Pages

Wednesday, September 17, 2008

Penulis blog Kickdefella ditahan bawah Akta Hasutan

KOTA BAHARU: Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Aziz, ditahan polis di rumahnya di Demit di sini mengikut Akta Hasutan.

Isteri Syed Azidi, Bariah Ishak berkata, polis yang datang ke rumah mereka dengan menaiki sebuah Pajero berwarna putih dan bercermin gelap, menahan suaminya 5.05 petang.
"Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

"Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, salah seorang daripada pegawai polis itu memaklumkan suaminya akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan itu kerana tiada maklumat yang diterima oleh polis Kelantan mengenainya.

"Kita akan periksa dahulu mengenai perkara itu," katanya.
Syed Azidi, 38, adalah Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Menerusi blog Kickdefella, beliau pernah pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau juga pernah mengarahkan filem pendek bertajuk 'Lautan Biru di Waktu Subuh'.