleh kerana itu ummat Islam diajar supaya membetulkan aqidah dan membersihkan hati supaya manusia dapat menghadapi kepentingan diri dengan cara yang baik.

Sehingga ia juga dikira sebagai awlawiyyat didalam jemaah untuk mentarbiyyah para pendukung supaya berhati-hati dalam menghadapi ujian pangkat dan kebendaan.

Dan disana mungkin terdapat lagi beberapa punca dan sebab-sebab yang lain yang menyebabkan ummat Islam bepecah.

Sebagai langkah pencegahan kepada permasalahan ini ialah menghidupkan majlis-majlis ilmu didalam masyarakat melalui kuliah-kuliah ceramah- ceramah usrah-usrah kelas-kelas fardhu ain dengan menekankan soal aqidah ibadah,sejarah Islam,kepentingan menjadikan rasa persaudaraan diantara ummat Islam,menghidupkan budaya nasihat-menasihati,bertolong-tolongan dan lain-lain.

Langkah ini juga yang pernah diambil pendekatannya oleh rasulullah SAW yang menyebabkan nabi dapat menawan hati-hati manusia sehingga baginda dapat membuka perasaan untuk mereka menerima Islam dan sekaligus menolak sekularisme.Iaitu semua perkara adalah bersandarkan kepada Islam.

Wallahua’lam

Sumber: http://zuliadin.wordpress.com/

Lapan Tahanan ISA diseludup polis ke lokasi rahsia

Lapan orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diseludup polis secara rahsia ke Pusat Tahanan Reman (PRC) di sekitar ibukota Kuala Lumpur tanpa motif jelas, seraya mencetuskan kebimbangan keatas nyawa tahanan terbabit.


Kesemua lapan tahanan itu dibawa secara senyap dan dikurung selama seminggu bermula 19 April hingga 27 April, dan pemindahan mereka dari Kem Tahanan (Kemta) Kamunting itu tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga tahanan, menurut kenyataan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) 24 April lalu.


Maklumat penyeluduhan itu diperolehi dari peguam para tahanan. Menurut sumber GMI, tiada sebarang tunjuk sebab diberikan pihak berkuasa berhubung pemindahan itu, seraya mencetuskan keraguan diatas kerahsiaan tersebut.


“Menurut sumber berkenaan, tahanan-tahanan berkemungkinan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur,” menurut Setiausaha GMI, E Nalini dan menambah tahanan-tahanan tersebut telah ditahan dibawah ISA selama hampir atau lebih dari enam tahun.


“GMI bimbang tahanan-tahanan ini didera secara mental dan fizikal semasa di PRC. Keluarga dan tahanan tidak diberitahu bila dan tempat penahanan manakala tahanan pula tidak mempunyai sebarang akses kepada keluarga mahupun peguam,” tegas Nalini.


Sebelum ini, Suara Keadilan isu 133 melaporkan GMI melancarkan kempen “Cukuplah 6 Tahun Kezaliman” dalam usaha membebaskan semua tahanan-tahanan ISA, khususnya tahanan yang melebihi 6 tahun pemenjaraan.


Kesemua tahanan ‘veteran’ itu dikaitkan dengan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) tanpa bukti kukuh. Ketika melancarkan kempen yang bermula April hingga Jun nanti, GMI mengulangi seruan kepada rakyat prihatin, khususnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat, supaya menekan kerajaan pusat untuk membebaskan tahanan atau memberi keadilan sewajarnya di mahkamah.


Dari siasatan peguam GMI, tahanan-tahanan yang dibawa secara rahsia dari Kemta ke Kuala Lumpur adalah:


Mat Sah bin Mohd Satray (dikurung 6 tahun)
Abdul Murad bin Sudin (dikurung 6 tahun)
Mohd Khider bin Kader (dikurung 6 tahun)
Abdullah Daud (dikurung 6 tahun)
Suhaimi bin Mokhtar (dikurung 6 tahun)
Sulaiman bin Suramin (dikurung 6 tahun)
Yazid bin Sufaat (dikurung 6 tahun)
Zaini bin Zakaria (dikuung 6 tahun)
Tegas kenyataan itu lagi, GMI mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa memindahkan tahanan-tahanan tersebut dengan sewenang-wenangnya kerana besar kemungkinan soalsiasat dijalankan semula keatas tahanan terbabit.


Dari testimoni bekas tahanan ISA, kerajaan menggunakan taktik deraan fizikal & mental keatas para tahanan ketika sesi soal-siasat. Kes-kes rogol dan liwat keatas tahanan wanita mahupun lelaki juga dilaporkan berlaku.


Tambah kenyataan itu lagi, pihak polis telah melanggar undang-undang kerana Seksyen 73 ISA menggariskan bahawa pihak berkuasa tidak lagi dibenarkan menyoal-siasat selepas 60 hari penuh tempoh siasatan awal diberikan sejurus penahanan dibawah ISA.


“Oleh yang demikian, GMI menuntut penjelasan dari pihak polis dan kerajaan kenapa tahanan tersebut dipindah keluar dari Kemta ke PRC di Kuala Lumpur. Suhakam juga perlu membuat lawatan segera dan melawat tahanan-tahanan itu untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik dan tidak didera,” kata Nalini.

Pengalaman Nik Aziz dikongsi bersama ketua kerajaan Pakatan Rakyat

MACHANG, 27 April (Hrkh) � Pengalaman Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan selama lebih 18 tahun akan dikongsi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu satu program khas yang kemungkinan dikenali sebagai Persidangan Kemuncak Ketua Kerajaan PR akan diadakan di Kelantan tidak lama lagi.

Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Besar Kelantan sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak tersebut.

�Tok Guru Nik Aziz boleh mendedahkan pengalamannya mentadbir Kelantan lebih 18 tahun, manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula boleh memberi pandangan dari aspek ekonomi.

