SHAH ALAM – Kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan harus menjadikan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam mengurus dan mentadbir negara.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana kepimpinan Nabi Muhammad mampu menunjukkan penyelesaian dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sosial serta defisit kepercayaan politik.

“Praktikal pengurusan dan pentadbiran negara yang ditunjukkan oleh baginda sangat wajar diteladani oleh para pemerintah dan pentadbir.

“Perpecahan masyarakat bermula apabila agama diketepikan. Maka perpaduan antara bangsa, suku dan agama diikat oleh Rasulullah menerusi tali ALLAH iaitu Islam sehingga mengikat hubungan persaudaraan dan kemanusiaan antara masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa di Madinah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada zaman pentadbiran Rasulullah, Amar makruf dan Nahi mungkar (melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran) menjadi paksi pengimbang antara golongan pelaku mungkar dan kezaliman dengan masyarakat serta rakyat yang tertindas.

“Baginda menampilkan dasar ekonomi adil yang memerangi riba, monopoli dan manipulasi orang kaya, memerangi percukaian zalim yang memeras rakyat miskin dan memperkenalkan bantuan kewangan untuk golongan kurang berkemampuan dan menghidupkan konsep tanggungjawab sosial oleh korporat negara.
“Pembinaan ekonomi negara dimulakan dengan membina manusia pemacu ekonomi yang berakhlak adil, tidak menzalimi, bercakap benar dan serta berkebajikan sesama manusia. Baginda melahirkan pemimpin d yang amanah tidak rasuah, telus tanpa tiris,  bersederhana dan tidak kemaruk dunia meskipun kaya,” katanya lagi.