Pages

Monday, August 30, 2010

Dr Asri: Saya bukan pertahan YB Teo

PETIKAN: MALAYSIAKINI.COM/BM
Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin berkata laporan media yang menyebut bahawa beliau mempertahankan tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching adalah kurang tepat.

"Saya kira laporan itu kurang tepat. Saya tidak campur dalam urusan politik beliau dan tidak mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Cuma, tambahnya, beliau telah menegaskan beberapa perkara berikut:

1. Bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika dengan tujuan yang betul seperti untuk mengenali Islam, memahami atau mempelajarinya. Juga untuk urusan dengan orang Muslim, dengan syarat tidak mencemarkan kemuliaan masjid. Ini kerana pada zaman Nabi SAW bukan Muslim masuk ke masjid untuk bertemu Rasulullah SAW.

2. Isu-isu agama Islam hendaklah dinilai dengan timbangan agama yang berteraskan dalil dan hujah. Menggunakan neraca politik kepartian untuk menilai isu agama boleh merosakkan kesucian agama ini. Islam dibina atas hujah dan dalil, sementara politik kepartian sering dibina atas persepsi dan prejudis.

3. Bukan Muslim, bahkan Muslim juga tidak boleh menggunakan masjid untuk tujuan politik puak dan peribadi.

4 .Pandangan dan pendapat mengenai Islam hendaklah berteraskan hakikat Islam yang sebenar. Pendekatan sesetengah golongan politik kebelakangan ini menggunakan isu agama untuk membangkit permusuhan kaum sehingga boleh menimbulkan salahfaham terhadap Islam, sebenarnya tindakan itulah yang mencemarkan Islam.

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang itu memberi ucapan di sebuah surau di Kajang Sentral telah menimbulkan kemarahan beberapa pihak.

Berikutan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil alih pengurusan surau tersebut.

Sultan Selangor juga dilaporkan turut murka dengan apa yang berlaku itu.

Sunday, August 29, 2010

Nik Aziz: Jahil agama punca polemik

Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ia antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu itu menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.
“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya kepada HarakahDaily.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Nik Aziz berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memaklumkan kepada Teo.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah.

Thursday, August 26, 2010

Doa untuk Lim: Bendung segera budaya ‘tahrim’

Shah al-Maududy Ogos 26, 10 2:48pm

Imam Nawawi berdalilkan dengan peristiwa seorang Yahudi memberi minum kepada Nabi s.a.w setelah Baginda meminta demikian. Nabi s.a.w telah mendoakan untuk si Yahudi tadi dengan bersabda “semoga Allah mencantikkan kamu”. (Lihat al-Azkar dalam bab Ma Yaquluhu al-Muslim Lil al-Zimmi Iza Fa'ala Bihi Ma'rufan).

Sebelum ini, beberapa tokoh ulama 'rasmi' dan 'tidak rasmi' tampil membantah apa yang dinamakan sebagai budaya tabdi'. Tabdi' bermaksud membidaahkan sesuatu atau menghukumkannya sebagai bidaah.
Budaya tabdi' merujuk kepada kelantangan dan ketegasan sesetengah agamawan membid'ahkan beberapa amalan keagamaan umat Islam negara ini, yang sesetengahnya adalah perkara khilafiyyah sejak zaman berzaman.

Namun, sedar atau tidak, kini nampaknya satu budaya baru mula bertunas yang boleh dinamakan 'budaya tahrim'. Tahrim bermaksud 'mengharamkan sesuatu'. Mengharamkan sesuatu berdasarkan dalil-dalil yang sahih bukan satu kesalahan.

Yang salah ialah mengharamkannya secara tergesa-gesa tanpa berusaha bersungguh-sungguh mencari nas-nas yang berkaitan. Inilah yang dimaksudkan dengan 'budaya tahrim'.

Bila ada orang Islam mendoakan keburukan kepada sesetengah individu Islam, yang dianggap melakukan kezaliman, sesetengah 'ulama rasmi' terus memfatwakannya sebagai haram. Ada juga yang menganggap perbuatan itu 'bertentangan dengan ayat al-Quran yang menegaskan umat Islam adalah bersaudara'!