�Begitu juga menteri besar lain boleh mendedahkan mengenai kepakaran masing-masing pada persidangan kemuncak tersebut,� katanya pada ceramah di Kampung Dewan Besar, Pulai Chondong dekat sini, malam kelmarin.

Ceramah tersebut diadakan di kawasan kubu tradisi Umno di Machang. Padang tempat ceramah tersebut penuh sesak. Laluan ke tempat ceramah jam teruk.

Hadir sama pada ceramah itu, anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.

Sebelum itu, Anwar menghadiri ceramah di Kampung Kemuncut di Dun Temangan yang turut dihadiri ribuan penduduk tempatan.

Pada malam yang sama dua lagi program serupa diadakan iaitu anjuran Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Balai Islam, Lundang di Kota Bharu dan ceramah anjuran PAS serta KeADIlan di Kampung Badak, Bachok.

Anwar berkata, beliau telah mengemukakan cadangan mengadakan persidangan kemuncak ketua kerajaan PR kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada pertemuan pagi Jumaat lalu.

Beliau ketika itu dalam misi lawatan sehari ke Kelantan. Pada petang Jumaat Anwar merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Machang di Bukit Tiu.

Saifuddin pula berkata, sebelum ini hanya terdapat seorang sahaja Menteri Besar yang mewakili pembangkang.

�Namun sekarang sudah meningkat kepada lima orang. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup menarik. Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh menceritakan pengalamannya memimpin Kelantan selama lebih 18 tahun pada sidang kemuncak yang diadakan,� katanya.

Sementara itu, persidangan serupa juga difahamkan bakal diadakan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu memandangkan Menteri Besar daripada pembangkang tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dianjurkan kerajaan Persekutuan.

Menjadi kelaziman sebelum ini mesyuarat tersebut diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung.

Sepanjang 18 tahun lepas Menteri Besar Kelantan tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat terbabit biasanya diadakan di Kuala Lumpur atau Selangor.

Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada pembangkang membolehkan persidangan dianjurkan kerajaan BN turut diadakan PR. - mj

Dilema Ahmad Said menerajui Terengganu

BELUM pun bermula Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya umum lalu belumpun mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Menteri Besarnya, Dato' Ahmad Said berdepan dengan masalah kewangan.

Beliau terpaksa memohon Kerajaan Pusat menyerahkan balik Royalti Petroleum dan Gas yang pernah diterima sembilan tahun lalu kepada negeri Terengganu.

Perbelanjaan mengurus negeri memerlukan wang yang cukup dan dengan pendapatan tidak sampai RM200 juta setahun, negeri Terengganu memerlukan wang tambahan bagi membiayai semua keperluan pentadbirannya.

Apalagi untuk membangunkan rakyat negeri itu, sudah tentu kewangan yang diperlukan melebihi pendapatan hasil negeri itu termasuk pengeluaran hasil pembalakan dan air, 'Capitation Grand' dan 'Road Grand'.

Ramai yang bercakap bagaimana menteri besar Terengganu berada dalam keadaan tertekan dengan maslah kekurangan wang untuk tujuan tersebut.

Jika kerajaan pusat tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri itu walaupun kedua-duanya kerajaan Barisan Nasional (BN), kemungkinan besar Ahmad tidak boleh bertahan lama.

Inipun jika kerajaan pusat masih dikuasai BN. Ada mencadangkan jika beliau tidak berupaya mengepalai pentadbiran negeri sebagai menteri besar, Ahmad boleh memberi nasihat kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) supaya dewan dibubarkan untuk pilhan raya semula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Jika Pakatan Rakyat mengusai kerajaan pusat, (di jangka sedikit masa lagi) Ahmad perlu bertindak bijak bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat walaupun terpaksa berdepan dengan serangan rakan-rakannya dalam Umno atau sebagai jalan mudah beliau dan penyokong-penyokong sama ada dari kalangan Exco Kerajaan Negeri atau ahli Umno lain meletak jawatan dan berada dalam Pakatan Rakyat sama ada masuk PAs atau Parti keadilan Rakyat.

Ketika itu Ahmad tidak perlu bertegas dengan prinsip bagaikan berpaut di dahan yang rapuh dengan tetap bersama Umno walau apa insiden politik sekalipun berlaku di negeri tersebut kerana perjuangan parti itu tidak relevan lagi untuk masyarakat Malaysia.

Ahmad perlu berkompromi ketika itu demi kebaikan rakyat dan kerajaan negeri itu. Sekali gus, kerajaan Terengganu perlu juga bertukar kepada Kerajaan Pakatan Rakyat walaupun Umno negeri itu tidak merestui Ahmad bekerjasama dengan kerajaan pusat yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Kemungkinan Ahmad dipecat dari parti atau dia terpaksa keluar parti untuk berada dalam kem Pakatan Rakyat yang sudah menjadi kerajaan pada masa itu walaupun ramai dari penyokongnya di kampung tidak merestui tindakan tersebut.

Ini semua senario politik yang kemungkinan akan berlaku jika politik negara mengalami perubahan berterusan sehingga ke peringkat pusat.

Umno sekarang pun sudah bimbang dengan perakuan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa ada ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak akan menyeberang ke kem Pakatan Rakyat.

Kebimbangan itu dirasai sendiri bakal calon Presiden Umno untuk pemilihan Disemberi ini, Tengku Razaliegh Hamzah.

Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak sendiri pun tertekan dengan suasana ini sehingga membuat kenyataan akan bertindak sesuatu bagi menyekat insiden itu berlaku.

Sementara itu Ahmad perlu bersabar seketika menghadapi dugaan menjadi menteri besar di negeri tersebut ketika beliau tidak berkeupayaan menguasai perhubungan Umno negeri apabila bekas menteri besar lalu Dato' Seri Idris Jusoh masih Ketua Perhubungan parti itu.

