KUALA LUMPUR 27 Dis. - Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan
bertukar buruk petang ini apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan
di pusat-pusat pemindahan di dua negeri Pantai Timur itu meningkat
kepada 21,800 orang berbanding 14,930 pagi ini.
Pagi tadi keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang dilihat
semakin pulih apabila lebih 4,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah
masing-masing.
Banjir di Terengganu setakat petang ini telah meragut enam nyawa
iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.
Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai
Golok di Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Dungun di Jambatan
Jerangau, Terengganu telah melebihi paras bahaya setakat pukul 5 petang
ini.
Mangsa banjir di Pahang petang ini pula berkurangan kepada 435 orang
berbanding 994 orang pagi tadi. Mangsa banjir di Johor kini seramai 13
orang di mana tiada mangsa banjir dicatatkan pagi tadi di negeri itu.
Di TERENGGANU, keseluruhan mangsa banjir yang berada di pusat
penempatan banjir sehingga pukul 5 petang ini meningkat kepada 14,894
orang berbanding 8,173 orang pagi tadi.
Menurut portal banjir negeri, sebanyak lima pusat pemindahan baharu
dibuka petang ini menjadikan keseluruhan 76 pusat pemindahan telah
dibuka di negeri itu.
Di Kemaman jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan petang ini
ialah seramai 9,601, Dungun (4,026) , Kuala Terengganu (935), Setiu
(185), Hulu Terengganu (104), Besut (31) dan Marang (12).
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan walaupun
pusat pemindahan di tiga jajahan iaitu di Machang, Tanah Merah dan Kuala
Krai ditutup tengah hari tadi.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah yang ditempatkan di 28
buah pusat pemindahan di empat jajahan ketika ini adalah seramai 7,000
orang berbanding 6,757 orang pada sebelah pagi tadi.
Peningkatan ketara jumlah mangsa yang berpindah itu adalah di Tumpat
berikutan limpahan air Sungai Golok yang kini masih berada di paras
bahaya.
Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir terbanyak dengan 4,279
orang diikuti Tumpat (2,329), Kota Baharu (247) dan Pasir Puteh (145).
Kesemua mangsa perpindahan itu membabitkan 2,197 buah keluarga.
Kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih berlegar di paras
bahaya, sungai utama yang lain kini surut ke paras berjaga-jaga manakala
semua jalan utama menghubungi Kelantan tidak terjejas. Cuaca di
Kelantan sejak semalam adalah baik.
Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Pahang berkata keadaan banjir beransur pulih dengan jumlah mangsa
banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kuantan dan Pekan semakin
berkurangan.
"Mangsa banjir di Kuantan telah menurun kepada 391 orang daripada 92
keluarga di empat pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu SK Galing,
Balai Raya Kampung Soi, Balai Raya Kampung Pahang dan SMK Gudang Rasau.
"Bagi daerah Pekan pula satu-satunya pusat pemindahan yang masih
dibuka di SK Sinar Mutiara, menempatkan seramai 44 orang daripada
sembilan keluarga yang dipindahkan dari tiga perkampungan iaitu Kampung
Cenderawasih, Kalong dan Sungai Miang," katanya.
Katanya, semua jalan utama di negeri itu boleh dilalui oleh semua kenderaan. - BERNAMA
//bernama: