Pages

Wednesday, July 27, 2011

Wanita Islam dilarang jadi GRO di Kuantan

Jul 27, 11 4:28pm

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menguatkuasakan larangan wanita Islam menjadi pelayan pelanggan atau GRO di semua pusat hiburan di bandar itu pada tahun depan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, keputusan itu diluluskan pada mesyuarat MPK di Kuantan hari ini dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkan nanti.

Beliau berkata, semua ahli majlis MPK bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini agar umat Islam dilarang bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan minuman keras di bandar ini.

"Hasil kajian yang dilakukan mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan mereka terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung memberi kesan negatif apabila GRO beragama Islam, sekalipun tidak meminum tapi mengangkat dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPK.

- Bernama

Friday, July 22, 2011

Lynas : Apa yang perlu anda ketahui

Huzir Sulaiman

(Kilang Lynas yang sedang rancak di bina di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. Kawasan yang sedang ditimbus adalah satu lagi kilang baru yang sedang dibina dan bakal berkongsi pagar dengan Lynas)

KILANG Lynas sudah pun 95% dibina di Gebeng Kuantan. Keluasan menyamai 140 buah padang bola atau 100 hektar tanah. Kedudukan Kilang Lynas diapit oleh Polyplastic dan Projek Fasa 1 Kluster Industri Minyak Kelapa Sawit yang juga berhadapan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bersebelahan dengan BASF Petronas Chemicals.

Juga tercatat papan tanda LAMPSON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) antara Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang.

Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22/2/2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta. UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.

Syarikat ini adalah 100% milik Lynas Australia.

Dijadualkan, kilang ini akan disiapkan Suku-ketiga tahun 2011 (iaitu September). Tarikh asal dikatakan pada Suku-pertama 2011 (iaitu Mac).

Lesen untuk dibina diberikan pada tahun 2008 oleh kerajaan tempatan dan beberapa pihak berkeuasa lain.

Peluang Pekerjaan hanya untuk 350 orang sahaja selepas infrastruktur LAMP
Lynas siap dibina.

2500 pekerja terlibat dengan pembinaan infrastruktur Lynas di Gebeng sekarang ini melalui pelbagai peringkat pembinaannya.

Lebih 3000 pekerja lain di syarikat-syarikat lain yang sedang beroperasi di Kawasan Industri Gebeng Kuantan sekarang ini. Yang paling besar adalah BASF Petronas Chemical, Polylplastic (gambar)dan pusat latihan Agensi Meritim Malaysia (APMM) di saping kilang-kilang lain.

Kilang ini dijangka akan menghasilkan 22 ribu tan 'rare earth oxide ' setahun.

Nilai eksport kilang dianggarkan pada nilai RM8 Billion setahun apabila ia beroperasi sepenuhnya.

Kerajaan telah memberikan status bebas cukai selama 12 tahun kepada kilang ini berasaskan projek pioner.

Negada China merupakan pembekal ‘rare earth’ atau nadir bumi terbesar di dunia sebanyak 95%. Dijangka berlaku penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun 2011.

Harga satu tan rare earth sekarang adalah pada RM364, 800.

Pembeli terbesar adalah dari Jepun, Amerika dan Eropah untuk keperluan industri berteknologi tinggi (Magnet Prestasi Tinggi) seperti Kabel Fiber Optic, Monitor LCD, Komputer, Lensa Kamera, Mentol Lampu, Smartphone, Alatan Ketenteraan dan Kereta Hybrid.

Setiap kereta Hybrid akan menggunakan 12KG nadir bumi atau ‘rare earth’.

Walaubagaimanapun, penggunaan Thorium di dalam ‘gas mantle’ sebagai lampu yang menyala bila dikenakan api sudah semakin berkurangan kerana kesan radioaktif.

Thorium-232 digunakan sebagai makanan kepada bahan api nuklear Uranium-233. Rusia, China dan India berhasrat kini untuk menggunakan Thorium sebagai tenaga nuklear mereka. 1 tan Thorium boleh menghasilkan tenaga seperti 200 tan Uranium dan 3.5 juta tan arang batu.

Lynas dijangka akan menjadi pengeluar 1/3 daripada keperluan ‘rare earth’ atau nadir bumi dunia selepas 2 tahun beroperasi. Lynas akan mengeluarkan ‘rare earth’ atau nadir bumi untuk keperluan global pertama diluar China.

