KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Kedua-dua Anggota Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata mereka akan terus menjalankan tugas untuk mengketengahkan suara rakyat walaupun parti mereka membuat keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) hari ini.
Mereka kini akan menukar posisi mereka sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
Anggota Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui berkata keputusannya untuk menyokong SAPP keluar dari BN juga berdasarkan kepada respons rakyat di kawasannya, yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan senario politik semasa.
"Mereka (rakyat di Tawau) merayu kepada saya, mereka mahu perubahan, ini adalah suara rakyat. Jadi kami akan terus jalankan tugas untuk mendengar keperluan rakyat. Kami akan memainkan peranan berkesan demi faedah rakyat di Sabah," katanya sebagai memberi reaksi kepada pengumuman SAPP keluar daripada BN.
Ditanya tentang tindakan beliau sekiranya diminta meletak jawatan, Chua berkata "saya adalah wakil yang dipilih, saya akan penuhi penggal saya."
Anggota Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun berkata parti dan rakyat memerlukan perubahan kerana apa yang disuarakan mereka selama ini seolah-olah masih tidak mendapat perhatian.
"Kita sudah duduk di BN. Apabila kita suarakan seolah-olah masih tidak dapat didengar, maka lebih baik mengikuti suara ramai," katanya.
Ditanya sama ada beliau dijemput menyertai Pakatan Rakyat, Eric berkata jika pun beliau ditawarkan sedemikian, beliau tidak akan menerimanya kerana ia tidak kena mengena dengan sebab sebenar SAPP keluar daripada BN.
"Itu bukan kami punya isu, memang ada dia orang tanya tapi saya rasa ketika ini, itu bukan jadi persoalan, isu sekarang ialah kita menuntut apa sebenarnya perjuangan kita," jelasnya.
-- BERNAMA