Beliau dalam dilemma tersempit di tengah gejolak politik antara menjaga kepentingan rakyat dan kepentingan partinya yang mahukan pembangunan khususnya yang datang dari pusat diurus oleh Idris Jusoh secara tidak langsung.

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah membuat pengakuan bahawa rakyat menerima pembangunan dengan baik dari saluran Dana Khas sebelum ini. Justeru setakat ini nampaknya Abdulah tidak berhasrat untuk mengembalikan semula Dana Khas itu supaya kerajaan negeri menguruskannya sendiri bukan Jabatan Pembanguan Persekutuan (JPP).

Ahmad sudah tentu terasa perit dengan sikap Abdullah terhadap negeri Terengganu, mungkin inilah agaknya dendam kesumat yang sudah dipraktikkan beliau ketika berdepan dengan krisis kepimpinan kerajaan negeri tersebut.

Ahmad sendiri mengakui beliau pun tidak lama memegang jawatan menteri besar. Walau apapun terjadi Ahmad terpaksa menghadapi tekanan kewangan sebagaimana Kerajaan PAS menghadapinya sebelum ini. - mns

Kelab Penyokong PAS India Kedah serah 160 borang keahlian

Kulim, 27 April (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak menerima 160 borang ahli Kelab Penyokong PAS Kaum India sempena ceramah perdana yang diadakan di Taman Kenari, Kulim baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kulim, Vickram a/l Jayaraman mewakili rakan-rakan ahli Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), dan Makkal Shakti menyerahkan borang berkenaan.

"Kami ingin bersama-sama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemu bual oleh wakil Harakah.

Turut hadir memberi ceramah pada malam itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Perak, Ustaz Drs Khalili Idham Lim Abdullah dan Pengerusi Hindraf Kulim, Sathia Seelan .

Majlis yang berjaya mengumpulkan para penyokong PAS, KeADILan, Hindraf dan Makkal Shakti itu merupakan satu sejarah selepas terciptanya kemenangan besar Pakatan Rakyat yang berjaya memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan raya Umum Ke-12 yang lalu.

Ketua PAS Cawangan Taman Kenari, Sulaiman Ibrahim berkata, gerak kerja pilihan raya sudah selesai, tapi gerak kerja untuk merealisasikan manifesto yang dijanjikan perlu diteruskan.

Batu Pahat: Peralihan kuasa sebelum Dis

B.P: Mesyuarat khas perwakilan Umno Batu Pahat mendesak pelan peralihan kuasa antara presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaksanakan sebelum Disember ini.

Di samping itu, bahagian itu juga mendesak kepimpinan Umno mengkaji secara terperinci punca kemarahan rakyat terhadap parti itu dan bertindak segera mengatasinya, seperti tuduhan wujudnya penglibatan "keluarga" dalam urusan pentadbiran negara.

Di samping itu, ia juga mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya menyediakan "pelan pemulihan parti" dengan segera untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno berikutan prestasi terburuknya pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Cadangan itu antara lima usul yang diluluskan dalam mesyuarat khas bahagian itu, lapor Bernama.

Ketua bahagian Umno Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usul-usul itu diluluskan sebulat suara oleh 365 perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu hari ini.

Katanya terdapat dua soalan yang perlu ditanya selepas pilihanraya umum baru-baru ini iaitu, apakah tindakan drastik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan mengapa rakyat begitu marah kepada Umno.

Pikat semula sokongan

Mohd Puad yang juga ketua Penerangan Umno Johor berkata Umno memerlukan formula baru untuk memikat semula sokongan rakyat bukan sahaja orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga generasi muda yang semakin kritis terhadap Umno.

Katanya Umno tidak lagi boleh berlengah dan perlu bertindak segera kerana ia mempunyai masa yang singkat untuk menghadapi cabaran empat tahun yang mendatang.

Beliau berkata ahli Umno tidak memerlukan pelbagai alasan dan penjelasan yang tidak menjawab soalan yang sebenarnya iaitu mengapa sokongan terhadap parti itu merosot dengan begitu teruk pada pilihanraya umum 8 Mac.

"Apakah isu sabotaj, isu wang peruntukan pilihanraya dan lain-lain menjawab soalan sebenar tentang mengapa rakyat begitu marah terhadap Umno," kata Mohd Puad.

Selain itu, katanya, Umno bahagian turut meluluskan usul mendesak MT Umno supaya menggunakan bidang kuasanya seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti untuk memanggil segera perhimpunan agung khas Umno.

Katanya, mereka turut meluluskan usul meminta kepimpinan parti supaya mengisi dan melaksanakan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertolak-ansur terutamanya berhubung agama Islam dan hak-hak orang Melayu.

Mohd Puad berkata beliau akan menyerahkan keputusan yang dicapai oleh Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan khasnya kepada Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.

TV3 Tarik Diri Anjur Karnival Jom Heboh Di Perak

IPOH, 27 April (Bernama) -- Stesen televisyen swasta TV3 menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada menganjurkan program bergerak Karnival Jom Heboh di Perak pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahad.

Beliau berkata hasrat menarik diri tersebut dinyatakan oleh pihak pengurusan tertinggi TV3 sendiri dalam satu pertemuan dengannya pada Rabu lepas.

Bagaimanapun Mohammad Nizar menegaskan kerajaan negeri Perak tidak pernah mengeluarkan arahan supaya TV3 bertindak demikian.

"Kita tidak ada beri arahan pun, dia (TV3) sendiri yang hendak tarik diri. Mereka menghormati prinsip-prinsip kita," katanya ketika berucap pada perasmian mesyuarat agung tahunan ke-14 Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.

Karnival Sure Heboh TV3 yang berkonsepkan ekspo dan hiburan mula dilancarkan pada Julai 2003 sebelum diubah namanya kepada Jom Heboh pada 2006.

Ia merupakan program bergerak yang diadakan setiap bulan secara bergilir-gilir di negeri-negeri di Malaysia.

