Pages

Friday, February 26, 2010

Royalti Minyak: UMNO Kelantan Tiada Kuasa - YB Haji Husam

KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, YB Dato' Haji Husam Musa berkata, Pemimpin UMNO Kelantan yang berjawatan Menteri, tidak layak untuk bercakap mengenai Royalti Minyak kerana tidak mempunyai Portfolio dalam bidang tersebut.
Beliau yang juga EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan berkata, tanggungjawab untuk menjawab isu berkenaan sepatutnya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Petronas yang lebih tahu mengenai tuntutan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya hairan, kenapa pemimpin UMNO Kelantan yang bercakap mahu menghalang pemberian Royalti sedangkan ia bukan bidang kuasa mereka, sepatutnya pemimpin UMNO ini bersatu dengan kita untuk menuntut royalti bagi faedah rakyat Kelantan.

“Tanggungjawab untuk menjawab isu ini ialah perdana Menteri dan Petronas, bukan Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak ada kena-mengena dengan Portfolio Petroleum, sebab itu bagi saya, keputusan ini adalah keputusan politik UMNO Kelantan,” katanya ketika ditemui di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menjelaskan, semua kenyataan beliau berhubung Tuntutan Royalti Minyak Kerajaan PAS adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang turut disertai oleh Petronas, Peguam Negara dan pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mustapa yang juga pengerusi perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Kelantan dukacita dengan pelbagai dakwaan dan menganggap ia sebagai satu penyelewengan yang ditimbulkan oleh pembangkang yang cuba mencari ihsan politik.

Dalam masa yang sama, Husam berkata kepimpinan UMNO Kelantan jelas mengutamakan politik apabila kenyataan yang dikeluarkan dilihat bercanggah dengan pemimpin UMNO Terengganu (MB Mat Said) yang turut memperjuangkan isu Tuntutan Royalti Minyak.

“Kenapa UMNO Kelantan berbeza pandangan dengan UMNO Terengganu serta Ahli Parlimen Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah)? satu parti iaitu UMNO tetapi ada dua pandangan yang berbeza mengenai royalti, ini menunjukkan ianya sekadar untuk kepentingan politik.

“Kerajaan Negeri Terengganu menuntut dari sudut undang-undang walaupun mereka daripada UMNO, Ahli Parlimen Gua Musang juga dari parti UMNO, memberi pandangan mengikut undang-undang, tetapi UMNO Kelantan mengetepikan undang-undang kerana politik,” katanya.

Sumber - Sinar Harian

Monday, February 15, 2010

Ku Li perlu nilai kedudukannya dalam UMNO - Muhyiddin


Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Tengku Razaleigh Hamzah perlu menilai kedudukannya dalam parti ekoran tindakannya yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak.

Timbalan Perdana Menteri berkata Umno memandang berat tindakan Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu.

"Platform yang dia (Tengku Razaleigh) gunakan itu bukanlah platform kerajaan pusat atau platform Umno...saya dimaklumkan ia ditaja oleh PAS.

"Oleh itu sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan kita juga ikuti banyak kenyataan-kenyataan yang beliau dah keluarkan dan saya lihat ada juga bertentangan dengan prinsip kerajaan dan parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk Daerah Besut di Besut Sabtu.

Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang menyatakan pendiriannya mengenai royalti petroleum melalui platform pembangkang pada 28 Jan lepas di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan.

Muhyiddin berkata bekas Menteri Kewangan itu yang sudah dianggap veteran dan berpengalaman sepatutnya mempunyai pendirian yang tetap berhubung soal royalti minyak.

"Saya tidak sesuai nak tunjuk ajar, padahal Ku Li lebih senior daripada saya dan dia lebih tahu daripada saya.

"Harap teliti semula kedudukannya kerana dilihat melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip parti atau yang bertentangan dengan dasar parti dan kerajaan. Jadi serah kepada kebijaksanaan Ku Li," katanya.

Mengenai cadangan PAS untuk bekerjasama dengan Umno, Muhyiddin berkata cadangan yang dikemukakan itu tidak mengambarkan permintaan daripada akar umbi parti berkenaan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dah beritahu, kita (Umno) tak pasti kerana mereka (PAS) selalu berubah-ubah. Ia dibuat atas kenyataan (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) saja, kecuali kalau partinya buat keputusan seperti Majlis Syura yang bagi kenyataan nak berkerjasama dengan Umno dan kalau itu berlaku, kita ambil serius.

"Kalau setakat seorang dua yang nyatakan benda (kerjasama) itu, kemudian dia boleh berubah, tak setuju dan ia tak jadi apa-apa. Kita dah melihat banyak peristiwa dulu yang lepas-lepas, bila sebut nak kerjasama, esok dia patah balik," katanya.

Katanya, Umno tidak boleh bergantung kepada cadangan seorang dua untuk bekerjasama, sebaliknya mestilah datang daripada keseluruhan parti.

"Setakat hari ini kita hanya mendengar...tak sesuai untuk kita respons," katanya.-13/2/2010