Zuharman MN
Wed | Sep 17, 08 | 4:22:53 pm MYT
PASIR PUTEH, 17 Sept (Hrkh) � Imej kerajaan Barisan Nasional (BN) kini semakin menjunam apabila banyak tindakannya kebelakangan ini tersasar jauh sehingga menjadi medan amukkan sesama sendiri. Iklan
Isu ISA ternyata menyebabkan Umno dan BN mengelusur ke bawah sehingga membawa kepada perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan BN tidak mampu mempertahankan asas penahanan terhadap Editor Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin dan anggota Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.
"Kerajaan BN menjadi lebih buruk selagi mempertahankan penahanan Raja Petra dan Teresa di bawah tahanan ISA kerana tindakan tersebut jelas tidak dipersetujui menteri kabinet sendiri.
"Dato' Seri Dr Rais Yatim dan Zaid tidak setuju. Zaid pula sanggup meletak jawatan. Ini satu pukulan berat kepada kerajaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan cek kepada seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang mengidap sakit jantung.
Pada 12 September lalu Raja Petra, Teresa dan Tan Hoon ditahan di bawah tahanan ISA.
Bagaimana wartawan wanita akhbar berbahasa Cina itu dibebaskan selepas 18 jam kemudian .
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, ada pihak yang tidak bertanggungjawab memutar belit faktor penangkapan ke atas Teresa yang dikatakan cuba menghalang penggunaan alat pembesar suara ketika azan di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini.
"Sedangkan ahli jawatankuasa masjid terbabit sudah buat kenyataan bertulis bahawa perkara ini tidak pernah berlaku, tetapi yang terjadi pada masa itu ialah kerosakan sistem pembesar suara sehingga suara azan tidak kedengaran," katanya.
Oleh itu kerajaan BN perlu membebaskan segera mereka sebelum situasi lebih buruk menimpa kerajaan yang ada sekarang. - mj _