Yang jelas, fatwa ini dikeluarkan tanpa merujuk kepada nas-nas yang berkaitan dengan isu 'mendoakan keburukan kepada individu muslim'. Jika nas-nas tersebut dirujuk, saya yakin tiada seorang pun umat Islam, apatah lagi ulama yang tergamak mengharamkannya.

Siapakah di kalangan umat Islam yang tulen, tergamak mengharamkan apa yang jelas dilakukan sendiri oleh Rasulullan s.a.w dan para sahabat serta diperakui keharusannya oleh para ulama?.

Dalam Sahih Muslim, diceritakan perihal seorang lelaki yang makan dengan tangan kiri disamping Rasulullah s.a.w. Bila Rasulullah s.a.w mengarahkannya makan dengan tangan kanan, lelaki tersebut, kerana didorong oleh sifat takbur, mendakwa tidak mampu makan dengan tangan kanan.

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda “[kalau begitu] kamu tidak akan mampu [makan dengan tangan kanan]”. Setelah Baginda bersabda demikian, lelaki tersebut tidak lagi boleh mengangkat tangan kanannya ke mulutnya (lihat hadis no.5387 dalam Bab Adab al-Ta'am Wa al-Syarab Wa Ahkamuhuma).

Semasa mengulas hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan hadis ini menunjukkan keharusan mendoakan (keburukan) ke atas orang yang melanggar hukum syarak (lihat huraian al-Hafiz Ibn Hajar terhadap hadis no.4957 di bawah bab al-Tasmiah 'Ala al-Ta'am Wa al-Akl Bi al-Yamin dalam Sahih Bukhari).

Perkara yang sama turut dilakukan oleh sahabat Nabi s.a.w, Sa'ad bin Abi Waqqas r.a yang mendoakan keburukan ke atas orang yang memburuk-burukkannya iaitu Usamah bin Qatadah. Sa'ad r.a berdoa kepada Allah supaya memanjangkan umur Qatadah dan memanjangkan kefakirannya serta mendedahkannya kepada fitnah(Hadis muttafaq 'alaih. Rujuk Riyadhus Solihin dalam bab Karamat al-Auliya' Wa Fadluhum).

Lihat pula kenyataan Imam Nawawi dalam al-Azkar. Di bawah bab Jawaz Du'a al-Insan 'Ala Man Zalama al-Muslimin Au Zalamahu Wahdahu (Keharusan seseorang mendoakan (keburukan) ke atas orang-orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya), beliau berkata, “sesungguhnya nas-nas al-Quran dan hadis serta amalan orang-orang terdahulu dan terkemudian (daripada) umat (Islam) ini, saling 'bekerjasama' dalam menunjukkan keharusannya (iaitu mendoakan keburukan ke atas orang-orang yang zalim)”.

Di saat hadis-hadis Nabi begitu jelas, kenyataan para ulama begitu nyata yang mengharuskan doa seperti ini, tiba-tiba 'ulama rasmi' kita dengan ringan mulut mengatakan mendoakan keburukan ke atas orang Islam yang dianggap zalim adalah haram sama sekali. Menafikan hakikat bahawa umat Islam bersaudara!.

Jika dilihat dalil-dalil dan kenyataan ulama yang jelas seperti di atas, kemudian dibandingkan dengan fatwa 'ulama rasmi' kita yang bercanggah dengan dalil-dalil dan kenyataan tadi, kita dapat menilai betapa seriusnya realiti yang ada. Ia serius kerana fatwa tersebut terang-terang bercanggah dengan nas dan kenyataan ulama-ulama muktabar.

Begitu juga isu kalimah Allah. Meskipun al-Quran merakamkan 'penggunaan kalimah Allah' oleh bukan Islam tanpa membantahnya, ada 'ulama rasmi' yang sampai ke tahap menganggap orang yang menyokong bukan Islam negara ini menggunakan kalimah Allah sebagai 'tidak beriman'.