Majlis Mufti-Mufti Malaysia melalui Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria pada 30 Julai 2004 telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.

Karnival tersebut membuat penampilan buat julung kalinya di Perak pada 5 dan 6 Mei 2007, berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini.

Beberapa hari sebelum Karnival Jom Heboh 2007 itu berlangsung Harussani menegaskan bahawa program konsert 'Sure Heboh' itu tetap haram walaupun selepas ia ditukar nama menjadi 'Jom Heboh'.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata gelaran Datuk Seri yang diterimanya bukanlah untuk dirinya tetapi adalah untuk kesemua 2.3 juta rakyat Perak yang telah berani membuat perubahan pada pilihan raya umum lepas dan meraikan perubahan tersebut.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu telah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena hari keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ke-80 pada 19 April lepas.

-- BERNAMA

Sikap pemimpin tentukan orang bawah rasuah atau tidak - Mustafa

Pemimpin politik perlu menjadi contoh teladan (role model) kepada rakyat, masyarakat dan penyokong dalam mewujudkan persekitaran kepimpinan yang lebih telus Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hj Mustafa Ali, kepada media sebagaimana laporan akhbar Sinar hari ini.
Beliau berkata ramai pemimpin politik masih tidak mengamalkan sikap integriti sehingga ia mempengaruhi orang bawahannya untuk mengikut contoh yang tidak baik.

“Sebab itulah berlakunya rasuah dan penyelewengan di peringkat bawahan kerana pemimpin di peringkat atasan tidak mengamalkan sikap yang benar-benar telus dalam tindakannya.

“Sesetengah parti politik pula mendidik anggotanya dengan kebendaan sehinggakan kegiatan tidak bermoral diamalkan secara berleluasa,” kata beliau

Mustafa yang merupakan anggota Institut Integriti Malaysia (IIM) bersetuju dengan pendirian IIM untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi melahirkan pemimpin berintegriti sebagaimana kenyataan Presiden IIM, Dr Mohd Tap Salleh.

Merujuk kepada cadangan mewajibkan pemimpin politik menyertai program integriti, Mustafa berpendapat, perlaksanaan program berkenaan perlu namun beliau percaya seseorang pemimpin berintegriti atau tidak, adalah bergantung pada sikap pemimpin berkenaan.

“Walaupun ada program sedemikian tetapi sekiranya pemimpin tidak mahu berubah, hasrat tersebut tetap tidak akan tercapai dan bagi PAS negeri, kita sentiasa menekankan mengenai integriti dalam program yang dianjurkan,” kata beliau

Sementara itu, PAS negeri Terengganu menyokong cadangan menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai badan bebas.

Beliau berbangga dengan pemimpin PAS Terengganu kerana tidak terlibat dalam amalan rasuah dan sambil memuji tindakan kerajaan PAS Kelantan yang lebih terbuka menyelesaikan kes rasuah.

Apa dia hak istimewa orang Melayu ?

Dua belas tahun yang lalu semasa pulang bercuti Semester I Tahun Empat, saya ada singgah untuk minum di sebuah Kedai Kopi sebuah kampung di Perak. Semasa singgah saya lihat ada seorang Pak Cik sedang marah-marah sambil menepuk meja sehingga menggerunkan orang kampung yang sedang minum di Kedai Kopi itu. Mungkin Pak Cik ni orang yang dihormati di kampung itu, mungkin juga Ketua Kampung.

Pak Cik itu sedang marah kepada PAS yang bekerjasama dengan DAP untuk menghadapi pilihanraya umum ke 10. Antara yang saya dengar katanya, "PAS ni tak guna dok kawan dengan DAP parti Cina komunis", "Depa ni tak dak kerja nak hapus hak istimewa orang Melayu" Semua orang dalam Kedai Kopi tu diam, tak kata apa. Hanya dengar saja Pak Cik tu bercakap hentam PAS dan DAP. Saya yang dengar rasa nak marah juga, tetapi sabar dan fikir macam mana nak buat dengan Pak Cik ni. Akhirnya saya ambil cawan kopi yang baru dihantar oleh tuan kedai duduk di meja Pak Cik tadi. Saya bersalam dengan dia dan orang kampung yang sama duduk di meja tu.

Saya menggunakan suara lembut tanda hormat pada orang tua bertanya kepada Pak Cik tadi. " Tadi saya dengar Pak Cik cakap fasal hak istimewa orang Melayu, Pak Cik tahu ka apa dia hak istimewa orang Melayu ?. Pak Cik tadi tergamam dengan soalan saya, mungkin dia tak tahu jawapannya, tetapi dia cuba jawab, " ha hak istimewa orang Melayu la". Saya tanya lagi " ya la hak istimewa orang Melayu,tapi apa dia ?. Lepas tu dia diam, mungkin dok fikir nak cari jawapan. Orang kampung lain dalam kedai kopi tu bertumpu kepada kami.

Oleh kerana lambat beri jawapan, saya kata kepada Pak Cik tu, " Askar Melayu , Keretapi Tanah Melayu ka?". Pak Cik cepat-cepat sambut, " ha ya la tu, yang tu saya nak cakap tadi ". Saya pun beritahu yang jawapan dia salah. Saya bagi tahu saya belajar di Universiti dan saya belajar tentang hak istimewa orang Melayu. Saya pun terang kepada orang kampung dalam kedai itu beberapa perkara berkaitan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Pak Cik tadi tersipu-sipu tetapi tak dapat terima penjelasan saya tentang hak istimewa orang Melayu. Katanya, " tak dengar pun kat tv apa yang hang cakap, Perdana Menteri pun tak cerita macam hang cerita, di universiti tu lain tu." Saya senyum saja dan minta diri, bersalam dengan mereka. Saya puas sebab dapat beri kefahaman kepada orang kampung di kedai tu, apa dia hak istimewa orang Melayu?. Pak Cik tadi yang tak dapat terima, biarlah kat dia kerana saya tahu dia mesti orang kuat umno.

