Pages

Wednesday, May 18, 2016

PAS kemuka usul Rang Undang-undang Persendirian

PAS KEMUKA USUL RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN UNTUK LAKSANA SYARIAT (18 MEI 2015)

PADA hari ini dalam tahun 2015, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan satu usul untuk membolehkan beliau mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. 

Pindaan ini bertujuan untuk membolehkan Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang wujud di Kelantan sejak 1993. Ini adalah kali kedua Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berbuat demikian setelah percubaan pertamanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac hingga 9 April 2015 tidak sempat dibahaskan, walaupun pada 4 April 2015, Presiden PAS itu merayu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membolehkan PAS berbuat demikian.

Tindakan PAS mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang bersidang pada 18 Mei hingga 18 Jun 2015 ini adalah sebahagian dari langkah PAS untuk melaksanakan syariat setelah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 berjaya dipinda pada 19 Mac 2015. 

Melalui pindaan Akta 355, Kelantan dapat melaksanakan hukuman bagi empat daripada tujuh kesalahan hudud, manakala bakinya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan juga Kanun Keseksaan.

Usul untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian ini telah memberikan beberapa kesan kepada perjuangan PAS, terutama untuk melihat kesungguhan PAS dalam menegakkan syariat, menilai tahaluf siyasi Pakatan Rakyat dan kesetiaan ahli-ahli kepada perjuangan Islam. Antaranya tindakan empat individu - Mansoor Saat, Azie Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin - yang membawa isu ini ke mahkamah. 

Walau bagaimanapun, pada 9 November 2015, Mahkamah Tinggi telah memutuskan Ahli Parlimen Marang berhak mengemukakannya di Dewan Rakyat.

Berbanding cabaran dari luar, PAS turut menerima tekanan dari rakan Pakatan Rakyat apabila DAP yang berkeras menentang hudud sejak sekian lama, telah membuat keputusan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 14 Disember 2014 untuk menolak hudud Kelantan sebulat suara. 

Ekoran itu, pada 8 Februari 2015, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan supaya PAS mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum rang undang-undang ini dikemukakan di Parlimen. Sedangkan DAP telah menolaknya dalam siri-siri taklimat yang dibuat oleh PAS. Apabila Dun Kelantan meluluskan pindaan pada 19 Mac 2015, DAP telah bertindak menentangnya.

Bertindak daripada isu ini, sekumpulan ahli PAS telah berpegang bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan lagi, dengan sokongan parti tertentu telah bertindak memburuk-burukkan Presiden PAS dalam satu kempen terancang. 

Akibatnya, berlaku pertembungan dalam kepemimpinan PAS antara kelompok yang bertegas mahu syariat dilaksanakan dengan kelompok yang berdolak-dalih terhadap syariat. 

Kemuncak pertembungan ini ialah pecahnya PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
18 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 18/5/2016