Dalam surah Az-Zumar ayat 3, Allah merakamkan ucapan orang-orang kafir iaitu “kami tidak menyembah atau memujanya (sembahan selain Allah) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”. Adalah jelas mereka menggunakan kalimah Allah dan tidak dibantah oleh al-Quran. Sila rujuk sambungan ayat 3 surah ini untuk kepastian.

Kita semua juga mengakui bahawa orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam menggunakan kalimah Allah. Bahkan surat Raja Mesir yang beragama Kristian, Muqauqis kepada Nabi s.a.w, dimulakan dengan bismillahirrahmanirrahim (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, jld. 2, hlm. 359 dan Zadul Ma'ad karangan Ibn Qayyim, jld. 3, hlm. 61).

Para ulama sejak dahulu tidak pernah melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam iaitu Ahli Kitab. Buktinya, bagi menjadikan sembelihan Ahli Kitab halal dimakan oleh orang Islam, para ulama mensyaratkan supaya Ahli Kitab menyebut nama Allah semasa menyembelih! (Rujuk tafsiran Imam Qurtubi terhadap ayat 5 surah al-Ma'idah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Di celah-celah lambakan fakta yang jelas sebegini, terbitlah fatwa bahawa orang Islam yang menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah dianggap tidak beriman!. Kini timbul pula isu orang Islam mendoakan untuk bukan Islam. Sebenarnya, isu ini telah diselesaikan ulama sejak zaman silam lagi. Mereka menyatakan secara jelas hukumnya sehingga kita tidak perlu lagi berijtihad dan berselisih pendapat.

Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar mengatakan “tidak harus didoakan untuknya (bukan Islam) keampunan dan yang seumpamanya…tetapi harus didoakan (untuknya) hidayat, kesihatan (tubuh) badan, kesejahteraan dan yang seumpamanya”.

Imam Nawawi berdalilkan dengan peristiwa seorang Yahudi memberi minum kepada Nabi s.a.w setelah Baginda meminta demikian. Nabi s.a.w telah mendoakan untuk si Yahudi tadi dengan bersabda “semoga Allah mencantikkan kamu”. (Lihat al-Azkar dalam bab Ma Yaquluhu al-Muslim Lil al-Zimmi Iza Fa'ala Bihi Ma'rufan).

Selain Imam Nawawi, beberapa orang ulama dari mazhab Syafie turut menyatakan dengan jelas keharusan mendoakan kebaikan duniawi kepada bukan Islam. Syeikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj dan Syeikh Ibn Hajar dalam Tuhfatul Muhtaj dengan jelas mengatakan “harus mendoakan kesihatan tubuh badan dan hidayat untuk orang kafir”(Lihat huraian tentang tasyahhud dalam kedua-dua kitab yang dinyatakan).

Di tengah-tengah kejelasan fatwa ulama muktabar Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini, secara tidak semena-mena sesetengah pihak memfatwakan “haram mendoakan kesejahteraan untuk bukan islam”!.

Kita tidak tahu apakah fatwa ulama-ulama muktabar ini telah dirujuk sebelum fatwa haram tersebut dikeluarkan. Jika ia telah dirujuk oleh pihak terbabit, kita tidak pernah faham dan tahu atas alasan apakah mereka tetap mengharamkan doa orang Islam kepada bukan Islam.


Semua ini mendorong kepada pembentukan satu kesimpulan iaitu “budaya tahrim sudah mula bertunas”!

Persoalan yang penting di sini ialah, apakah punca kepada kewujudan budaya 'tahrim' ini. Penulis tidak melihat ia berpunca daripada kepentingan politik atau kepentingan peribadi. Ini kerana, pihak-pihak yang terbabit dalam budaya 'tahrim' ini dipercayai keikhlasan dan pekerti mereka dan telah terbukti berani mengeluarkan pandangan meskipun bertentangan dengan kehendak pemerintah.

Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah sekadar penulis bertanya “apakah sudah sampai masanya kesarjanaan dijadikan syarat utama bagi menjadi 'ulama rasmi', dan apakah sudah sampai masanya calon-calon 'ulama rasmi' dicadangkan oleh satu lembaga ulama untuk dipilih oleh pemerintah?.

Kepada pihak berkuasa, ingatlah, jika 'budaya tahrim' ini terus berlaku dalam institusi 'ulama rasmi', institusi ini akan hilang kredibilitinya dan tidak lagi menjadi rujukan umat Islam negara ini!.

Doa untuk bukan Muslim

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ogos 24, 10
3:50pm




Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

KataAbdullahbin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Saman: Felda diperintah bayar RM11 juta kepada peneroka

oleh: http://berita.mediakini.com

Peneroka yang menang kes saman ke atas Felda.

PUTRAJAYA 26 Ogos – Felda tiada pilihan kecuali membayar RM11 juta ganti rugi kepada 354 peneroka sebagai bayaran bagi buah kelapa sawit selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya supaya mahkamah yang sama menyemak semula keputusannya pada 19 Januari lalu yang tidak membenarkan agensi itu merayu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan FELDA berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan FELDA membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan FELDA membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Mereka menyaman FELDA bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Mereka menamakan FELDA, pengurus FELDA Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah hari ini.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. – Bernama

Video: Mahkamah mengarahkan FELDA membayar RM11 juta kepada 354 peneroka

Muktamad: Felda diarah bayar peneroka RM11 juta

Selepas lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain, mahkamah itu yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.

Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Keputusan sebulat suara

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Menurut Alauddin, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Justeru, rayuan itu ditolak.”

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah meningkat

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

“Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” kata Zaki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.

Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff. – Malaysiakini

Saturday, August 21, 2010

Yb Khalid Samad: UMNO, Kura-Kura dan Perahu

Sumber asal artikel: http://www.khalidsamad.com/2010/09/umno-kura-kura-dan-perahu.html

Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadhan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan Masjid dan Surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran PR. Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya. Menurut mereka lagi, ini dilakukan demi memperolehi undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri. Iaitu demi kuasa, kata mereka lagi, kesucian Islam sanggup digadai sehingga orang bukan Islam dibenarkan masuk kerana Surau dan Masjid. Kehormatan ummat Islam tercemar kerana terpaksa menerima sumbangan wang dari orang bukan Islam dan sebagainya.

Saya tidak berhajat untuk mengulas berkenaan isu bukan Islam memasuki ruang solat di Masjid atau surau, bagaimanapun kepada yang berminat bolehlah mengikuti keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Sehubungan dengan itu, bagi yang mengenali UMNO, segala bentuk dakwaan sedemikian rupa tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat. Bagi yang mengenali peranan Pengarah JAIS dan MAIS sebagai kesinambungan wadah kepuraan UMNO dalam bersandiwara, ianya turut tidak memberikan sebarang kesan. Tetapi bagi yang masih ‘kabur’, saya sajikan beberapa keping gambar yang menjelaskan sifat UMNO yang berkura-kura berpura-pura, pembohong dan memutar-belit fakta tanpa syak lagi.

Gambar 1 & 2 :- Wakil rakyat (ADUN) UMNO memberi tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid FELDA Gedangsa. Adakah beliau mempunyai tauliah? Tidak pula ditimbulkan persoalan penderhakaan kepada DYMM Sultan Selangor oleh Pengarah JAIS.



Gambar 3 :- Ahli Parlimen Hulu Selangor bersama ADUN UMNO menyerahkan sumbangan cek di dalam Masjid Sg. Tengi Selatan. Semua tersenyum lebar dan tiada pula mendakwa di hina atau Masjid tercemar. Ahli Parlimen berkopiah yang telah mengeluarkan fatwa ‘penghinaan’ terhadap ummat Islam kerana terpaksa menerima sumbangan dari orang kafir, pun mendiamkan diri - mungkin kerana sibuk menikmati juadah raya. Saya juga difahamkan oleh seorang sahabat bahawa ada yang berkopiah kerana hendak bersikap tawaddu’, tetapi ada yang berkopiah kerana hendak menyorok ‘bald spot’. WaLlahu 'Alam.



Gambar 4 :- Pengerusi MAIS bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, yang digelar ‘Ustadz Kamal’ oleh beberapa perayu undi UMNO semasa PR kecil Hulu Selangor, hadir bersama dalam majlis gotong royong di perkarangan Masjid FELDA Soeharto. ‘Ustadz’ berkenaan memakai baju berlambang dacing walaupun di dalam kawasan Masjid. Pengerusi MAIS tidak pula memarahi beliau kerana membawa politik ke Masjid atau menanyakan samaada beliau telah bermandi hadas dengan niat dan cara yang betul.


Gambar 5 :- Jika tidak nampak lambang Dacing dalam gambar 4, jelas sekali dalam gambar 5 ini. Lebih hebat, ‘Ustadz Kamal’ bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta. Ke mana perginya Ahli Parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya ummat Islam telah dihina?


Inilah yang dikatakan sebagai budaya pembohongan dan kepura-puraan mainan UMNO BN. Jika isu berhubung agama Islam pun mereka sanggup putar-belit demi menjaga kepentingan mereka, apatah lagi persoalan pengurusan kekayaan Negara. Ada yang memberitahu saya bahawa Khir Toyo sudah tidak beminat menjadi MB Selangor lagi. Hah! Sememangnyalah begitu! Setelah melihat pendekatan MB dan kerajaan negeri sekarang, pasti beliau menyedari jawatan MB tidak selumayan ketika UMNO bermaharajalela dahulu. Tugas dan kerja pula bertambah berat, pulangan pula hanya tinggal sedikit, tiada lagi ‘imbuhan’ sampingan dan yang dapat dikaut dari sisi kiri dan kanan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Sumber asal artikel: http://www.khalidsamad.com/2010/09/umno-kura-kura-dan-perahu.html
Sumber asal artikel: http://www.khalidsamad.com/2010/09/umno-kura-kura-dan-perahu.html

Thursday, August 5, 2010

PERSADA ANJUR BEWOH DURIAN

Persada anjur jamuan pulut durianHarakahdaily PUCHONG, 5 Ogos: Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (Persada) akan menganjurkan Majlis Amal Jamuan Pulut Durian pada 7 Ogos ini di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong Indah bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang.
Menurut Setiausaha Penaja Persada, Razali Mat... Ail, adalah menjadi tradisi masyarakat di Kelantan apabila hampir bulan Ramadhan kebiasaanya orang-orang kampung akan bergotong royong mengadakan majlis-majlis jamuan terutama di surau-surau dan masjid-masjid.
“Walaupun kita merantau di Lembah Klang, amalan tradisi ini akan terus dipertahankan kerana ternyata ia boleh mengeratkan silaturrahim dan lebih-lebih lagi ia boleh melahirkan sikap kasih sayang dan keprihatinan seolah-olah kita semua adalah satu keluarga walau pun tidak mengenali antara satu sama lain.
“Insya Allah, di dalam majlis tersebut pihak Persada akan memberi sedikit sumbangan kepada warga Kelantan yang memerlukan bantuan yang tinggal di sekitar Puchong,” katanya.
Katanya, persembahan dikir barat akan turut dihidangkan kepada para pengunjung dan beberapa tetamu kehormat dijangka akan hadir untuk memeriahkan majlis.
Sehubungan itu, beliau dengan berbesar hati menjemput masyarakat Kelantan di sekitar Lembah Klang dan masyarakat setempat untuk hadir memeriahkan majlis di samping dapat memperkukuhkan ikatan ukhuwah.
Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah mengunjungi laman web Persada di http://persada.net/ atau menghubunginya di talian 017-6242522 atau Zainuha 012-3619259.

3 perkara wajib bagi Najib-Rosmah

Oleh : Hishamuddin Rais (Malaysiakini)

Tiga perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan Najib-Rosmah untuk menyelamat harta kekayaan dan kuasa mereka daripada dirampas kembali oleh kuasa orang ramai.

Tiga perkara ini bukan terlalu susah untuk difikirkan. Malah ianya tidak memerlukan bantuan penasihat zionis APCO untuk memunculkan perancangan. Kita sendiri boleh memikirkan tiga pekara ini tanpa memerlukan ijazah PPE dari Oxford. Tahap jaguh kampung dan gedebe politik seperti Ibrahim Ali pun sedar hal ini.

Tiga pekara ini ialah:

1. Anwar Ibrahim mesti di ketepikan;

2. Parti PAS wajib dipisahkan dari Pakatan Rakyat; dan

3. Propaganda untuk menghuru-harakan Parti Keadilan Rakyat wajib diperbesarkan

Ketiga-tiga perkara ini wajib berjalan sarentak. Untuk kerajaan Najib-Rosmah, tiga perkara ini lebih penting daripada dasar ekonomi baru atau model ekonomi baru. Lebih penting dari dasar luar negara. Lebih penting dari Rancangan Malaysia ke-10. Kerana rancangan ini begitu penting sekali, maka kerajaan Najib-Rosmah akan menjanjikan apa saja untuk memastikan tiga pekara ini dapat direalisasikan.

Kerajaan Najib-Rosmah tahu, sedar dan merasakan bahawa susuk Anwar Ibrahim memainkan peranan yang amat penting dalam ikatan setiakawan Pakatan Rakyat. Dengan adanya susuk Anwar maka Pakatan Rakyat dapat berdiri teguh. Mengikut pandangan Najib Rosmah, jika Anwar 'diketepikan' maka Pakatan Rakyat akan londeh terbarai. Sama ada ini hakikat atau sebaliknya bukan penting. Yang penting inilah persepsi politik mereka. Politik bukan kebenaran – politik ialah persepsi.

Apa yang kita lihat hari ini - apa yang sedang berlaku di lanskap politik negara ialah gerak kerja jentera dan apparatcik politik Najib-Rosmah sedang menjalankan tugas untuk meminggirkan Anwar.

Dalam strategi politik, langkah pertama sebelum musuh diserang ialah melahirkan satu imej buruk musuh. Ini penting untuk mengolah persetujuan orang ramai. Ketika perang dunia kedua dahulu, tentera Jepun digambarkan bermata sepet, bergigi jongang membawa pedang samurai. Sesudah perang tamat, Jepun dilihat sebagai kawan dan rakan berniaga yang baik. Memunculkan imej hodoh ini amat penting. Jika imej telah buruk maka apa sahaja yang diperkatakan terhadap Anwar akan diyakini umum.

Strategi baru

Langkah pertama ialah mengaitkan Anwar dengan Saiful. Ini juga bukanlah satu langkah yang bijak bergeliga. Menggunakan kes liwat yang diadukan oleh Saiful, telah diteroka lebih awal lagi oleh Mahathir Mohamad pada 1998 dahulu melalui kes seumpamanya terhadap Azizan Abu Bakar.

Apabila Saiful diberitakan tidak membuang air besar selama dua hari kerana menyimpan bahan bukti di dalam duburnya, maka tahap jenaka dan genre lawak Melayu telah melonjak tinggi. Rating Lebai Malang dan Pak Pandir berkemungkinan jatuh. Apek Senario telah menjadi lawak basi. Lubang Saiful naik ke mercu kegemilangan.

Seperti kes Azizan, kes liwat Saiful juga telah tergelincir. Kelihatan propaganda berbentuk ini telah menjelak dan menjelikkan orang ramai. Ini mula disedari oleh Najib-Rosmah. Propaganda kes Saiful yang dirancang untuk memburukan Anwar telah menjadi lawak bodoh dan sedang melawan tuan.

Dengan cepat para apparatcik dan jentera Najib-Rosmah bergerak. Kali ini wajib dimunculkan satu lagi strategi baru – ejen asing. Harus disedari bahawa surah - ejen asing - ini juga telah mula muncul pada 1998. Ketika itu duta Amerika ke Malaysia ialah John R Malot.

Dalam kes pertama tahun 1998, memang telah disebarkan surah bahawa Anwar Ibrahim ini adalah ejen CIA. Apabila berita ini tersebar, kerajaan Amerika telah mengambil langkah yang tepat.

Menurut Pak Duta John R Malot - kerajaan Malaysia telah diberi amaran - jangan campur adukkan kerajaan Amerika dengan krisis dalaman politik Malaysia. Bila amaran ini sampai, maka surah Anwar ejen Amerika pun mati tak berasap.

