Wednesday, April 13, 2011
SULTAN MUHAMMAD KE-V MENERIMA KURNIAAN DK NEGERI SEMBILAN
Pada hari Khamis, 7 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat ke Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, untuk menerima kurniaan Darjah Kerabat (DK) Negeri Sembilan dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Junjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di atas kurniaan tersebut.
Kembalikan Hak Rakyat Kelantan
30 RabiulAkhir 1432 bersamaan
4 April 2011
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Ke Majlis ;
Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA
YAB Dato’ Sri,
PETROLEUM NEGARA
Atas kemurahan Allah S.W.T mengurniakan rezeki ke atas bumi Malaysia untuk dinikmati oleh seluruh makhluk-Nya, dengan harapan semoga YAB Dato’ Sri diberikan petunjuk untuk memimpin tanah air ini menuju keredhaan Allah S.W.T.
Berdasarkan kesedaran prinsip Rule of Law sebagai garis sempadan kepemimpinan, serta kesedaran yang menguruskan rezeki yang Allah anugerahkan berdasarkan yang hak , di sini saya ingin memanjangkan dua (2) cadangan kepada YAB Dato’ Sri mengenai PETROLEUM NEGARA.
Pertama : Menghidupkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara
1. Majlis Penasihat Petroleum Negara adalah dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 tetapi buat masa ini ianya tidak wujud dan kerana itu ia di ketengahkan semula untuk perhatian YAB Dato’ Sri.
Akta ini diasaskan oleh Almarhum Ayahanda YAB Dato ‘ Sri sendiri pada tahun 1974.
Seksyen 5 Akta ini dengan jelasnya menghendaki Perdana Menteri membentuk sebuah MAJLIS PENASIHAT PETROLEUM. Saya perturunkan kandungan akta berkenaan untuk rujukan YAB Dato’ Sri , seperti berikut;
Majlis Penasihat Petroleum Negara
5. (1) Suatu Majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum
Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk
mereka dari Negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana
Menteri.
(2) Menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk
menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan
perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum,
sumber tenaga dan penggunaannya.
Perhatikan dua hal di atas ;
a. Adanya penglibatan negeri pengeluar dalam Majlis,
b. Untuk menasihati Perdana Menteri mengenai dengan petroleum , perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.
Kedua-dua hal ini masih relevan dan dengan itu kehendak dan semangat Akta ini bagi penubuhan majlis tersebut adalah masih valid dan relevan.
2. Majlis ini pada pendapat saya adalah sangat penting ;
Petroleum telah muncul menjadi hasil paling utama negara kita. Kebergantungan ekonomi negara terhadap sektor ini sangat penting dan besar.
Petronas sendiri telah muncul menjadi gergasi korporat yang sangat besar dan dengan itu kedudukannya menjadi lebih penting kepada kedudukan negara secara keseluruhan baik dari sudut kewangan, ekonomi mahupun sebagai katalis perubahan sosial yang saksama bagi seluruh negara.
Pada hari ini, Petronas khususnya dan industri petroleum negara amnya bergantung kepada nasihat seorang individu iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir di mana jawatan penasihat perseorangan tidak wujud dalam akta ini.
Saya yakin Almarhum Ayahanda YAB Dato’ Sri dan tokoh pengasas Akta ini, termasuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai pandangan bijaksana bila mereka meletakkan keperluan penubuhan majlis penasihat tersebut dalam Akta ini.
Bagi pihak YAB Dato’ Sri pula, apakah masalah besar sehingga kehendak undang-undang ini belum dipatuhi ?
3 Majlis ini jika ditubuhkan, juga boleh dianggotai oleh wakil negeri-negeri pengeluar petroleum, dengan itu isu kepentingan negeri turut dapat dibincangkan. Selain itu, pengendalian dan pengagihan wang royalti di peringkat negara dan negeri dapat dilakukan secara lebih berkesan demi menuju sasaran yang utama (priority) bagi memberikan kesan maksima kepada kemakmuran rakyat.
Isu tiadanya sambungan paip gas PGU bagi Kelantan umpamanya, boleh dibincangkan.
Isu bagaimana pendapatan royalti Sarawak dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk mengatasi masalah kemiskinan Sarawak yang masih berterusan , kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam yang berlarutan dan pemuliharaan khazanah hutan Sarawak untuk kehidupan yang tidak terancam dan lain-lain saya yakin dapat diselaraskan.
Kedua : Meningkatkan royalti 5% peratus kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak.
1. Bersekali dengan cadangan ini, saya ingin cadangkan juga suara rakyat Sarawak yang mahukan jumlah royalti bagi negeri pengeluar minyak seperti Sabah dan Sarawak ditingkatkan dari 5% sekarang kepada 20 %. Ia boleh mempercepat lonjakan kemajuan bagi kedua negeri yang telah terkebelakang sekian lama.
Amalan pemberian royalti yang lebih besar bagi negeri pengeluar telah pun diamalkan di Indonesia dan negara lain.
2. Ia selari dengan perkembangan semasa dan kedudukan Petronas yang telah pun menikmati kedudukan yang kuat dari sumber di negeri-negeri di mana Petronas membina tuahnya dan sampai masanya anak negeri diberi peluang menikmati kemakmuran itu secara lebih berkesan.
Saya panjangkan cadangan-cadangan ini untuk kebaikan Malaysia jua, seperti mana telah termaktub dalam Akta yang telah juga diluluskan oleh kerajaan BN sendiri. Tiada kemunasabahan untuk ia diabaikan dan dicuaikan.
Kecuali saya masih boleh percaya YAB Dato’ Sri tidak mempunyai agenda tersembunyi seumpama untuk lebih bebas campurtangan dalam urusan Petronas , kerana itu tentunya tidak baik bagi negara kita.
Sekian, terima kasih
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”
DATO’ HJ HUSAM BIN MUSA
//www.husamusa.com
Penerbangan terus China - Kelantan
Kerajaan Kelantan hari ini bersetuju memberi kelulusan kepada pihak swasta dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mengadakan penerbangan langsung ( Charter Flight) antara Kelantan dan China yang akan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chendu, Sinchuan China.
Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Datuk Husam Musa di sidang media selepas mesyuarat exco baru-baru ini.
Husam berkata bagi permulaan penerbangan tersebut dari Kota Bharu ke Chendu akan membawa seramai 165 penumpang dan sebanyak dua puluh kerusi disediakan kepada petugas media dan masa penerbangan hanya memakan masa selama 3 ½ jam sahaja.
“ Insyaallah, petugas media akan dibawa bersama penerbangan sulung ini pada 28.April untuk membuat tinjauan terhadap tempat menarik bagi tarikan pelancong dan penerbangan dari Chendu ke Kota Bharu pula pada 6.Mei”ujar beliau.
Menyentuh proses kebenaran Jabatan Penerbangan Awam, Husam berkata ia adalah proses biasa di mana syarikat yang menaja penerbangan terus tersebut akan membuat urusan sendiri, bagi pihak kerajaan hanyalah memberi galakan dan kebenaran berkaitan penerbangan dua hala ini sahaja.
Sementara itu, Datuk Takiyuddin pula berkata dengan adanya penerbangan terus Kelantan ke China ini, ia boleh merapatkan lagi hubungan dua hala antara dua pihak dan ia boleh menarik minat pelancong dari kedua negara untuk mengenali lebih dekat.
“ Kita berharap tidak akan timbul masalah dalam usaha ini kerana ia boleh meningkatkan lagi usaha menarik pelancong serta boleh meningkatkan ekonomi negeri Kelantan”kata beliau.
//gegar kelantan
Misteri Etnik: 'Ambo Cino Kelate'
azr@bharian.com.my
2011/04/10
GAMBAR atas, Rumah lama masyarakat Cina Peranakan yang masih tersergam di Kampung Cina, Sering. Gambar bawah, Rutin seharian masyarakat Cina Peranakan termasuk duduk bersila dan menikmati hidangan lauk pauk orang Melayu.
Sudahnya, penulis terpaksa bertanya adakah mereka Melayu atau Cina dan semuanya akan tertawa dulu sebelum menjawab dalam loghat pekat Melayu Kelantan - “Kawe Cino. Bakpo demo tok ce kawe ni Cino?” (Saya Cina. Kenapa pula awak tak cam yang saya ni Cina).
