Pages

Wednesday, February 4, 2009

Bubar DUN: MB menghadap Sultan

kemaskini 3.52pm
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka akan dibubarkan dalam masa terdekat jika Sultan memberikan perkenan kepada kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk memanggil pilihanraya negeri secara mengejut. Difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin berusaha menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas tiga wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.Sementara beberapa lagi Adun kerajaan campuran itu - termasuk Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasharuddin Hashim yang menyertai PKR bulan lepas - didesas-desuskan meninggalkannya.

Mohd Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak.Beberapa pemimpin kanan PAS dan wakil-wakil rakyat Pakatan yang dihubungi Malaysiakini menjelang tengah hari tadi enggan memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.Difahamkan tiga Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Pakatan Rakyat, termasuk Timbalan Speaker Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) telah menulis surat, memaklumkan meninggalkan gabungan tersebut pagi ini.

Dua Adun PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar parti beberapa hari ini lalu - menimbulkan krisis mendebarkan di negeri itu.Dengan tindakan tiga Adun itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kini tinggal 29 daripada 59 kerusi di DUN. Tiga bekas Adun kerajaan campuran itu kini menjadi wakil rakyat bebas dan dipercayai akan menyokong BN, membolehkan parti itu merampas tampuk kerajaan dengan majoriti tipis satu kerusi.

Di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan sidang akhbar khas pada jam 4 petang ini, dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik di Perak.
Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak dijangka mengadakan satu sidang akhbar jam 4 petang ini.