Pages

Wednesday, April 1, 2015

Ayuh fahami apa itu hudud

SEKARANG ini ramai bercakap dan berbahas mengenai hudud lebih berasaskan sentimen mahupun semangat semata-mata. Hari Jumaat minggu lalu, penulis berpeluang sembang santai dengan beberapa anak muda mengenai hudud.

Daripada air muka dan riak percakapan jelas terpampang wajah semangat dan keikhlasan anak-anak muda ini mahukan hukum syariah ditegakkan. Namun apabila ditanya berapa jenis hukuman jenayah di bawah hudud, mereka ragu-ragu lantas memberikan seribu satu jenis hukuman.

Tidak salah tanggapan awal penulis betapa ramai sebenarnya masih keliru, bahkan tidak memahami apa sebenarnya hukum hudud.

Penulis titipkan secara ringkas - hudud merupakan perkataan Arab yang bererti sekatan, penghalang, batasan, atau pemisah. Ia adalah kata jamak (plural) dari perkataan had.

Berasaskan pengertian ini, jika dikatakan hukuman had ke atas pencuri, ia bermaksud hukuman yang dapat cegah dan jadi pengajaran kepada orang itu daripada terus melakukannya.

Hudud juga boleh dikaitkan dengan batasan-batasan hukum ALLAH  berkenaan halal atau haram yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dan tidak melampaui batasan hukum-hakam tersebut sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah : 229.

Hudud, salah satu daripada tiga bentuk kesalahan atau hukuman selain qisas dan takzir yang terdapat dalam Hukum Jenayah Syariah.

Di bawah hukuman hudud ini, terdapat enam atau tujuh bentuk jenayah. Pertama ialah kesalahan mencuri, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah : 38

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah daripada ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Kedua, jenayah merompak, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah:33 “Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi ALLAH dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

Ketiga, jenayah zina, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah an-Nur: 2 “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama ALLAH, jika benar kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman.”

Keempat pula jenayah menuduh zina (qazaf), sebagaimana firman ALLAH dalam Surah an-Nur: 4 “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Kelima, kesalahan minum arak sebagaimana hadis Riwayat Imam Bukhari Daripada as-Saib Bin Yazid berkata: “Apabila peminum arak dibawa kepada kami di zaman Rasulullah SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar, dan di permulaan pemerintahan Umar, kami memukulnya dengan tangan, kasut, dan serban.

Di akhir pemerintahan Umar, mereka dirotan 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali”.  
Keenam, murtad, sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Bukhari: “Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia”.

Perkara ketujuh yang menjadi khilaf ulama adalah bughah atau memberontak iaitu keluar daripada mematuhi pemerintah secara kekerasan, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat: 9 “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.

Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH. Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara), sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.

Komponen jenayah syariah lain termasuk qisas. Di bawah hukuman qisas, terdapat hukuman bagi membunuh dan mencederakan anggota badan. Namun apabila syarat-syarat untuk dijatuhkan hukuman hudud dan qisas tidak dapat dipenuhi, maka hukuman itu beralih kepada hukuman takzir.

Termasuk dalam hukuman takzir ini juga apa sahaja hukuman selain hudud dan qisas, seperti berkhalwat antara lelaki dan perempuan, berpakaian tidak senonoh, saman lalu-lintas, tidak solat Jumaat, tidak berpuasa Ramadan, dan sebagainya. Hukuman Takzir ini tidak ditentukan secara khusus oleh syarak, tetapi tertakluk kepada apa yang dirasakan perlu oleh hakim atau pemerintah berasaskan maslahah atau kepentingan awam.

Dengan kata lain hudud hanyalah sebahagian daripada jenayah syariah yang melibatkan kesalahan jenayah seperti zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, merompak dan murtad.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah  Malaysia (Yadim)..



IKLAN BERBAYAR - SMS [ IKLAN] send 0199910 5222
Nabi Muhammad bersbda,’’Rumah tanpa kurma bagai rumah tanpa makanan.’’ Diriwayatkan pula bahwa Nabi menyantap mentimun dengan kurma matang. (HR Abu Dawud). Nabi SAW pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”


BUNCIT?... MIGRAN??... STRESS??... KENCING MANIS??... GOUT??... BUASIR??... STROKE?? KEMBALI KPD PERUBATAN mengikut al-quran dan hadis... http://drsunnah.com