Pasti setiap kali jawapan begitu keluar dari mulut mereka, lantas rasa malu mula terasa di hati penulis dan sesi perbualan menjadi tersekat-sekat. Namun, apabila proses temubual diteruskan, secara perlahan-lahan datang rasa lupa bahawa di depan itu seorang Cina kerana mereka lebih Melayu daripada Melayu sebenar.
Tidak ada sepatah pun bahasa Cina digunakan meskipun berbual dalam kalangan mereka sendiri. Pendek kata, bahasa Melayu Kelantan boleh diangkat sebagai bahasa rasmi mereka. Ketika ditanya, mereka sebenarnya bukan tidak tahu bahasa Cina atau bahasa Hokkien iaitu asal keturunan mereka. Jika mereka berbahasa Hokkien, pasti nahu dan tata bahasanya akan tunggang langgang sekali gus memeningkan kepala.
Lupakan seketika keunikan itu kerana ada persoalan yang mahu dikupas mengenai siapa sebenarnya mereka. Adakah Cina Peranakan di Kelantan wujud akibat campuran budaya yang menebal selepas membesar dalam kelompok masyarakat Melayu atau sememangnya mereka mempunyai darah perkahwinan campur antara orang Cina Hokkien dengan orang Melayu dan mungkin juga Siam?
Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang, 60, menafikan tanggapan kedua. Beliau mempunyai keyakinan bukan semua orang Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.
“Tidak semua. Memang ada sebahagian nenek moyang kami yang memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu pernah berkahwin dengan orang Siam tempatan tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.
“Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal itu, ia sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan.
“Sebenarnya, istilah Cina Peranakan pun baru saja diberikan pengkaji, Prof Dr Tan Chee Bee. Sebelum ini, kami dikenali pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam) oleh orang Cina Bandar.
“Orang Melayu pula mengenali kami sebagai Cina Kampung, Cina Kelantan atau Cina Kita. Masyarakat ini wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi siapa saja yang ibu bapanya lahir di Kelantan, anak mereka pun lahir di Kelantan serta mengamalkan cara hidup Melayu layak digelar Cina Peranakan,” katanya.
Namun, di sebalik penafiannya mengenai masyarakat itu bukan berdarah keturunan Cina dan Siam, ada satu persoalan yang sukar untuk beliau sendiri huraikan. Jika benar Cina Peranakan hanya mendapat gelaran itu disebabkan campuran budaya dan cara hidup, bagaimana pula wajah mereka mirip Melayu atau Siam?
Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain. Sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.
Nama mereka juga tidak melambangkan Cina sebenar dengan ada yang menggunakan nama Awang, Dollah dan sebagainya. Justeru, jika benar tiada campuran darah Siam atau Melayu, mana mungkin mampu merubah karakter wajah Cina semata-mata kerana percampuran budaya?
“Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam. Dalam perlembagaan persatuan misalnya, selain sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan, individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan.
“Namun, kami akui wajah kami ada mirip orang Melayu dan Siam. Saya juga setuju ramai nenek moyang kami dulu berkahwin dengan orang Siam tetapi saya difahamkan tidak semua. Tapi... bagaimana pula wajah kami tidak nampak seperti Cina,” keluh Law Awang sambil mengerutkan dahinya.
Persoalan yang sukar untuk dihuraikan kerana tidak ada bukti sejarah bertulis untuk memperincikan punca kewujudan masyarakat ini. Berbeza dengan Jawi Peranakan (Melayu Peranakan) di Pulau Pinang atau Chetti Melaka (Hindu Peranakan) yang jelas wujud kerana perkahwinan campur orang dari India dengan anak tempatan terutama Melayu.
Apapun, Cina Peranakan tetap unik dan sukar untuk ditemui di mana-mana. Loghat Melayu Kelantan itu sendiri sudah terlalu unik, ditambah pula apabila ia dituturkan oleh orang Cina tanpa sebarang bunyi pelat. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.
