Pages

Thursday, May 12, 2011

Seketika bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V

Oleh ROZAID A. RAHMAN (mstar.com.my)

DI ANTARA Sultan yang pernah penulis temui sepanjang karier sebagai wartawan, pertemuan dengan Sultan Kelantan yang ke-29 iaitu Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian dekat Kota Baru pada Rabu lalu adalah sesuatu yang menarik perhatian.

Sebenarnya, banyak sebab untuk kita berasa teruja. Baginda adalah Sultan yang paling muda dalam negara kita buat masa ini iaitu baru berusia 41 tahun. Baginda baru sahaja dimasyurkan sebagai seorang Sultan iaitu pada 13 September tahun lalu. Ini menjadikan baginda salah seorang generasi baru yang menaiki takhta dalam sistem raja perlembagaan di negara kita.

Malah baginda merupakan seorang Raja yang kontroversi kerana permasyuran baginda sebagai Sultan Negeri Kelantan Darul Naim berlangsung pada ketika ayahanda baginda masih lagi hidup. Pergolakan dalam istana berhubung kontroversi tersebut telah mendapat perhatian dari seluruh negara. Dan Baginda juga seorang Sultan yang masih mencari calon Permaisuri.

Maka tidak hairanlah jika ramai termasuk penulis sendiri ingin mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang Tuanku Sultan Muhammad V sebagaimana beliau dikenali kini. Penulis telah dimaklumkan oleh rakan-rakan wartawan di Kelantan bahawa Baginda adalah seorang yang sangat ringkas dan tidak berprotokol malah Baginda adalah seorang yang pemalu. Tetapi sejurus sebelum para wartawan dari semua media perdana bertemu dengan Baginda, satu majlis taklimat tentang adab-adab protokol menghadap Sultan telah diberikan oleh pegawai-pegawai Istana.

Kami ditunjuk ajar tentang bagaimana hendak membahasakan diri, bertanya soalan, apa yang perlu dilafazkan terlebih dahulu, apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja Tuanku bersemayam di tempat duduknya dan bagaimana hendak mengangkat tangan merafak sembah. Misalnya, kami diminta seorang demi seorang mengikut giliran bangun menuju ke mikrofon untuk bertanya soalan.

Sebelum itu mestilah terlebih dahulu memperkenalkan diri dan dari organisasi mana. Untuk bangun berjalan ke mikrofon, kami dimaklumkan agar mengangkat sembah tetapi seandainya kami memegang kertas soalan untuk bertanya, tidak dibenarkan untuk mengangkat sembah tetapi cukup sekadar menundukkan kepala tanda hormat.

Kepada yang tidak biasa khususnya kepada penulis yang berasal dari sebuah negeri yang tidak beraja, sudah tentulah protokol ini menjadi begitu asing namun menyeronokkan kerana kita diajar adat resam sebuah negeri yang memiliki raja. Selepas seketika, Sultan Muhammad V pun tiba dan ketibaan Baginda diumumkan melalui mikrofon oleh pegawai istana. Baginda berjalan menuju ke arah para wartawan dan jurugambar yang telahpun berbaris panjang menanti ketibaan Baginda.

Sambil bersalaman Baginda turut bertanya khabar tetapi dari riak wajah Baginda, ternyata benar Baginda seorang yang pemalu. Ketika Baginda hendak memulakan sesi temuramah ini, Baginda terlebih dahulu bertanya sama ada hendak bertutur dalam dialek Kelantan atau bahasa standard iaitu Bahasa Malaysia. “Nak kecek (cakap) Kelante atau kecek luar…” tanya Baginda sambil tersenyum. Kecek luar tu maksudnya cakap bahasa rasmilah.

Sepanjang temuramah yang dijalankan itu, Baginda tidak sekali pun membahasakan diri sebagai “beta” sebagaimana lazim digunakan di dalam istana sebaliknya Baginda menyebut “saya” atau “kita”. Baginda juga bercakap secara berterus-terang tentang banyak hal termasuklah menjawab beberapa soalan yang boleh dianggap sensitif termasuk tentang hubungannya dengan ahli-ahli keluarga yang lain termasuk ayahanda dan bondanya.

Malah apabila ditanya oleh wartawan The Star, Syed Azhar bilakah Tuanku sendiri akan memiliki seorang Permaisuri yang akan menjaga kebajikan Tuanku pula, jawapan Baginda ialah; “Insya-Allah, tuhan akan makbulkan (fulfil)…dan dengan berkat doa Tok Guru (Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat) dan datuk-datuk (penasihat) yang lain, Insya-Allah akan berjaya (memperolehi permaisuri)…”

Khabarnya, Baginda sudah pun mengenalpasti kriteria-kriteria bakal calon Permaisurinya walaupun jawapan yang diberikan tidak secara spesifik namun indikasinya amat jelas sekali. Tentang aktiviti kasual dan hobinya, Tuanku Sultan Muhammad V berkata; “Saya sudah dua tahun tidak bersukan kuda kerana tidak ada masa tetapi hobi baru saya ialah memburu dan saya memburu dengan anak panah. Saya juga berjoging menggunakan track mill . Kita kena biasa dengan panas dan mendaki bukit. Dengan cara itu stamina saya Alhamdulillah ok. Sudah tentu vitamin juga perlu untuk tambah stamina.”

Baginda juga ditanya, kenapa ada waktu-waktunya Baginda hanya berpakaian simple seperti berjubah sahaja. Jawapannya: “Sebab senang. Misalnya jika kita hendak ke masjid, untuk elak daripada terlewat, memakai pakaian yang simple seperti jubah akan lebih cepat dan senang. Jika kita hendak pakai itu dan ini, kita tidak akan dapat mengejar waktu.”

Dan penjelasan-penjelasan yang Baginda berikan dalam menjawab soalan-soalan kami, Baginda lebih senang memberikan contoh yang mudah difahami. Untuk mengetahuinya bacalah petikan wawancara tersebut di ruangan Mingguan Mstar.