Pages

Tuesday, April 22, 2008

Perlantikan Ahli Majlis MPPP

barisan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang baru bergambar bersama Lim Guan Eng (duduk, tujuh dari kiri) selepas upacara pengakuan menerima jawatan dan angkat sumpah di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 21 April - Dua wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik menjadi ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)

Walaupun kerajaan negeri mengumumkan empat orang wakil NGO daripada 24 kerusi ahli majlis, namun dua lagi wakil tidak diklasifikasikan sebagai NGO 'sebenar' kerana dikatakan berorientasikan perniagaan semata-mata.

Menurut wakil Women Centre For Change, Lim Kah Cheng (gambar), 56, sepatutnya MPPP melantik lebih banyak NGO mewakili pelbagai kumpulan masyarakat di negeri itu.
''Kami mewakili suara masyarakat yang menegakkan setiap hak asasi rakyat dan alam sekitar tanpa mementingkan wang ringgit.

''Saya harap akan ada lebih ramai wakil NGO pada pelantikan baru tahun hadapan kerana kami sememangnya mewakili suara rakyat daripada akar umbi," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MPPP di hadapan Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Rahim Seman di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar negeri, Chow Kon Yeow serta Exco negeri.

Daripada 24 buah kerusi ahli majlis MPPP, sebanyak 10 kerusi disandang oleh ahli DAP, tujuh Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu kerusi untuk Pas, empat kerusi kepada NGO manakala dua kerusi lagi diisi Pegawai Daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Empat buah NGO yang diterima sebagai ahli majlis MPPP terdiri daripada Women Centre For Change, Aliran, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) dan Dewan Perniagaan Cina (DPC).

Sementara itu, Setiausaha Aliran, Prof. Loh Kok Wah, 57, menyifatkan pelantikan NGO sebagai ahli majlis satu permulaan yang baik walaupun dakwanya, hanya dua buah NGO sahaja yang dipilih.

''Walaupun hanya saya dan Kah Cheng menjadi wakil NGO di sini, sekurangnya-kurangnya masih ada wakil dalam MPPP berbanding sebelum ini tidak ada mana-mana NGO diserap masuk.

''Saya sekali lagi ini menegaskan di sini bahawa NGO yang dipilih hanya dua sahaja. Yang saya tahu, DPMPP dan DPC merupakan organisasi berteraskan perniagaan," jelasnya.