Pages

Thursday, April 26, 2012

10,000 pemuda setiap negeri

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS di seluruh negara memberi komitmen terhadap Himpunan Bersih 3.0 yang akan berlangsung pada 28 April ini di Dataran Merdeka.


“Bagi membantu pihak penganjur himpunan rakyat Duduk dan Bantah oleh Bersih 3.0 mencapai sasaran 500,000 penyertaan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengerahkan paling minimum 10,000 anak muda dari setiap negeri untuk menyertai himpunan tersebut,” kata Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS setiap negeri dan kawasan perlu bekerjasama untuk membuat kerahan melalui pelbagai saluran dan net working yang dimiliki.

Katanya, bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, penyertaan anak muda yang akan mengikuti himpunan itu adalah terbuka kepada semua anak muda yang menginginkan pilihan raya yang telus dan adil.

Beliau menambah, oleh kerana 8 tuntutan Bersih 2.0 masih tidak dihirau, maka Himpunan Duduk dan Bantah sempena Bersih 3.0 itu diadakan dengan lebih aman.

Justeru itu, ujarnya DPP setiap negeri perlu memastikan agar kontijen anak muda untuk BERSIH 3.0 ini mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“DPPM juga mengharapkan kepada seluruh anak muda yang mempunyai kesihatan dari sudut fizikal dan mental untuk turun beramai-ramai menyertai himpunan aman ini bagi memastikan ketulusan dalam sistem pilihan raya kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kelantan mohon Petronas layannya seperti T'ganu

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan memfailkan afidavit tambahan ke dalam kesnya bagi mendesak Petronas mendedahkan penyelesaian luar mahkamah yang dicapainya dengan kerajaan negeri Terengganu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dalam kenyataannya berkata, affidavit tambahan telah pun difailkan 23 April 2012 untuk memohon mahkamah mengarahkan Petronas mendedahkan terma-terma penyelesian luar mahkamah yang telah dimeterai.

Ini adalah kerana perjanjian antara kedua-dua negeri dengan Petronas adalah 100 peratus sama.

Husam bertindak ekoran laporan The Edge Financial Daily pada Isnin lalu yang melaporkan bahawa kerajaan negeri Terengganu telah menggugurkan kes saman terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan berhubung royalti petroleum dan mencapai penyelesaian bersama luar mahkamah.

Bagi Husam (gambar kanan), Petronas perlu melayan kerajaan negeri Kelantan sama seperti badan berkanun itu melayan kerajaan negeri Terengganu.

Pada tahun 2002, kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin PAS ketika itu telah menyaman kerajaan Persekutuan dan Petronas kerana tidak memberikan wang royalti minyak 5 peratus kepada kerajaan negeri.

Ini berikutan tindakan kerajaan pusat menjadikan wang royalti itu sebagai wang ehsan selepas Terengganu dimenangi PAS pada pilihan raya tahun 1999.

Tahun lalu, Kelantan juga menyaman Petronas kerana tidak memberikan royalti kepada kerajaan negeri walaupun petrol diambil oleh Petronas dari perairan negeri itu.

Ekoran tindakan Petronas menyelesaikan saman dengan kerajaan negeri Terengganu di luar mahkamah, Kelantan juga katanya berhak mendapat layanan yang sama.

Husam memaklumkan, perbicaraan Pendengaran Rayuan Kelantan Berkenaan Penzahiran Dokumen (Discovery) Royalti Petroleum akan berlangsung esok, 26 April 2012, jam 9 pagi di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman Putrajaya.

Tuesday, April 3, 2012

3 tender lebuhraya KB - K Krai dibawa ke exco

KOTA BHARU, 3 April: Tiga dari tujuh tender syarikat yang memohon tander untuk mengambil bahagian dalam pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, akan dibawa ke mesyuarat exco pertengahan April ini.

Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa, berkata tiga syarikat berkenaan telah memenuhi syarat yang dikehendaki antaranya bayaran pendahuluan RM100,000.

“Keputusan untuk memilih mana-mana syarikat yang berwibawa untuk membina jalanraya berkenaan akan ditentukan dalam mesyuarat exco pertengahan April ini,”ujar beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis forum sempena majlis  Makan Malam Dana Piliharaya PAS Kawasan Kota Bharu yang bertajuk ‘Puterajaya Bermula di sini’.

Dua anggota panel yang dijemput menjayakan program itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bertindak sebagai moderator.

(Tiga penal dan moderator dalam forum 'Putrajaya bermula di sini' semalam)

Majlis makan malam itu diurus sebahagian besarnya oleh Timbalan YDP Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya yang juga Naib Presiden PAS, pembatalan pembinaan lebuhraya berkenaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaksa kerajaan negeri mencari inisiatif sendiri.

“Cadangan membina lebuhraya berkenaan dibuat sejak awal tahun 1990-an sewaktu Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri.

“Kemudian, sewaktu Pak Lah jadi Perdana Menteri, usaha itu akan diteruskan, bagaimanapun tidak berkesempatan apabila Najib pula menjadi perdana menteri dan terus membatalkan cadangan sejak RMK-5 lagi,”ujarnya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh pelbagai masyarakat termasuk India, Cina dan Siam, termasuk pemimpin NGO, masyarakat Cina Kelantan dan Kuala Lumpur.

Pecah tanah stadium akhir April


KOTA BHARU, 3 April: 
Majlis pecah tanah untuk projek pembangunan rumah mampu milik dan Kompleks Sukan di Merbau Pasir Putih akan diadakan akhir April ini.


(Husam berucap dalam forum 'Putrajaya bermula di sini')

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata Kompleks Sukan dan 250 buah rumah mampu milik di Bandar Baru Bukit Merbau itu bakal menelan kos lebih RM159 juta.

Menurutnya, kompleks dan rumah mampu milik ini bakal dibina dibina di atas tanah seluas 250 ekar.

“Majlis pecah tanah itu akan dilakukan sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,”ujarnya.

Beliau menambah, sebanyak tujuh syarikat juga memohon untuk mengambil bahagian dalam tander terbuka ini.

Bagaimanapun tambahnya, hanya dua  yang memenuhi syarat kerajaan dari tiga buah syarikat yang berjaya di bawa ke mesyuarat penilaian terakhir.

Husam yang juga Naib Presiden PAS seterusnya berkata, mereka bukan sahaja perlu membayar pendahuluan sebagai tanda persetujuan untuk mengambil tander ini, sebaliknya mempunyai dana yang besar dalam akaun mereka.

“Alhamdulillah, syarat yang kerajaan negeri tetapkan dapat dipenuhi oleh dua syarikat ini, bagaimanapun mesyuarat exco pertengahan April ini akan tentukan siapa yang layak,”ujarnya.

Projek pembangunan Bandar Baru Bukit Merbau oleh Kerajaan Negeri Kelantan ini akan turut menempatkan sebuah Kompleks Sukan, termasuk sebuah stadium yang mempunyai 40,000 kapasiti tempat duduk.

Kompleks yang berharga lebih RM159 juta ini akan dibina di atas tanah  milik kerajaan Negeri di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Rekabentuk stadium dikatakan akan menggabungkan ciri stadium dan masjid, yang menyediakan kemudahan tempat bersolat di setiap aras bangunan.