Lynas telah menandatangi perjanjian jual beli dengan 8 pelanggannya dari pelbagai negara, iaitu 6 kontrak pembekal dan 2 ‘letter of intent’.

Keseluruhan simpanan simpanan ‘rare earth’ atau nadir bumi dunia adalah di sekitar 99 juta metrik tan. Australia mempunyai simpanan nadir bumi sebanyak 5.2 juta metrik tan manakala Malaysia hanya mempunyai simpanan sebanyak 30-35 ribu metrik tan. Kegunaan setahun keperluan nadir bumi dunia adalah di sekitar 124 ribu sehingga 180 ribu metrik tan setahun.

Perlombongan ‘rare earth’ di Mount Weld adalah di sekitar 121,000 metrik tan setahun selama 18 tahun. Boleh menampung pengeluaran sehingga 156,000 tan setahun.

Proses menghasilkan ‘rare earth’ atau nadir bumi secara umumnya:

a. ‘Ore’ atau Bijih dilombong di Mount Weld Australia.

b. Bijih tersebut kemudiannya akan dikeringkan dan proses pengasingan akan dilakukan. Di sini ‘rare earth concentrate’ akan dihasilkan. ‘rare earth concentrate’ inilah yang akan dieksport ke Gebeng Kuantan melalui pelabuhan Kuantan.

c. Di Gebeng Kuantan, proses seterusnya ialah menghasilkan ‘rare earth compounds’ dimana rawatan dengan menggunakan bahan kimia akan dilakukan untuk proses pengasingan/penulenan seterusnya.

d. ‘rare earth compounds’ tersebut akan seterusnya diproses dengan menggunakan kuantiti bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis ‘rare earth’ atau nadir bumi itu, sama ada ia ringan atau berat untuk menghasilkan ‘ rare earth oxides’ di mana ia kemudiannya dihantar atau dieksport semula ke kilang pengeluar produk. Kuantiti bahan kimia yang akan digunakan boleh menjangkaui dari 50-1000 tangki bergantung sama ada elemen itu ringan atau berat.

(CAP menerbitkan buku ini yang mencatatkan perjuangan penduduk Bukit Merak, Ipoh bagi menentang kilang Rare Earth disana ssehinggalah ia ditutup)

e. Di kilang pengeluar produk berteknologi tinggi, ‘rare earth oxides’ ini akan diproses sekali lagi juga menggunakan teknik ‘solvent extraction’ untuk menghasilkan ‘rare earth metal’ yang akan digunakan secara langsung atau dicampurkan dengan bahan lain untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi itu.

Untuk setiap proses yang dilalui di atas, bahan asid akan sentiasa digunakan.

Kesan dari bahan-bahan ini kepada persekitaran tetap ada jika tidak ditadbir selia secara baik. Antara bahan asid yang digunakan adalah asid sulfurik dan asid hidroklorik. Keperluan bahan mentah Asid Sulfurik dan Asid Hidroklorik berdekatan dengan kilang LAMP Lynas di Gebeng.

‘Light Rare Earth Elements (LREE)’ akan menggunakan 50 tanki bahan ini ketika pemprosesan manakala 1000 tanki untuk ‘Heave Rare Earth Elements (HREE)’. Ciri-ciri ketoksidan Asid Sulfurik dan Asid Hidroklorik? ‘Toxicity’ atau tahap keracunan adalah amat tinggi.

Ia juga adalah ‘corrosive’ atau amat menghakis. Boleh menyebabkan kebakaran tahap tinggi. Bahaya jika terhidu, termakan dan terkena kulit. Termakan boleh membawa maut. Pendedahan kronik boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan kemungkinan juga kanser.

Penggunaan Asid Sulfurik dan Asid Hidroklorik sebanyak 704 tan sehari atau 257,012 tan setahun yang diketahui umum bertoksid tinggi dan bersifat menghakis itu juga boleh mengancam keselamatan, kesihatan dan persekitaran (Safety, Health, and Environment (SHE)).

