Pages

Thursday, June 30, 2011

PAS Selangor: Khalid kembali timbalan pesuruhjaya,

Oleh G Manimaran June 21, 2011
KUALA LUMPUR, 21 Jun — Barisan kepimpinan PAS Selangor mengalami perubahan sehingga 80 peratus, menyaksikan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kembali sebagai timbalan pesuruhjaya negeri.

Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam, pernah memegang jawatan itu selama setahun sehingga 2009.

Pesuruhjya PAS Selangor yang baru Dr Abdul Rani Osman mengekalkan Exco Kerajaan Negeri Iskandar Abdul Samad sebagai timbalan pesuruhjaya satu.

Solehin Muhyi dilantik timbalan pesuruhjaya kedua manakala Khalid pula timbalan yang ketiga.

Iskandar pernah dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya PAS oleh kepimpinan sebelum yang diterajui Datuk Dr Hasan Ali.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri, dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa lantikan.

Beliau menjadi pesuruhjaya PAS negeri selama empat penggal lapan tahun dan digugurkan awal minggu lalu.

“Kecuali YB Iskandar dan seorang lagi, kesemua hampir 80 peratus adalah muka baru dalam barisan kepimpinan perhubungan negeri PAS,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Dr Rani yang minggu lalu memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan memastikan keseimbangan kepimpinan ulama dan profesional akan mengadakan satu sidang media di Shah Alam pagi ini untuk mengumumkan barisannya.

“Pengumuman akan dibuat pagi ini,” kata sumber itu.

Mohd Khairuddin Othman kekal sebagai setiausaha manakala Shaari Sungib dilantik ketua penerangan yang baru.

Thursday, June 23, 2011

Bazar Tok Guru: Peniaga mohon maaf

M Yarisman(harakahdaily)

KOTA BHARU, 23 Jun: “Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad.

Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya.

“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru.

“Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya.

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,” katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan.

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai.

“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.

Saturday, June 18, 2011

P'raya masjid: Nama Agong diheret, kata Aziz Bari

Meskipun mengakui Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam hal-hal berkaitan agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja-raja Melayu, namun pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari mempertikaikan cara nama Seri Paduka diheret setiap kali bagi membidas dasar-dasar kerajaan negeri Pulau Pinang.

NONE"Hanya selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih Pulau Pinang, tiba-tiba peranan Agong menjadi tokoh yang signifikan.

"Nama Baginda digunakan bagi menghalang sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz berkata prosedur atau peraturan yang betul mengikut perlembagaan adalah bagi pihak Istana Negara atau setiausaha sulit Yang di-Pertuan Agong bagi mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai ketua agama dan bukannya oleh pihak-pihak yang lain.

"Pastinya bukan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.

"Jadi beliau harus diam. Biarkan Baginda melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan oleh perlembagaan - bebas daripada kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” kata Abdul Aziz.

Beliau juga membidas dakwaan 'mengarut' oleh kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang berkata adalah salah bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid diadakan.

"Pertama, tidak ada fatwa mengatakan pemilihan itu adalah haram mengikut Islam,” katanya.

Fatwa

Lagipun menurut profesor itu lagi, umat Islam, sama ada dari Umno, PAS dan PKR, semuanya pernah terbabit dalam pemilihan parti masing-masing.

azlan"Jika ini tidak mengikut Islam, majlis fatwa sepatutnya mengeluarkan hukum berhubung perkara itu,” katanya.

Semalam, hasrat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 dengan kaedah pilihan raya terpaksa dibatalkan.

Keputusan itu dibuat di Istana Negara di Kuala Lumpur apabila Yang di-Pertua Negri Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat agung masjid-masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan hari ini dan esok itu sepatutnya memilih jawatankuasa kariah di 151 daripada 200 masjid tetapi kini ditangguhkan sehingga notis lanjut.

Pemilihan ala pilihan raya yang dicadangkan itu bagi membolehkan anak kariah mengundi secara sulit untuk memilih pemimpin kariah yang sebelum ini dipilih oleh MAIPP.

Bantahan pelbagai pihak yang didalangi Umno begitu lantang kerana gusar pilihan raya kariah masjid akan menghakis sokongan kepada parti itu yang kini gagal menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang setelah ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008.

Umno mendakwa pemilihan secara demokrasi itu akan hanya membawa perpecahan di kalangan umat Islam selain mengheret masjid ke kancah politik kepartian.

Kerusi Melayu: Cabaran besar PAS pada PRU 13

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Jun: PAS berhadapan cabaran besar apabila perlu memastikan lebih banyak kerusi diwakili Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, ini kerana orang Melayu masih terperangkap dalam dilema untuk membuat perubahan berbanding orang Cina yang dilihat sudah mempunyai azam yang kuat untuk menolak BN.