Kesimpulan dari pengalaman saya ini dapat menjelaskan tentang kefahaman orang umno berkaitan hak istimewa orang Melayu. Apabila orang umno berdemontrasi di hadapan Komtar menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang membuat kenyataan mahu menghapuskan DEB. Saya dapat katakan bahawa orang umno yang pergi berdemontrasi itu kalau ditanya tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB. Mereka pasti tak tahu jawapannya, mereka sebenarnya diperbodohkan oleh pemimpin umno Pulau Pinang yang hilang kuasa.

Sebaliknya, kalau ditanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tentang tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB, saya yakin beliau akan memberi jawapan yang tepat tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB. Beliau sudah membuat kajian tentang perkara ini sebelum membuat kenyataan.

Sebab itulah apabila didapati berlaku isu penyelewengan tanah bernilai jutaan ringgit oleh pemimpin umno semasa mereka memerintah. Sampai hari ini bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dato’ Rashid bin Abdullah tidak berani bersemuka dengan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng walaupun dipelawa beberapa kali.

Orang-orang Melayu terutamanya umno sebenarnya ditipu oleh pemimpin mereka yang kononnya memperjuangkan hak istimewa orang Melayu. Oleh kerana tak tahu bahawa sebenarnya pemimpin umnolah yang mengurangkan hak istimewa orang Melayu, maka keputusan pilihanraya ke 12 menunjukkan umno masih menang di kerusi majoriti Melayu.

Justeru, sebagai tanda sayang kepada orang Melayu dalam umno supaya tidak menjadi mangsa penipuan pemimpin umno sampai mati. Saya mencadangkan PAS dan PKR memberi penerangan kepada orang Melayu tentang hak istimewa orang Melayu kepada semua orang Melayu termasuk orang PAS dan PKR. Jangan harapkan umno nak bagi penerangan tentang hak istimewa orang Melayu kepada orang umno, kerana mereka tahu kalau orang umno tahu apa dia hak istimewa orang Melayu. Orang umno sendiri akan keluar dari umno yang selama ini menipu mereka.

Malulah kita orang Melayu yang ada hak istimewa tetapi tak tahu apa dia hak istimewa tu. Saya yakin Pakatan Rakyat dapat menembusi kubu-kubu umno, sekiranya orang Melayu umno tahu bahawa selama ini yang menyelewengkan hak-hak orang Melayu adalah pemimpin umno. Masa akan semakin dekat, orang umno semakin kuat umnonya, apabila ditiup semangat perkauman oleh pemimpin mereka.

Orang Cina dan India mungkin kekal menyokong Pakatan Rakyat kerana tembelang perkauman umno sudah pecah selepas kalah pilihanraya. Kita tidak boleh membiarkan orang Melayu hanyut dengan sentimen perkauman umno. Tindakan untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada orang Melayu perlu dimulakan mulai sekarang. Sokongan orang Melayu juga penting bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Bekas menteri dipanggil beri keterangan berhubung kes cabul

penduduk malaysia mahu lihat keadilan Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis telah memanggil seorang bekas menteri untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beliau mencabul kehormatan seorang pembantu penyelia di sebuah hotel di sini pada 14 April lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata bekas menteri bergelar "Datuk Seri" itu telah dipanggil memberi keterangan pada 11 pagi tadi.

"Polis akan meneruskan siasatan mengikut prosedur biasa walaupun mangsa menggugurkan dakwaan terhadap bekas menteri itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata sebaik selesai laporan, kertas siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat lepas, wanita berusia 30an itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berhubung dakwaan itu tetapi dau hari kemudian menarik balik laporannya. BERNAMA

MB Selangor lawat PM

Oleh Agenda Selangor [Sabtu, 26 April 2008 ]

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Beberapa perkara telah dibincangkan bersama Perdana Menteri terutama perkara berkaitan program penswastaan, Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Lapangan Terbang Subang, dan isu pekerja asing di Selangor.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar, pada pertemuan itu, Abdullah menasihatkan supaya Kerajaan Negeri menghubungi Kementerian Pengangkutan dalam membincangkan dan menangani isu PKFZ serta cadangan penggunaan Lapangan Terbang Subang.

“Perdana Menteri memberi respon positif bahawa terdapat ruang untuk Kerajaan Negeri membangunkan kawasan tersebut.,” kata kenyataan itu.

Selain itu, dalam menangani isu air di Selangor, pihak Kerajaan Negeri Selangor diminta berbincang bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pertemuan dua hala itu juga membincangkan isu pekerja asing yang kian meningkat di Selangor.

Beberapa perkara lain yang berkaitan juga dibincangkan seperti kenyataan-kenyataan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Pelancongan, dan Menteri Pelajaran yang tidak menyumbang kepada hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Keris tidak lagi dijulang tapi keangkuhan masih ada pada Umno - Anwar

SHAH ALAM, 27 April - Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Pemuda Umno Dato' Hishamuddin Tun Hussien tidak perlu mengulangi kesilapan mengangkat keris yang memberi gambaran keangkuhan bangsa Melayu.

Katanya, kesilapan beliau bukan soal keris yang dijulangnya tetapi di sebaliknya iaitu sikap keangkuhan kuasa yang terus-menerus membuatkan rakyat negara ini mengubah undi mereka dalam pilihan raya lalu.

"Umno telah mempermainkan isu bangsa, etnik dan kaum dalam politik negara kita dan ini masih diteruskan oleh Umno," katanya dalam sidang media selepas melancarkan dua buah buku Allahyarham Rustam A. Sani di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Misalnya kata beliau, dalam ulasan isu ternakan babi di Selangor dan ulasan mengenai ketuanan Melayu kononya orang Melayu sudah bangkit dan marah.

