Pages

Wednesday, April 23, 2008

Kah Choon patut dipecat - Naib Presiden UMNO

MELAKA 22 April - Gerakan patut memecat keahlian bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Lee Kah Choon kerana menerima pelantikan Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi investPenang tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai ahli Gerakan, Kah Choon sepatutnya lebih maklum tindakan itu jelas membelakangkan pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, perbuatan Kah Choon itu menunjukkan beliau telah berpaling tadah kepada Gerakan dan BN.

''Saya rasa beliau seorang yang gemar mengambil peluang demi kepentingan diri, sepatutnya masa parti dalam masalah, kita perlu bersatu dan membaiki masalah yang ada bukannya menambah lagi masalah," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan polis negeri di pejabatnya di Seri Negeri hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kah Choon menerima pelantikan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi investPenang dalam kerajaan negeri yang diterajui DAP.

Menurut Mohd. Ali, BN tidak sepatutnya mempunyai ahli yang berpaling tadah dan membelakangkan ketuanya seperti Kah Choon itu.
''Jadi, saya rasa beliau patut dipecat atau beliau memecat dirinya sendiri, kita tidak perlu ada ahli seperti ini dalam parti.

''Biasalah, dalam parti mesti ada senang dan susah, kalau parti susah kita kena ada bersama-sama parti bukan lompat sana,'' ujarnya.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perbuatan Kah Choon itu terutama menerima pelantikan sebagai Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengerusi investPenang seperti hidup dua alam.

''Kita tidak boleh ada orang macam ini, di darat pun dia boleh hidup, dalam air pun dia boleh hidup," katanya.