KOTA BHARU, 28 April - Sesuai dengan keghairahan pemimpin-pemimpin Umno memohon maaf di atas kesilapan lampau, maka perkara serupa perlu juga dilakukan terhadap kerajaan Kelantan.
Malah mereka perlu mengakui kesilapan menyekatkan hak Kelantan mendapat peruntukan terutamanya berkaitan pembangunan yang berlaku sejak 18 tahun lalu.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dilihat kepada ghairahnya pemimpin Umno memohon maaf, maka perkara yang serupa juga wajar dilakukan terhadap negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
?Sekarang masa paling sesuai bagi mengembalikan semangat demokrasi berparlimen memandangkan sejak kebelakangan ini ramai pemimpin BN memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan-kesilapan dan penyelewengan yang pernah dilakukan mereka.
?Begitu juga dalam kes pemecatan hakim-hakim kanan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Sebagai tanda bersalah kerajaan pusat membayar sejumlah pempasan kewangan kepada hakim yang dipecat ketika itu.
?Sangat wajar sekiranya permohonan maaf turut dibuat kerajaan pusat terhadap kerajaan dan rakyat Kelantan kerana sejak sekian lama peruntukan pembangunan dinafikan.
?Saya selaku Menteri Besar akan mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri supaya mengembalikan semula peruntukan pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri,? katanya selepas majlis angkat sumpah Adun di Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.
Ekoran kemerosotan teruk prestasi pada pilihan raya umum lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu kerajaan BN memohon maaf di atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman.
Menurut senator tersebut tindakan pemecatan itu memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.
Manakala dalam kes lain Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf secara terbuka dalam isu keris Panca Warisan yang sering dijulang setiap kali perhimpunan agung Umno diadakan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kalau kerajaan pusat boleh membayar kepada hakim-hakim dan mengaku kesilapan besar memecat mereka, maka perkara yang serupa perlu dilakukan terhadap Kelantan.
?Kalau hakim dibayar pampasan, kerajaan Terengganu juga menuntut kembali royalti petroleum maka kerajaan Kelantan juga mempunyai hak serupa,? kata beliau.
Malah tegas beliau kerajaan pusat sepatutnya menyalur kembali peruntukan dan bantuan yang menjadi hak kerajaan negeri, sesuai dengan semangat kerjasama antara negeri dengan Persekutuan sebagaimana dijamin perlembagaan.
Menurutnya kerajaan negeri di bawah BN menerima terus peruntukan pembangunan termasuk pembinaan perumahan awam kos rendah, namun ia tidak berlaku di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu semata-mata kerana diperintah PAS.
?Sedangkan Kelantan juga sebahagian daripada Malaysia dan kerajaan negeri yang ada sekarang sebuah kerajaan sah dipilih rakyat melalui sistem demokrasi yang sama-sama kita dokongi,? ujarnya.
Selain itu kata beliau kerajaan Pusat pimpinan Umno perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia kerana melakukan kesilapan besar sepanjang tempoh 50 tahun lalu apabila tidak menjadikan Islam sebagai dasar dalam pemerintahan negara.
Menteri Besar juga melahirkan rasa syukur dan gembira di atas perubahan minda rakyat sehingga membawa kepada kemenangan besar parti-parti Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum, baru-baru ini.
?Kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum baru-baru ini sebenarnya melibatkan perubahan pemikiran rakyat yang yakin terhadap kemampuan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP.
?Perubahan jelas berlaku di kalangan rakyat bukan Islam di mana mereka boleh menerima dan yakin dengan kepemimpinan PAS,? kata beliau. - mj