Permainan wayang kulit menjadi kegemaran mereka. Malah, ada beberapa tok dalang dalam kalangan masyarakat itu dengan dua daripadanya sudah dikenali di Kelantan. Jika kita berada di depan pentas mendengar celoteh Tok Dalang yang melontarkan dialog watak wayang kulit, pasti tidak tahu ia dikeluarkan dari mulut seorang Cina!
Begitu juga jika merayau di sekitar kampung. Jangan terkejut melihat semuanya (kecuali orang muda) berkain sarung (batik atau pelikat). Wanita menyapu sampah di halaman berkain batik dan suaminya pula leka membaca akhbar berbahasa Melayu berkain pelikat.
Tidak cukup dengan itu, ramai juga dalam kalangan mereka mahir menulis dan membaca tulisan Jawi. Terpegun seketika penulis apabila berjumpa dengan beberapa warga emas Cina Peranakan yang petah berpantun sambil seorang lagi mengarang kembali pantun itu dengan tulisan Jawi. Hebat! Orang Melayu pun tidak ramai pandai menulis Jawi.
Mereka masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri. Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan ekar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanam padi dan buah salak. - Bersambung esok.
Seramai 16,000 diami negeri Siti Wan Kembang
GELARAN Cina Kampung atau Cina Kita diberikan kepada masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sejak berzaman lamanya oleh masyarakat Melayu dan Siam. Ada juga yang menggelar mereka Cina Kelantan. Gelaran Cina Peranakan dikatakan baru saja diberikan seorang pengkaji, Dr Tan Chee Beng.
Merujuk gelaran yang pernah diberikan orang Melayu dulu dan masih selesa digunakan hingga kini, jelas menunjukkan latar belakang masyarakat Cina berbudaya Melayu itu yang mendiami kawasan kampung di pesisir sungai Kelantan.
Mereka memang orang Cina di kampung. Budaya dan rutin hidup mereka cara orang kampung. Makanan, pakaian, pertuturan dan apa saja yang dilakukan saban hari adalah cara orang kampung. Hanya agama yang membezakan mereka dengan orang Melayu, selebihnya sama saja.
Mereka makan masak lemak, nasi kerabu, sambal belacan, jering dan apa saja masakan orang Melayu. Mereka berkain sarung di rumah. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh, antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam.
Di Kelantan, ada 47 kampung tradisional yang sejak dulu didiami masyarakat berketurunan Cina dan dikatakan penempatan itu bermula sejak 600 tahun dulu dengan kebanyakannya terletak di tebing sungai dari Kota Bharu hingga ke Gua Musang dalam jarak lebih kurang 180 kilometer.
Mengikut rekod Persatuan Peranakan Cina Kelantan, ada hampir 16,000 Cina Peranakan di Kelantan dengan hanya hampir 2,000 daripadanya sudah berhijrah dan menetap di bandar, manakala sebahagian besarnya masih kekal di kampung.
Kampung Mata Ayer di jajahan Machang menjadi kampung dengan penempatan paling ramai iaitu lebih kurang 2,000 orang, diikuti Kampung Kulim, Kampung Dusun Pulai dan Kampung Pasir Parit yang penduduknya dianggarkan lebih kurang 1,000 orang.
Uniknya, penempatan mereka di kebanyakan kampung dibina secara terancang dan tersusun. Jika kita menjengah ke kebanyakan lokasi perkampungan sekitar Kelantan, tidak disangka ada orang Cina di situ kerana kebiasaannya akan melalui deretan rumah orang Melayu.
Selepas meneroka ke kawasan lebih dalam iaitu sehingga ke tebing sungai, baru kelihatan ada rumah dihiasi tanglung atau patung Buddha. Paling tidak pun, tulisan Cina berwarna merah menghiasi pintu rumah kampung yang coraknya seakan-akan rumah Melayu, cuma atapnya lebih runcing.
Kekeliruan pasti timbul kerana meskipun sudah melalui kawasan deretan rumah yang dihiasi objek orang Cina, sukar untuk membezakan mereka kerana ada berwajah Melayu atau Siam. Jika disapa, pertuturan mereka tidak langsung melambangkan orang Cina kerana pelat mereka sudah tiada.
Justeru, itulah keunikan mereka kerana mampu berjiran dengan masyarakat Melayu, apatah lagi dapat menyerap budaya di sekeliling mereka.