Thursday, February 19, 2009

Kamarulail: Saya sedia jadi calon

Muda Mohd Noor | Feb 19, 09 10:54am
Timbalan Ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Kamarulail Sulaiman sedia memikul tanggungjawab menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi parlimen Bukit Gantang.

Beliau yang juga pensyarah di Kolej Islam Perak berkata, pucuk pimpinan parti perlu memilihnya kerana sebahagian besar 19,000 ahli dari 102 cawangan Umno bahagian Bukit Gantang menyokongnya.

“Jangan mengecewakan ahli-ahli parti yang memilih saya menjadi timbalan ketua bahagian. Ini bermakna mereka menyokong saya.

“Jadi tidak patut kalau calon BN Bukit Gantang diberikan kepada orang lain,” katanya.

Kamarulail berkata, beliau boleh merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu.

Pada 2008, calon PAS, Roslan Shaharum telah mengalahkan calon BN iaitu bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi.

Beikutan kematian Roslan awal bulan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 April depan.

'Faham kehendak ahli'

Kamarulail berkata, beliau perlu menjadi ahli Parlimen Bukit Gantang untuk memudahkan tugasnya menjaga dua lagi Dewan Undangan Negeri iaitu Changkat Jering dan Trong.

“Kalau saya tidak menjadi ahli Parlimen, bagaimanakah saya boleh membantu Umno bahagian sedangkan saya timbalan ketua bahagian.

“Oleh kerana itu saya berharap parti melihat perkara ini dan memberi peluang bertanding dalam pilihanraya kecil.

“Kalau tidak pilih saya, siapa lagi. Saya sudah lama dalam parti dan memegang pelbagai jawatan. Saya juga tahu kehendak ahli Umno bahagian ini,” katanya lagi.

Kamarulail berkata, seseorang yang hendak menjadi wakil rakyat hendaklah boleh menjaga parti terlebih dahulu.

Katanya, beliau telah membuktikan bahawa majoriti ahli Umno di Bukit Gantang menyokongnya sebagaimana yang berlaku dalam pemilihan parti Oktober lalu.