Pasti perkara yang sama juga telah terjadi sekali lagi, kerana dengan tetiba sahaja media gerombolan hari ini, tidak lagi melaung-laungkan surah ejen asing ini. Pentabiran di Rumah Putih melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai krisis dalaman - tidak ada sangkut paut dengan jabatan risikan mereka. Justeru apabila dikaitkan Anwar dengan CIA, maka pasti pentabiran Obama ini, seperti tahun 1998, telah mengambil pendirian yang sama.

Langkah kedua yang sedang di jalankan oleh apparatcik dan jentera Najib-Rosmah ialah memastikan parti PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adalah langkah yang amat strategik dan penting. Kerajaan Najib Rosmah membaca jika PAS dapat dipisahkan dari Pakatan, maka dengan segera Pakatan Rakyat akan luntur dan pecah.

'Merebut kuasa'

Kita harus menyedari bahawa walaupun PAS mengakui parti Islam - ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki dalam politik. Kita semua boleh mengakui bermacam-macam. Dalam politik yang direbutkan bukan Allah, Yahwe atau Siddarttha. Politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa.

Kuasa diperlukan untuk memastikan lubuk kekayaan dimiliki. Apabila lubuk kekayaan telah dimiliki maka di sinilah akan diuji sama ada parti itu bermazhab sosialis atau kapitalis.

Dalam dunia hanya ada dua sistem ekonomi - kapitalis atau sosialis. Dua sistem ini adalah sistem induk. Selainnya - yang mengakui sistem ini dan sistem itu - hanya pecah-pecahan dari dua sistem ekonomi ini. Seperti kuih bahulu – asasnya adalah tepung, gula dan telur. Warna, corak, rekabentuk hanya tokok tambah untuk mengolah keinginan orang ramai.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ini, ada pemimpin PAS yang akan, yang telah dan yang sedang tewas dengan kuasa dan harta kekayaan. Contohnya, kes cerai bekas ADUN PAS dengan isteri keduanya. Sang isteri sedang menuntut berjuta-juta ringgit. Ini kerana sang isteri tahu bahawa sang suami - ketika berkuasa dahulu - pasti ada tanah di sana dan tanah di sini, Ada saham ini dan saham itu. Ini realpolitik. Ianya tidak pula bermakna kita merendahkan keyakinan mereka terhadap Yang Maha Esa.

United Malays National Organisation sedar hal ini. PAS bukan mengajukan sistem ekonomi alternatif kepada kapitalisma. PAS seperti PKR dan DAP, hanya berjanji untuk menguruskan kapitalisme dengan lebih baik. Asas sistemnya masih kapitalisme. Ini hakikat. Ini realpolitik. United Malays National Organisation tahu siapa yang bercita-cita hendak menjadi menteri besar dalam PAS. Gerombolan mengetahui siapa dan siapa yang boleh 'dimakan' di dalam PAS. Gerombolan juga tahu siapa yang bermimpi siang dan malam - pagi dan petang - untuk menjadi menteri kabinet dalam kerajaan Najib-Rosmah.

Ini juga hakikat realpolitik. Menafikan ini adalah menafikan bahawa manusia, haiwan dan tumbuhan hidup di alam ini kerana ada cahaya matahari. United Malays National Organisation akan terus mengasak untuk 'berunding' dengan PAS. Akan terdengar suara suara lantang menolak. Akan terdengar suara-suara pimpinan PAS menafikan itu dan ini. Dalam realpolitik semua berkemungkinan. Dalam realpolitik, yang dicita-citakan ialah kuasa. Dengan kuasa manusia berpeluang menobatkan dirinya dan mengumpul harta.

Waspada! Percubaan dan langkah-langkah yang diambil oleh Najib-Rosmah untuk berunding dengan PAS ini tidak ada sangkut paut dengan Najib sebagai anak Razak. Kerana Razak dahulu berunding dengan PAS maka Najib sang anak, juga akan berunding dengan PAS. Ini bukan bacaan politik. Ini sembang di warung Mek Jah. Dalam realpolitik yang hakiki ialah kuasa.

