Pages

Thursday, October 16, 2008

Sidang Pemuda Umno Rantau Panjang kecoh, unit antirusuhan dipanggil

Sidang Pemuda Umno Rantau Panjang kecoh, unit antirusuhan dipanggil


BEBERAPA individu yang bertindak agresif dengan menjerit dan membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah ditenangkan oleh individu yang lain ketika mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Rantau Panjang hari ini. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] RANTAU PANJANG: Persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang semalam kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.


Suasana kecoh itu bermula pada 9.30 pagi apabila mesyuarat berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan Seri Kiambang di sini dan berikutan keadaan itu berlarutan selama sejam, Polis Daerah Pasir Mas terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.


Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat berkenaan Nordin Ibrahim mengumumkan seramai 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi.


Sejurus selepas pengumuman itu, seorang wakil dari kumpulan membantah itu, yang juga merupakan Ketua Cawangan Umno Taman Seri, mendakwa jumlah perwakilan berkenaan tidak sah kerana kemungkinan wujudnya anggota hantu.


Beliau yang dikenali sebagai Suhaimi Che Hussin juga mendakwa jumlah berkenaan mungkin tidak betul memandangkan masih ada bantahan terhadap mesyuarat cawangan yang belum selesai seperti Cawangan Tepi Sungai.


Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affendi Yusof cuba mententeramkan keadaan dengan menjelaskan perkara berkenaan tidak seharusnya timbul kerana jumlah perwakilan itu telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantau Badan Perhubungan Umno Kelantan.


Affendi berkata, kekecohan berkenaan sudah dijangka memandangkan beliau sendiri sudah maklum dengan perancangan dan strategi yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengganggu mesyuarat.


"Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku terutamanya setelah empat anggota Umno Rantau Panjang digantung keahliannya," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun penyokong beliau cuba diprovokasi oleh pihak yang tidak berpuas hati.


Ketua Umno Bahagian, Abdullah Mat Yasin ketika ditemui menyifatkan kekecohan berkenaan hanya kerana salah faham memandangkan ada anggota yang tidak tahu cawangan mereka bertukar perwakilan.


"Ada sesetengah cawangan terpaksa diadakan mesyuarat sebanyak dua kali dengan mesyuarat kali kedua dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemantau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Abdullah berkata, jumlah 461 perwakilan berkenaan adalah betul dan telah disahkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri.


"Masalah ini kita percaya wujud kerana penyokong bekas Ketua Bahagian dulu yang tidak berpuashati dengan tindakan Lembaga Disiplin Umno yang mengantung keahlian beliau," katanya.


Mesyuarat berkenaan kemudiannya disambung selepas solat Jumaat ini. BERNAMA