Orang Melayu dakwanya masih ragu-ragu melakukan perubahan jika melibatkan kepimpinan bukan Melayu berpunca daripada mainan media arus perdana.

"Saya ucap tahniah kepada pengundi-pengundi Cina mereka ada niat yang baik untuk berubah walaupun Tun Dr. Mahathir kata orang Cina tidak mengenang jasa.

"Tapi bagi saya orang Cina ada sebab yang kukuh untuk menolak BN. Malang sekali orang Melayu masih dalam dilema untuk membuat perubahan.

"Orang Melayu lebih berhati-hati memasuki sempadan baru kerana mereka lebih meletakkan rasa bimbang yang lebih daripada rasional berfikir yang biasa.

"Kalau kita mengapi-apikan atau membuat kenyataan yang tidak rasional,orang Melayu tak akan undi Pakatan.

"Kemenangan nanti adalah tidak seimbang, samaada Pakatan Rakyat terlalu banyak kerusi bukan Melayu dan kerusi Melayu dipegang Umno dan kalau Pakatan berkuasa pada waktu itu kita kekurangan wakil orang Melayu.

"Ini sedikit sebanyak memberi ketidakseimbangan politik," kata beliau dalam forum bertajuk Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke Arah Pertengahan dalam Kemajmukan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

Beliau yang juga exco Kerajaan Kelantan berkata, jika Pakatan berjaya mengambil 60 kerusi daripada Umno, Pakatan boleh menubuhkan kerajaan baru yang dapat memberikan kestabilan kepada politik negara kita.

Tambahnya juga, jika pengundi Cina konsisten membuat perubahan seperti pilihan raya umum Sarawak, Pakatan dapat menumbangkan BN.

Pilihan raya Sarawak yang lalu menyaksikan sokongan kaum Cina meningkat sebanyak 15.8 peratus menjadikan jumlah keseluruhannya 75.4 peratus, berbanding dengan kaum Melayu.

"Kita lihat trend ini berterusan di Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor, maka kita dapat tambahan kerusi sebanyak 27 kerusi Parlimen berbanding 82 kerusi (sekarang).

"Selepas pilihan raya umum ke 13 kita mempunyai 109 kerusi, tidak cukup lima kerusi untuk tubuh kerajaan baru.

"Jadi sekarang saya merayu tambah lagi sepuluh kerusi Parlimen untuk Pakatan Rakyat," katanya di hadapan kira-kira 50 hadirin,majoriti kaum Cina.

Turut menjadi panel adalah penyelidik politik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng dan pemerhati politik Lee Ban Chen.

Mengulas sedikit mengenai kabinet PAS yang baru, beliau berkata kebolehan pasukan ini akan diukur berdasarkan pencapaian PAS pada PRU ke-13.

"Tugas PAS adalah besar untuk menghadapi pilihan raya. Masa kita suntuk untuk merangka pelan kemenangan pilihan raya samaasa berjaya atau tidak dan pasukan ini akan diukur dengan kejayaan pilihan raya.

"Kalau pilihan raya ini Umno menang besar, habis.Pemilihan akan datang mungkin orang tak akan pilih saya beban itu adalah berat," katanya.

Ujarnya juga, muktamar PAS baru-baru ini juga menyaksikan perubahan positif orang bukan Melayu terhadap PAS terutamanya apabila PAS mengutarakan konsep Negara Berkebajikan sehingga menggerunkan Umno.

"Kesan positif muktamar ialah perubahan keyakinan terhadap PAS sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Saya sangat bersyukur dan berbangga dengan pengharapan ini," katanya.

"Negara berkebajikan bukan sahaja untuk pilihan raya tetapi itulah inti kepada Islam.

"Oleh itu umno serang kita, Utusan Malaysia serang kita dan bila mereka serang saya rasa kita sudah berjaya.

"Kalau Umno puji kita saya rasa sangat takut kerana kita di dalam poket mereka dan saya rasa kita di luar poket Umno.

Justeru ujarnya, PAS perlu menyediakan minda yang betul untuk menggantikan Umno.

"PAS harus ganti Umno dengan minda yang betul dan sikap yang betul.

"Untuk bina polisi yang tepat kita memerlukan pandangan daripada semua pihak dalam memberikan input supaya dapat rangka polisi yang baik.

"Dalam masa yang singkat mungkin dalam masa dua tiga bulan ini kita kena selesaikan engagement kita dengan semua pihak untuk meletakkan satu pelan kemenangan agar kita dapat menuju Putrajaya dengan semua kaum berasa selesa," katanya.

Turut menjadi panel adalah penyelidik politik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng dan pemerhati politik Lee Ban Chen.

Perubahan agak besar PAS Kelantan

KOTA BHARU, 18 Jun: Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.

Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim.

Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah.

Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas.

Selain itu Setiausaha Kerja Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal.

Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri.

”Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan.

”Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa,” ujarnya.

Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu.

Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan.