Tuesday, September 16, 2008

IPF Cawangan Ulu Bernam bubar

TELUK INTAN, 15 Sept (Hrkh) - Seramai lebih 50 orang ahli Parti Progresif India (IPF) Cawangan Ulu Bernam mengambil keputusan keluar parti seterusnya menyertai Kelab Penyokong PAS Teluk Intan.

Menurut jurucakap mereka, Suryanarayanan, keputusan mereka keluar parti diambil kerana mereka amat kecewa dengan pimpinan parti yang tidak pernah mengambil hirau terhadap mereka. Pemimpin IPF tidak pernah mengambil tahu masalah yang mereka hadapi.

Beliau percaya PAS merupakan satu parti yang dapat memperjuangan nasib semua lapisan masyarakat dan bangsa di negara ini, oleh itu beliau bersama pengikutnya mengambil keputusan menyertai Kelab Penyokong PAS.

Majlis perasmian Kelab Penyokong PAS Cawangan Ulu Bernam bertempat di perkarangan Masjid Ulu Bernam bersempena majlis berbuka puasa bersama Adun Changkat Jong Haji Mohd Anuar Sudin semalam.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Haji Mohd Anuar telah menjelaskan dasar-dasar perjuangan PAS serta dasar-dasar Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang mana masalah rakyat yang bukan Islam tidak akan dipinggirkan oleh pemerintah.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS agar dapat berhubung dengan ketua kampung serta pimpinan PAS tempatan sekiranya mereka mempunyai sabarang masalah. - mns_