Pages

Thursday, January 8, 2009

Kerusi BN akan bertukar pada PAS



KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Hrkh) - Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menjangkakan bahawa akan berlaku pertukaran kerusi daripada BN kepada PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.
"Saya percaya akan berlaku pertukaran kerusi ibarat 'sky change' kerana dalam tempoh 10 bulan ini, BN telah gagal untuk mendengar mesej daripada rakyat dan tsunami politik pada Mac tahun lalu," ujarnya kepada pemberita pada majlis penamaan calon Pilihan Raya Kecil parlimen Kuala terengganu di Stadium Negeri semalam.

Ditanya mengenai mesej DAP kepada pengundi Kuala Terengganu, bahawa proses pemilihan ahli parlimen ini adalah demi kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
"Mesej yang hendak disampaikan adalah pilihan raya ini adalah untuk kepentingan masa depan bukan sahaja penduduk di Kuala Terengganu sahaja, malah rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.
Beliau juga berpesan kepada pengundi bukan Melayu agar menganggap PRK ini adalah suatu peluang dan akan menjadi sejarah bahawa akan berlaku tsunami politik yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.
"Kepada pengundi bukan Melayu, anggaplah ini adalah satu peluang untuk mencipta sejarah kerana akan berlaku tsunami politik yang lebih besar menjelang pilihan raya umum akan datang," tegasnya.
Ahli Parlimen Ipoh Timur tersebut optimis bahawa PAS akan berjaya memenangi pilihan raya kecil ini dengan sokongan dan dokongan yang ditunjukkan oleh pakatan Rakyat serta masyarakat setempat khususnya pengundi bukan Melayu terhadap calon Pakatan Rakyat, Mohd Abdul Wahid Endut. - mks. _