Keadaan ini katanya memberi makna sentimen keangkuhan masih kukuh dalam Umno yang tidak boleh lagi diterima oleh rakyat negara ini.

"Langkah menyatakan minta maaf itu amat kita alu-alukan tetapi perkara ini harus diambil serius terutama sentimen dalam Umno iaitu menjulang keris," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Hishamuddin yang meminta maaf dan mengakui perbuatan menjulang keris Panca Warisan dalam Perhimpunan Agung Umno telah menjejaskan undi BN dalam pilihan raya lalu.

"Saya minta maaf pada orang bukan Melayu kerana telah menakut-nakutkan mereka dan kepada orang Melayu kerana gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu.

"Saya bukan angkuh dan sombong yang tidak boleh memohon maaf dari orang lain," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda BN di ibu negara hari ini.

Sebelum itu, Anwar turut melancarkan dua buah buku tulisan Allahyarham Rustam 'Failed Nation?' dan 'Concerns Of a Malaysian Nationalist' yang diterbitkan oleh Strategik Information and Research Development Oganized (SIRD).

Program yang bermula jam tiga petang itu turut memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang rapat dengan Allahyarham Rustam untuk memberi ucapan antaranya, Dr Syed Hussein Ali, A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Noraini Othman.

Mereka masing-masing menceritakan pengalaman dan detik-detik manis sepanjang mengenali Allahyarham Rustam bermula sewal beliau masih kanak-kanak hingga dewasa ketika bersama-sama arwah ayahnya iaitu Ahmad Boestaman.

Majlis bertambah sayu apabila, kedua anak Allahyarham iaitu Azrani dan Aryani diberi kesempatan berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada rakan taulan serta peminat Allahyarham.

Bacaan al-Fatihah disedekahkan kepada Allahyarham oleh mereka yang hadir dan diikuti bacaan doa buat beliau agar rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. - mns

Pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti tidak sah

KUALA LUMPUR, 27 April - Pemindahan wang Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke dalam akaun Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) tidak sah di sisi undang-undang.

Peguam, Mohamad Khairuddin Othman menegaskan perpindahan wang itu tidak sah disebabkan ia dilakukan selepas Umno-BN mengalami kekalahan dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Menurut beliau, antara syarat perlembagaan Balkis isteri Menteri Besar mesti mempengerusikan persatuan itu.

Sehubungan itu katanya, bekas isteri Menteri Besar Datin Seri Zaharah Kechik secara outamatik tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Bakti.

Katanya, pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti itu dianggap sebagai suatu kes jenayah atau penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

"Zaharah tidak ada kuasa untuk memindahkan wang tersebut apatah lagi menutup persatuan itu," katanya.

Beliau menasihatkan supaya wang tersebut dipulangkan semula ke dalam akaun Balkis.

Bakti terbabit dalam kontroversi penyaluran wang RM9.9 juta daripada Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) selepas ia cuba dibubarkan pada 13 Mac.

Ketika Umno-BN berkuasa di Selangor, Balkis dipengerusikan oleh isteri bekas menteri besar Dato' Mohd Khir Toyo. - mns

CERAMAH PILIHAN - MB PERAK DI STD PERAK

Batu Pahat: Peralihan kuasa sebelum Dis

Mesyuarat khas perwakilan Umno Batu Pahat mendesak pelan peralihan kuasa antara presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaksanakan sebelum Disember ini.

Di samping itu, bahagian itu juga mendesak kepimpinan Umno mengkaji secara terperinci punca kemarahan rakyat terhadap parti itu dan bertindak segera mengatasinya, seperti tuduhan wujudnya penglibatan "keluarga" dalam urusan pentadbiran negara.

Di samping itu, ia juga mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya menyediakan "pelan pemulihan parti" dengan segera untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno berikutan prestasi terburuknya pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Cadangan itu antara lima usul yang diluluskan dalam mesyuarat khas bahagian itu, lapor Bernama.

Ketua bahagian Umno Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usul-usul itu diluluskan sebulat suara oleh 365 perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu hari ini.

Katanya terdapat dua soalan yang perlu ditanya selepas pilihanraya umum baru-baru ini iaitu, apakah tindakan drastik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan mengapa rakyat begitu marah kepada Umno.

Pikat semula sokongan

Mohd Puad yang juga ketua Penerangan Umno Johor berkata Umno memerlukan formula baru untuk memikat semula sokongan rakyat bukan sahaja orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga generasi muda yang semakin kritis terhadap Umno.

Katanya Umno tidak lagi boleh berlengah dan perlu bertindak segera kerana ia mempunyai masa yang singkat untuk menghadapi cabaran empat tahun yang mendatang.

Beliau berkata ahli Umno tidak memerlukan pelbagai alasan dan penjelasan yang tidak menjawab soalan yang sebenarnya iaitu mengapa sokongan terhadap parti itu merosot dengan begitu teruk pada pilihanraya umum 8 Mac.

"Apakah isu sabotaj, isu wang peruntukan pilihanraya dan lain-lain menjawab soalan sebenar tentang mengapa rakyat begitu marah terhadap Umno," kata Mohd Puad.

Selain itu, katanya, Umno bahagian turut meluluskan usul mendesak MT Umno supaya menggunakan bidang kuasanya seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti untuk memanggil segera perhimpunan agung khas Umno.

Katanya, mereka turut meluluskan usul meminta kepimpinan parti supaya mengisi dan melaksanakan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertolak-ansur terutamanya berhubung agama Islam dan hak-hak orang Melayu.

Mohd Puad berkata beliau akan menyerahkan keputusan yang dicapai oleh Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan khasnya kepada Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.

Haron Din, Ismail Kamus di Forum Perdana Stadium Melawati

SHAH ALAM, 26 April (Hrkh) - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengembalikan semula era kegemilangan Forum Perdana Ehwal Islam yang dilaksankaan pada awal tahun 90-an.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, forum terbuka yang pernah dilaksanakan dengan kerjasama media eletronik tersebut sebenarnya telah menjadi antara faktor pembuka minda dan pencambahan budaya ilmu masyarakat.

