Pages

Sunday, January 4, 2009

Ahmad Said Sudah Mula Tunjuk Kebodohan!

DALAM Buletin Utama TV3 malam ini saya terdengar kata-kata MB Terengganu, Ahmad Said berbunyi kira-kira begini. "Sekiranya pengundi tidak pilih BN kita tidak akan buat projek di Kuala Terengganu," Menurut laporan itu MB itu memperuntukan sebanyak RM5.6 juta untuk projek baiki longkang dan jalan-jalan kecil di Kuala Terengganu.

Saya kira politik ugut dan hukum begitu sudah tidak akan berlaku lagi pada tahun 2009 ini. Saya kira ianya sudah lama dibuang dan ditinggalkan. Tetapi alih-alih malam ini Ahmad Said bersuara demikian ia amat dikesalkan. Rupa-rupanya MB itu masih belum berganjak dan mengalih pradigma terus-terusan untuk ugut pengundi dan mengancam pengundi dengan projek.

Apa kena mengena peruntukan itu dengan keengganan pengundi tidak mahu pilih Umno? Apakah peruntukan yang hendak dibelanjakan itu wang Umno atau wang kerajaan. Kalau wang itu akan keluar dari sakut Umno wajar kalau Ahmad Said tidak mahu belanjakan wang itu untuk kepentingan rakyat di Kuala Terengganu.

Tetapi wang yang hendak dikeluarkan itu wang kerajaan, yang diambil daripada cukai rakyat dan sebagainya. Sepatutnya MB itu tahu kedudukan wang berkenaan dan kepada siapa ia harus dibelanjakan. Tetapi bila Ahmad Said menunjukkan semula keburukan dan kebodohan seperti ditunjuk dan diamalkan oleh pemimpin Umno selama ini, bermakna MB itu juga menyukai kepada politik surut ke belakang begitu. Ini bererti kelas dan standard Ahmad Said samalah juga dengan pemimpin-pemimpin Umno lain.

Saya tidak nampak ugutan dan ancaman Ahmad Said itu akan didengari oleh pengundi dan rakyat Kuala Terengganu. Mereka sudah faham kewajiban untuk membantu mereka adalah kewajiban kerajaan bukan parti. Jadi sesiapa yang menjadi kerajaan ia kena membantu sesipa saja tidak kira anutan ideologi politik ataupun bangsa.

Kalaulah politik ancam dan ugut itu berleluasa berlaku di Kuala Terengganu saya bimbang bukan saja Umno akan kecundang dan tidak selamat pada pilihan raya itu kelak tetapi Ahmad Said juga nanti tidak akan selamat. Rasanya elok kalau Ahmad keluar dari tempurung politik lapok dan belajarlah politik baru yang tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk dijadikan gula-gula kepada rakyat.

Apa guna Ahmad Said menjadi MB baru kalau perangai, sikap dan pendekatannya masih ditakuk lama! [wm. kl 11:45 pm 03/01/09] dari laman: http://msomelayu.blogspot.com/