Pages

Sunday, February 1, 2009

2 ADUN PKR Perak letak jawatan

[DIKEMAS KINI, 8 MALAM] PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang didakwa hilang sejak lima hari lalu, meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini.
Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh sejam yang lalu.
Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya secara rasmi esok.
Kedua-dua ADUN berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).
Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.
Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.
Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota Dewan Undangan Negeri termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya.
"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.
Ketika ditanya sama ada kecewa dengan keputusan mereka, pemimpin dari PAS itu memberitahu: "Bukan soal kecewa tapi ini menunjukkan Umno dan BN bertindak jahat memancing orang kami."
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan termasuk memanggil pilihan raya kecil jika menerima pengesahan rasmi mengenai kekosongan yang wujud.
"(Berdasarkan maklumat media)... maknanya sudah ada kekosongan... SPR apabila menerima surat tentang kekosongan," katanya.