Menurut beliau, forum itu dirancang secara berperingkat di seluruh Selangor bagi memastikan penghayatannya mencakupi setiap kawasan di bawah pentadbiran Jais.

Katanya, ia dirancang secara berterusan dan akan dimulakan di Bandaraya Shah Alam.

Forum tersebut anjuran bersama kerajaan negeri Selangor dengan Jais bertajuk, 'Menjana Islam Syumul di kalangan Ummah'.

Ahli panel terdiri daripada Dato' Dr Haron Din, Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Roslan Mohamed dengan moderator Adun Gombak Setia, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.

Forum itu akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam jam 8 malam, Ahad 27 April, dimulai dengan solat Isyak berjemaah.

Gerai jualan makanan dan minuman akan disediakan. Pihak yang berminat untuk berniaga sila hubungi 013-3600080/0134039760 untuk tempahan. - mns

Isu wang Balkis RM10 juta ke DUN S'gor

Wang kira-kira RM9.9 juta milik Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis), yang dilapor dipindahkan ke satu akaun lain, akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri bulan depan.

Yang dipertua badan itu Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohamad Khir Toyo, memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac - tiga hari selepas pilihanraya umum ke-12 - untuk membubarkannya dan menutup akaunnya sehari kemudian.

Wang sebanyak itu kemudian disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum sampai kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

Percubaan membubarkan Balkis melalui Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 13 Mac bagaimanapun berjaya dihalang menteri besar baru Selangor, lapor The Sun hari ini.

Mengulas kontroversi tersebut, wakil rakyat Kampung Tunku, Lau Weng San, mempersoalkan cara bekas menteri besar itu menjelaskan isu tersebut.

"Saya berasa ganjil dan aneh apabila skandal yang melibatkan pemindahan dana itu ... dijawab dengan tanpa segan silu oleh Dr Mohamad Khir," katanya.

"Kemusykilan pertama, mengapakah pengerusi Balkis, Zaharah Kechik sendiri tidak menjelaskan perkara ini apabila ia dilaporkan sebagai berita muka pertama oleh akhbar harian bahasa Inggeris, The Sun?"

Lau, yang juga setiausaha DAP negeri, turut mempertikaikan jawaban Dr Mohamad Khir, juga wakil Sungai Panjang, bahawa pembubaran Baklis "sah di sisi undang-undang".

"Bagaimana Dr Mohamad Khir dapat mengatakan bahawa pembubaran Balkis adalah sah di sisi undang-undang apabila mesyuarat agung tergempar yang diadakan pada 11 Mac telah membuat keputusan ini sedangkan barisan exco Balkis pada hari itu seharusnya membincangkan pemindahan kuasa dan aset Balkis kepada barisan Exco yang baru?" katanya.

Lau juga berkata, wang Balkis itu tidak seharusnya dipindahkan kepada Bakti kerana perlembagaan Balkis menyatakan wang RM9.9 juta itu sepatutnya disalurkan kepada kerajaan atau tabung yang didirikan oleh kerajaan dengan kelulusan daripada ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Lebih-lebih lagi sebahagian dana ini merupakan wang derma daripada kerajaan negeri Selangor," katanya.

Sementara itu menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri dijangka membuat tuntutan dalam masa terdekat terhadap segala sumbangan yang diberikan memandangkan Balkis bertindak sebagai pemegang amanah kepada kerajaan negeri Selangor untuk tujuan amal kebajikan dan mengambil wang daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri."

Selain Zaharah, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua, Pon Ishak (setiausaha) dan Surami Sapuan (bendahari).

Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.

Bila Ezam tidak lagi memahami perjuangan dan cita-cita Anwar

Oleh Mohd Sayuti Omar [Sabtu, 26 April 2008 ]

SEMALAM dia tidak mengenakan baju berwarna kesukaannya, warna biru Keadilan. Warna biru adalah warna kesukaan kaum Bahirah. Warna damai dan warna yang romantika. Warna yang dibaurkan dengan buakan emosi cemburu.

Benarkah orang yang menyukai warna biru dia seorang pencemburu? Seorang yang menyimpan rasa keperibadian dan kasih sayang tinggi kepada seseorang sehingga sukar untuk dikongsikan dengan orang lain hatta rakan di kanan sendiri!

Wajahnya juga tetap seperti biasa, tenang dan optimistik! Seolah tidak ada gelora dalam jiwanya. Kedatangan saya tidak sedikitpun merujakannya – bimbang persoalan yang peribadi akan diungkitkan.

Tidak! Dia bijak metafsirkan keadaan dan sering kali melepazkan sesuatu yang rahsia itu bersama gumpulan senyuman mesra. Itulah Ezam Mohd Noor.

“Apa khabar Ji (haji)?” Dia menerpa kepada Haji Bakar Ninggal yang datang bersama saya selepas berjabat dengan saya. Kawan ini sengaja saya bawa dan tidak memberi tahu niat untuk berjumpa Ezam itu. Dia marah-marah suka apabila tiba-tiba berjumpa dengan Ezam.

Kawan inilah yang sering bercakap mengenai Ezam, yang mengeluh mengenai nasib yang dialami Ezam. Dia juga rindu kepada Ezam. Baginya kehilangan Ezam mengurangkan digit-digit penting dalam Keadilan (PKR).

Kesemapatan berbicara sekejap saja. Kurang 30 minit. Barusan beliau melayan dua wartawan muda Siasah yang datang menemuramahnya.

Seperti biasa pegawai perhubungan awamnya menghidangkan minum dan sedikit kueh. Penyediaan kueh menandakan kerendahan dan kesopanan hubungan Ezam dengan orang lain bukan untuk berlumayan!

