Pages

Monday, February 2, 2009

Perak: SPR sudah dimaklum kekosongan, wajar panggil pilihan raya kecil

Terpulang kepada 2 ADUN PKR ambil tindakan mahkamah

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 12.45 TENGAH HARI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja menerima notis pengesahan kekosongan mana-mana kerusi termasuk di Perak, yang kini "menuju kontroversi perundangan".
Sama ada seseorang wakil rakyat itu mahu mengambil tindakan mahkamah kononnya pihak tertentu atau parti mereka menggunakan surat letak jawatan yang telah ditandatangani terlebih awal, sebelum kekosongan diumumkan, merupakan satu soal berlainan.

SPR DIMAKLUM

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mengesahkan beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah bahawa telah menerima notis kekosongan daripada Speaker.

Malah, kata beliau, Pejabat Pilihan Raya Perak juga ada menerima surat daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikatakan telah mengosongkan kerusi masing-masing.
Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah ketika dihubungi sebentar tadi juga mengesahkan ada menerima notis kekosongan dan salinan surat daripada kedua-dua ADUN berkenaan.

Bagaimanapun Abdul Aziz tidak menyatakan kandungan surat kedua-dua ADUN berkenaan.
"Esok kami akan mengadakan mesyuarat dan melihat kandungan surat itu," kata beliau kepada mStar Online kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi.

Hari ini adalah cuti di Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persektuuan. Speaker Dewan Undangan Negeri memaklumkan Pejabat Pilihan Raya Negeri pukul 8 pagi tadi.

WAJAR PILIHAN RAYA DIADAKAN

Dalam pada itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi mStar Online memberitahu, mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.
Mengikut skop perundangan, kata beliau, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.

"Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)," kata beliau yang juga bekas Setiausaha SPR.

Beliau bersara 30 Disember lalu.

Sama ada penyandang kerusi terbabit mahu mencabar keputusan Speaker ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara lain, kata beliau lagi.