Pages

Tuesday, September 16, 2008

Anwar Dakwa Cukup Anggota Parlimen Untuk Bentuk Kerajaan

PETALING JAYA, 16 Sept (Bernama)-- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau mendakwa pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin tengah hari untuk memaklumkan berhubung senarai jumlah Anggota Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 12,000 penyokong di majlis sambutan Hari Malaysia ke-45 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya di sini Isnin malam, tidak mengenal pasti nama-nama mereka yang terlibat.

Anwar juga mendakwa satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri nanti untuk membincangkan perkara berkaitan dakwaan beliau mengenai peralihan kuasa.

Beliau juga menggesa kedua-dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dibebaskan.

"Untuk pertahankan negara yang bebas, bukan dicengkam oleh undang-undang yang zalim. Kalau kita (Pakatan Rakyat) memerintah, saya janji ISA akan dimansuhkan dan tahanan politik dibebaskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berjanji akan mengangkat martabat bahasa Inggeris dan bahasa Cina kerana Malaysia akan hebat jika dapat menguasai kedua-dua bahasa tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

-- BERNAMA