Keinginan berunding dengan PAS ini adalah perhitungan realpolitik. Ini kerana sesudah pilihanraya yang lalu United Malays National Organisation telah dilihat sedang menuju ke hari-hari akhir. Justeru untuk menyelamatkan harta kekayaan, perpaduan Pakatan Pakyat yang kompak, wajib dilemahkan.

Setiakawan Pakatan

Kota yang kukuh wajib dibocorkan. Setiakawan Pakatan Rakyat yang mekar wajib dikacau-bilaukan. PAS wajib dipisahkan dari Pakatan. Kalau tidak semua, sebahagiannya. Ini perhitungan politik untuk menyelamatkan harta dan kuasa.

Lalu kita sampai ke strategi ketiga - mengharu-birukan kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Kelantan tidak perlu diganggu-gugat kerana slogan 'kita semua Melayu dan kita semua Islam.' Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang boleh digugat tetapi 'slow sikit' kerana

DAP ini lebih senang dikawal kerana Kecinaan mereka. Ahli gerombolan yang meninggalkan parti tidak mungkin akan menjadi ahli DAP.Malah DAP ini juga boleh dibawa berunding jika hari baik dan bulan baik – jika masa dan ketikanya telah ranum. Justeru musuh utama ialah Parti

Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Lalu semua akan dilakukan untuk menggangu-gugat kerajaan Pakatan di Selangor. Lembu, kambing, pasir, tayar kereta, surau, masjid, kuil, sekolah, kasut, punggung - malah apa sahaja yang bersangkutan dengan kerjaaan Selangor - akan digunakan untuk menunjukkan kepada warga Selangor bahawa kerajaan Pakatan ini tidak perlu disokong.

apparatcik dan jentera kerajaan federal sedang digunakan oleh Najib-Rosmah untuk melemahkan kerajaan Selangor. Kes demi kes telah dibuka oleh SPRM terhadap pimpinan kerajaan Selangor. Semua dilakukan untuk menekan agar ada ADUN PKR yang akan berpaling tadah.

Media gerombolan telah digunakan hingga ke tahap maksimum untuk mengolah persetujuan orang ramai. Seluruh Malaysia cuba diberi tahu bahawa krisis yang amat besar sedang melanda kepimpinan kerajaan Selangor. Kerajaan Selangor ini akan runtuh bila-bila masa sahaja dan Khir Toyo boleh kembali berpesta ke Disneyland tanpa soal jawab.

Di mana akhirnya semua ini? Dalam merancang realpolitik, Anwar Ibrahim pasti akan diketepikan. Ini strategi utama. Susuk ini tidak akan diberi peluang untuk bebas bergerak. Jika diikutkan hati nafsu Najib-Rosmah, susuk Anwar ini akan diketepikan sebelum piliharaya Sarawak.
Tetapi bagaimana nanti reaksi kawan-kawan Yahudi Anwar yang selalu diperkatakan itu? Dan bagaimana pula ejen-ejen CIA yang lain? Apakah mereka juga akan datang untuk membantu Anwar? Kini seperti kes Saiful, senjata dan propaganda akan memakan tuannya.

Dalam realpolitik ada yang lebih 'real''. Yang lebih 'real' ialah kuasa rakyat. Kerajaan Selangor mungkin goyang tetapi tidak akan runtuh kerana akarnya semakin kukuh. Kuasa rakyat ini jugalah yang akan menentukan apa yang akan terjadi kepada Anwar Ibrahim.

Justeru United Malays National Organisation hanya ada satu pilihan: mengajak PAS datang berunding. Najib dalam keadaan ini akan menjanjikan apa sahaja. Kalau PAS minta Najib melempang Muhyiddin - pasti Muhyiddin akan kena satu pelempang. Kalau PAS mahu Najib menampar Khairy Jamaluddin - pasti Khairy akan ditampar. Seperti Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang, Najib akan melakukan apa sahaja kecuali PAS tidak akan dibenarkan bertanya berapa orang sebenarnya anak Rosmah Mansor.