Pages

Wednesday, April 23, 2008

Kah Choon keluar parti Gerakan

PULAU PINANG: Bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon hari ini mengumumkan keluar dari parti itu selepas keputusannya untuk menerima tawaran jawatan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dapat diterima oleh kepimpinan parti.

Dalam kenyataan di sini, katanya sepucuk surat mengenai keputusannya itu telahpun dikemukakan kepada kepimpinan parti.

"Saya percaya ini adalah cara terbaik bagi saya meninggalkan sepenuhnya politik parti. Dengan cara ini, saya harap perkara ini dapat diredakan dan bergerak ke depan dengan beberapa tugas serius dalam tangan.

"Saya dimaklumkan untuk menunjuk sebab kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya kerana menerima tawaran jawatan itu,

Dalam isu ini, saya ini mengulangi pendirian saya untuk keluar dari penglibatan politik secara aktif dan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai warganegara," katanya.

Lee, bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif InvestPenang iaitu anak syarikat-syarikat PDC dalam kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP.

Lee melepaskan semua jawatan dalam Gerakan pada 31 Mac lepas berikutan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata keputusannya menerima tawaran itu adalah didorong oleh kepentingan Pulau Pinang yang tidak boleh dikompromi dengan sebarang pertimbangan politik.

"Saya percaya tumpuan kepada penjanaan peluang pekerjaan dan langkah memastikan pertumbuhan mampan adalah lebih penting daripada terus berpolitik.

Objektif saya adalah jelas dan konsisten sepanjang karier politik saya iaitu berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk menyahut seruan kerajaan bagi saya berkhidmat dalam kedua-dua agensi kerajaan negeri dalam tempoh mencabar ini," katanya.

Beliau juga meminta pihak media supaya jangan menghubunginya lagi kerana sibuk dan tidak ada apa lagi untuk diperjelaskan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan Lee menerima jawatan itu adalah bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN) dan menyerahkan kepada parti itu untuk mengambil tindakan. BERNAMA