Pages

Tuesday, September 16, 2008

PAS Berpecah??

Analisis Gara-gara projek pembentukan
kerajaan baru pada 16 September seperti diura-urakan penasihat PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim, PAS pula yang terpaksa bertelagah sesama sendiri khususnya antara
Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu
Datuk Mustafa Ali.



Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan
Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan
pengarah pilihanraya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul
serupa dengan nada presiden Umno".



nik aziz and mustafa ali and pasDalam
kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut
menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya" dengan
membandingkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang
menganggap tersilap memilih penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Tokoh besar PAS itu turut membayangkan Mustafa kemungkinan akan meninggalkan PAS
dan menyertai Umno.



Bagaimanapun beberapa bahagian panas kenyataan panjang Nik Aziz ini, yang
dikirimkan kepada Harakah, tidak dimuatkan dalam akhbar rasmi parti itu
dalam edisi terbarunya.



Tidak cukup dengan serangan itu, Nik Aziz mengulangi kritikannya kepada Mustafa
dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, dua hari selepas
kenyataan kontroversi itu diterbitkan.



Dihubungi Malaysiakini semalam, pesuruhjaya itu enggan mengulas
kenyataan Nik Aziz.



Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu berpendapat perubahan kerajaan yang cuba
diusahakan Anwar hari ini "tidak mungkin berlaku" dengan dua alasan.



Pertama, pada tarikh itu, Dewan Rakyat tidak bersidang, maka undi tidak percaya
terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa walaupun majoriti ahli parlimen
menyebelahi Pakatan Rakyat.



Beliau juga dilaporkan berkata, secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil
rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.



djz convention 101205 ahmad lutfiBeberapa
jam sebelum serangan sinis Nik Aziz kelmarin, seorang wartawan Harakah
terpaksa menarik balik kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu daripada
blognya atas arahan ketua pengarang eksekutif akhbar itu Ahmad Lutfi Othman
(foto kanan)
.



"Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit.



"Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu
menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan
bersuara telah disekat," catat Wan Nordin Wan Yaakob di blognya Politik Suku
Sakat
(wannordinwanyaakob.blogspot.com).



Tambahnya, seorang lagi wartawan akhbar rasmi PAS itu "turut menerima tamparan
apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan,
malah kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) itu katanya (pemimpin itu) melampau."



"Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan ideologi politik suku-sakat,
dan inilah yang dikatakan 'Politik Suku Sakat', akhirnya saya juga yang terkena
penahan mereka," kata wartawan itu lagi.



Wan Nordin, yang menulis berita 'Mursyidul am mahu Pakatan Rakyat diperkukuh:
Mustafa ditegur', bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin-pemimpin PAS yang
mengganggu beliau dan wartawan wanita itu.



Usaha Malaysiakini menghubunginya hari ini gagal.



Dalam kenyataan yang sama, kini beredar lebih meluas dalam kalangan penyokong
PAS yang pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Nik Aziz turut melahirkan
kebimbangannya apabila Harakah sendiri terlibat menyiarkan pandangan
Mustafa yang meragui usaha menumbangkan kerajaan BN gaya Anwar itu.



"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan
sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa)
yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi
keputusan Muktamar," kata Nik Aziz.



"Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan
analisis yang dibuat.



"Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia
boleh merosakkan imej Harakah. Pada logiknya, pembaca Harakah
akan berkurangan.



"Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini."



Bagaimanapun ada pihak yang menganggap kenyataan mursyidul am PAS dikarang oleh
"kumpulan Erdogan", pemimpin-pemimpin muda beraliran moderat yang dikatakan
diketuai oleh naib presiden PAS Datuk Husam Musa - beliau bagaimanapun
menafikannya.



anti husam musa blog 280808"Saya
tidak percaya (kenyataan) itu adalah tulisan Tuan Guru Nik Aziz ataupun
kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau.



"Nik Aziz yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara
terbuka, lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS," kata blog Anti Husam,
yang pertama kali memperkenalkan ungkapan "kumpulan Erdogan", bersempena perdana
menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.



"Saya percaya Husam dan/atau kumpulan Erdogannya berperanan besar untuk
mengeluarkan kenyataan tersebut... sama ada disedari oleh Nik Aziz ataupun tidak.




"Mana mungkin Nik Aziz menyebut perkataan 'standing ovation' (tepukan
hormat sambil berdiri) dalam kenyataannya.



"Lebih-lebih lagi fakta yang kononnya muktamar memutuskan untuk mengukuhkan
Pakatan Rakyat secara standing ovation tidak tepat sama sekali."



Pertembungan kali ini mengesahkan wujudnya dua puak, atau setidak-tidaknya dua
aliran, dalam PAS yang saling berbeza pandangan berhubung isu pertukaran
kerajaan pada 16 September, muqabalah dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan
Rakyat.



Namun, kenyataan senada dengan Mustafa itu bukan pertama kali dikeluarkan oleh
pemimpin atasan parti itu.



Naib presidennya Mohamad Sabu baru-baru ini pernah menyatakan keraguannya pada
projek Anwar tersebut.



Bagaimanapun, oleh kerana beliau dilihat tidak cenderung kepada kumpulan
tertentu, pandangan bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu tidak menimbulkan
pertikaian besar seperti Mustafa.



Lagipun, Mohamad dikatakan pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan tidak selesa
dengan rundingan PAS-Umno.



Berbeza dengan Mustafa yang dilihat sebagai seorang arkitek dalam projek
muqabalah dengan sokongan penuh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang -
kedua-duanya tokoh berpengaruh dari Terengganu.



Dua aliran ini turut mempengaruhi beberapa pihak lagi dalam PAS. Badan
perhubungan PAS Johor menyokong Mustafa, sementara Kelab Penyokong PAS
menyebelahi Nik Aziz.



Apakah kita akan menyaksikan keretakan yang lebih besar dalam PAS susulan
kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang mulai ketara
menjelang dan sewaktu muktamar ke-54 di Ipoh?