Pages

Sunday, April 27, 2008

MB Selangor lawat PM

Oleh Agenda Selangor [Sabtu, 26 April 2008 ]

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Beberapa perkara telah dibincangkan bersama Perdana Menteri terutama perkara berkaitan program penswastaan, Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Lapangan Terbang Subang, dan isu pekerja asing di Selangor.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar, pada pertemuan itu, Abdullah menasihatkan supaya Kerajaan Negeri menghubungi Kementerian Pengangkutan dalam membincangkan dan menangani isu PKFZ serta cadangan penggunaan Lapangan Terbang Subang.

“Perdana Menteri memberi respon positif bahawa terdapat ruang untuk Kerajaan Negeri membangunkan kawasan tersebut.,” kata kenyataan itu.

Selain itu, dalam menangani isu air di Selangor, pihak Kerajaan Negeri Selangor diminta berbincang bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pertemuan dua hala itu juga membincangkan isu pekerja asing yang kian meningkat di Selangor.

Beberapa perkara lain yang berkaitan juga dibincangkan seperti kenyataan-kenyataan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Pelancongan, dan Menteri Pelajaran yang tidak menyumbang kepada hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.