Kesan dari Gas Radon yang diketahui umum penyebab 20,000 kematian di Eropah setiap tahun yang juga boleh tersebar melalui udara jika tidak diurusselia dengan baik oleh pihak pengurusan Lynas dan dipantau secara ketat oleh agensi pihak berkuasa.

---------------------------------
Penulis adalah AJK Badan Bertindak Anti Rare Earth Rifinenary (Badar) dan juga anggota Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat

Judi: Umno biarkan MCA calar imej Islam

Aslani
KOTA BHARU, 21 Julai: Tanpa rasa syak lagi Kelantan kemungkinan besar kembali ke era lama sekiranya Umno diberi mandat semula mentadbir negeri ini.

Premis-premis judi dan loteri seperti wujud sebelum 1990 dijangka muncul semula serupa negeri-negeri lain sekarang.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kemungkinan itu tidak dapat dinafi memandangkan parti kompenan Barisan Nasional (BN), MCA dilihat berada di sebalik tiga individu menyaman kerajaan Kelantan dalam isu pengharaman premis judi.

Katanya, kehadiran anggota Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Ti Lian Ker semasa saman tersebut difail menggambarkan penglibatan parti kompenan BN dalam kes menyaman kerajaan negeri.

“Ini sebagai satu petanda Umno pada hakikatnya hanyalah bermain wayang dan melakukan pembohongan besar apabila menyatakan perjuangan untuk membela agama Islam dan umat Melayu.

“Mengapa dalam isu ini Umno tidak bersuara, bahkan mungkin merestui tindakan yang dilakukan MCA tersebut,” katanya di sini.

Akhbar hari ini melaporkan tiga penduduk Kelantan iaitu Wong Meng Yit, 47, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa, 58 dan Gan Han Chuan, 44 mengemukakan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi.

Saman itu difail di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dinamakan sebagai defendan.

Salinan writ saman terbabit diserah seorang pemimpin MCA kepada media semalam.

Malah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu menyaman Kelantan kerana melarang premis perjudian.

Fadhli berkata, sekiranya rakyat Kelantan memberi sekali peluang kepada Umno menjadi kerajaan, pastinya kegiatan judi dan maksiat akan subur semula.

Oleh itu beliau berharap umat Islam memberikan sokongan kepada kerajaan negeri menjaga kesucian syariat Islam di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Beliau juga mencabar Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menyatakan sikap ekoran tindakan tiga individu terbabit menyaman kerajaan negeri dalam isu pengharaman judi dan loteri.

“Pemuda PAS mempersoalkan di manakah ketegasan Umno dan juga NGO-NGO mereka yang selama ini nyaring mendakwa mempertahankan kesucian Islam.

“Atau adakah Umno sudah hilang kejantanan sehingga membisu seribu bahasa dengan tindakan MCA yang jelas mencabar kedaulatan Islam,” ujarnya.

Katanya berdasar kepada perkembangan tersebut Umno sudah tidak layak untuk diberikan kepercayaan menjaga kesucian Islam.

Tuesday, July 5, 2011

Iktibar kepemimpinan tulen untuk Najib

Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai BERSIH 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong BERSIH 2.0.

Dalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”.
Tersasar hayati ucapan

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur perhimpunan BERSIH, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas: biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

Sayugia diingati BERSIH telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergabung di bawah naungan BERSIH.
Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.

Apabila rundingan antara SPR dan BERSIH gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh BERSIH.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.

Mencetuskan ketegangan

PERKASA dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan BERSIH hanya untuk mencetuskan ketegangan.

Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur BERSIH sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta BERSIH 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap BERSIH 2.0.

Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo BERSIH. Lebih 200 orang ditahan dan pejabat seketariat BERSIH diserbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan BERSIH disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk ahli parlimen Sungei Siput Dr D Jayakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Rakyat terima padah

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi BERSIH.

Siapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh BERSIH sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah BERSIH melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas? Tidak. Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh BERSIH, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong BERSIH 2,0.

Fitnah disebarkan menerusi khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur BERSIH 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.

Aktivis tersohor

Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur BERSIH 2.0?

Harus diingati, BERSIH 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan. Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S Ambiga, nama-nama seperti Maria Chin Abdullah, Marina Mahathir dan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

Sayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak BERSIH 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.

Tawaran jengkel

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

“Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu:

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan semalam adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur BERSIH 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Razak.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.