Pages

Sunday, September 21, 2008

Apakah kemampuan brother Anwar??

Kemampuan Anwar untuk 'mendamaikan' PAS dan DAP yang berlainan ideologi, kemampuan beliau mengajak kaum bumiputera dari kalangan pelbagai agama di Sabah dan Sarawak, sukar untuk dilakukan oleh lain-lain pemimpin dalam negara.


Soal sesiapa suka atau tidak kepada Anwar itu soal lain. Recognition seperti ini tidak mudah diterima lain-lain pemimpin politik, sama ada dari BN atau Pakatan Rakyat.




Dalam sidang akhbarnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa lebih USD1 trillion pelaburan asing menanti untuk memasuki pasaran negara jika politik, kehakiman negara, media, polis, peraturan Bank Negara diperbaiki.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga komited untuk merombak pengurusan sumber ekonomi negara, menstruktur semula sistem cukai dan menurunkan harga minyak.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, kemasukan USD1 trillion pelaburan asing akan menjana aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Ini yang sebenarnya rakyat kehendaki.

Oleh itu Abdullah dan BN tidak boleh menuduh Anwar mensabotaj ekonomi negara. Jika mereka gagal menguruskan ekonomi dan tidak mempunyai karisma untuk menarik pelabur asing, itu bukan salah Anwar.

Anwar sering dituduh proksi Amerika dan Barat. Kesempatan sebagai 'proksi' Barat ini boleh diambil Anwar untuk menarik pelabur dari blok Barat.

Tetapi jangan lupa, Anwar juga 'agen' negara-negara Arab! Sebahagian besar rakan-rakan beliau adalah PM dan Menteri yang menjaga ekonomi di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, UAE, Bahrin dan sebagainya.

Sudah tentu hubungan persahabatan dan kepercayaan negara Arab yang sering menjemput Anwar sebagai penasihat ekonomi mereka, merupakan kesempatan terbaik Anwar untuk menarik pelabur-pelabur asing daripada negara Arab.



Manakala di blok Timur pula, Anwar sering diundang untuk berucap dalam forum-forum ekonomi anjuran negara China, sama ada di Shanghai atau Hong Kong, malah di Singapura juga.

Selain bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak ramai rakyat Malaysia, berketurunan Melayu yang mendapat kepercayaan kuasa besar ekonomi China. Setakat ini Abdullah dan Najib, belum termasuk dalam senarai pemidato ekonomi.

Justeru kesimpulan daripada dakwaan sebagai proksi Barat, hubungan erat dengan negara Arab, serta keyakinan kuasa ekonomi China terhadap Anwar, ianya akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara, jika beliau diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hakikatnya Pakatan Rakyat sudah bersedia memerintah negara dengan jaminan keselamatan negara, perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan keadilan sosial. Mari kita membantu menyegerakan!

(Petikan Asal : HarakahDaily)