Pages

Monday, April 28, 2008

Mohamad Sabu fail petisyen pilihan raya minta undi pos tidak dikira

28/04/2008 5:23pm

KUALA TERENGGANU 28 April - Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, memohon supaya 1,089 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dikeluarkan daripada kiraan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bagi kawasan itu.

Mohamad melalui peguamnya, Mohd. Kamaruzaman Abd. Wahab memfailkan petisyen itu kira-kira pukul 11.30 pagi yang diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed.

Petisyen tersebut dikemukakan Mohamad bagi meminta supaya kertas undi pos itu tidak dikira sebagai undi bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail.

Menurut Mohd. Kamaruzaman, petisyen itu difailkan mengikut peruntukan undang-undang iaitu undi pos sepatutnya adalah rahsia.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, terdapat 1,357 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dan 1,089 dikira sebagai undi manakala 157 ditolak.

Katanya, daripada 1,089 kertas undi pos yang dikira, 999 undi memihak kepada calon BN.

``Jika kertas undi pos ini ditolak, ia akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu,'' katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad, Razali dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali yang kini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi berbanding Mohamad sebanyak 31,934 undi manakala Maimun memperoleh 685 undi. - Utusan