Justeru saya tidak banya menyoalnya. Seperti saya jelaskan dalam tulisan terdahulu saya menghampirinya untuk membaca dengan makrifat, apakah kitab politik yang sedang dibaca oleh Ezam pada masa ini.

“Tidak... biarlah saya begini. Banyak kerja di sini pun...,” begitulah jawab Ezam terus terang apabila Bakal Ninggal mempelawa dan menyebut Keadilan memerlukannya.

Penolakan Ezam bagaikan gadis sunti yang lari meninggalkan rumah dan kini terjebat dalam sarang kemaksiatan. Apa yang yang dilakukan itu sebagai satu escape – perlarian dari suatu dunia yang menyedukan hatinya.

Beliau cuba tidak mahu bercakap panjang mengenai mauduk itu untuk mengelak timbul kontroversi dan persepsi tidak baik. Ezam seorang yang berhati-hati dan tidak suka kepada provokasi.

Tetapi dari balik tirai dapat dibaca, dia masih menyayangi Keadilan. Wajahnya menceritakan demikian. Keadilan dianggap sebagai anaknya sendiri.

Kalau pun dia tidak suka Keadilan bukan kerana benci kepada si anak itu, tetapi kerana berbulu dengan sikap sang ibunya. Itu saja.

Siapakah ibu Keadilan? Beliau berterus terang dan sudah menjadi pengetahuan umum, mulanya dia tidak senang dengan sikap dan perwatakan politik Mohd Azmi Ali.

Orang itulah yang tidak menyenangkan jiwanya. Kini ia sudah berjangkit kepada Anwar. Sikap Anwar yang tidak membelanya dan terus menunjukkan sikap panas barannya bila Ezam melakukan sikit kesalahan, menjadikan Ezam merasakan dia tidak berguna.

Menurut Ezam pernah sekali mereka bertemu di hospital semasa melawati seseorang namun Anwar buat tidak endah dan menghormatinya langsung. Lantaran itu dia merasaka wajar beliau terus kekal dalam perlariannya itu.

Aduh Salehah...!

Bila bercakap mengenai Anwar, Ezam tidak segan silu lagi. Beliau beterus terang mendakwa bahawa Anwar kini sudah berubah.

Ezam lantas membalun Anwar yang tidak lagi memperjuangkan Melayu. Anwar menurut pemerhatiannya sudah tidak meletakkan Melayu sebagai tonggak perjuangan PKR. Itu alasan dan justifikasi kenapa beliau dingin kepada Anwar dan PKR.

Dalam masa sama katanya Anwar turut menolak DEB, yang menjadi kebanggaan dan harapan orang Melayu selama ini. Bagi Ezam penolakan DEB oleh Anwar ini sangat buruk dan huduh. Buruk dan huduh sehingga beliau melarikan diri dari kemelut perjuangan PKR.

Saya bersama Ezam dalam hal Melayu ini. Saya juga dalam delima bila melihat beberapa tali ikatan kekuatan Melayu dirombak dan cuba direlaikan kerana tujuan politik bersifat kontemporari.

Namun saya juga tertanya soal realiti dan sosial politik kita. Kita tidak boleh bersendirian dan merasakan tindakan Anwar ada logiknya.

Soalnya apakah sejujur yang dibayangkan itu Anwar berbuat begitu, menolak DEB? Bukankah Anwar ada menjelaskan yang beliau tidak sesekali menolak DEB itu yang mana konsep dan dasarnya jelas dan baik untuk orang Melayu?

Kata Anwar dalam beberapa majlis dan menjawab tanggapan itu, apa yang beliau tolak ialah perlaksanaanya. Bukan konsep dan matlamatnya.

Alasan Anwar DEB tidak memberi kebaikan dan menyelamatkan orang Melayu, kerana perlaksanaanya bobrok. DEB hanya mengkayakan kroni sahaja dan bukan memberi kesenangan kepada Melayu.

Dalam erti kata lain telah berlaku ketirisan dan ketidakjujuran dalam pelaksanaan DEB.

Dalam kata lain DEB menjadi mekanisme dan kesempatan untuk para kroni membuat kekayaan untuk diri sendiri. Itu yang ditolak.

Dan kemungkinan yang menyebabkan timbul kekeliruan ini, kenyataan dan pandangan Anwar itu dieksploitasikan oleh media mengatakan Anwar menolak DEB.

Kita, Ezam dan sesiapa kena faham kalau tanggapan itu hadir dari media. Media arus perdana sangat membenci Anwar. Sebab itu bila Ezam menunjukkan sikap dingin dan berjauhan dengan Anwar, media arus perdana mula memberi hati dan mendekati Ezam.

Saya hormat Ezam kalau keputusan itu tepat dan alasan itu juga benar. Ezam bukan harus lari daripada pengkhianat bangsa bahkan kena melawannya.

Sesiapa pun yang mahu mengkhianati bangsa tidak wajar diberi peluang dan disokong dan didoakan. Kita tidak mahu bersubabat dan dipersoalkan dalam buku sejarah kelak?

Tetapi kalau perlarian Ezam kini kerana sakit hati kepada seseorang, ia tidak benar. Walaupun Ezam mencari dan menghimpun alasan dan hujah-hujah yang logik diterima namun ia ternyata satu sikap tidak gentlemen dan bukan keputusan yang fatah.

Ezam menjadi terlalu inferioriti komplesk dalam hal ini kerana mengaku kalah bukan kepada musuh tetapi kepada keadaan dan rasa rendah dirinya sendiri.

Bagaimana pun sekiranya Ezam sudah menemui padang perjuangan baru hasil pembacaan kitab politiknya hari ini, selamat juga diucapkan kepadanya.

Yang penting Ezam tidak akan menidurkan diri dan tidak membisukan telinga dalam situasi ini di mana Melayu riuh randah berusaha untuk membaiki darjat dan martabat diri yang sudah banyak terhakis ke muasir ini.

Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang