Pages

Wednesday, February 18, 2009

Umno cukup takut berdepan mahkamah rakyat di Perak

Razali Endun
Tue | Feb 17, 09 | 2:58:09 am MYT
Kemelut politik di Perak semakin kalut. Adun Pangkor, Dr Zambry Abdul Kadir sudah pun mengangkat sumpah pada jam 4.00 petang hari Jumaat 6 Feb. sebagai Menteri Besar yang baru. Nama beliau diperkenankan oleh Sultan Perak setelah dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Iklan



Manakala Mohammadd Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun dititahkan oleh Tuanku Sultan berbuat demikian. Sebelum itu Nizar telah menghadap Sultan mohon perkenan baginda untuk dibubarkan Dewan Undangan Negeri.

Semua ini bermula apabila dua Adun KeADILan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) yang bermasaalah membuat kecoh dengan menghilangkan diri. Mereka diikuti pula oleh Adun Jelapang dari DAP Hee Yit Fong, telah mengisytiar keluar dari parti masing-masing, menjadi calon bebas dan sekali gus menyokong BN untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Sebelum itu, pada 25 Januari Nasarudin Hashim, Adun Bota dari Umno telah mengisytihar keluar Umno dan masuk KeADILan. Sepuluh hari selepas itu beliau masuk semula ke dalam Umno. Kehilangan Jamaluddin dan Mohd Osman menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi. Ada andaian mengatakan mereka diculik oleh pihak tertentu untuk dipujuk, dipaksa atau diugut untuk keluar KeADILan.

Namun ketika kehilangan beliau, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar telah menerima surat perletakan jawatan kedua-dua Adun ini dan telah memaklumkan kekosongan kedua kerusi tersebut kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Perak.

Pada 3 Feb Pengerusi SPR Tan Sri Aziz Mohd Yusof telah mengumumkan bahawa kedua-dua kerusi itu masih tidak dikosongkan kerana ada keraguan terhadap kesahihan surat perletakan jawatan itu kerana dinafikan oleh kedua-dua Adun tersebut melalui wakil-wakil mereka dalam satu sidang media pada 3 Feb.

Tindakan SPR yang enggan menerima makluman Speaker Perak tentang kekosongan yang berlaku itulah yang menjadi punca segala kemelut ini. Pihak Pakatan Rakyat mempertikaikan kuasa SPR menolak notis pemberitahuan Speaker Perak yang mereka anggap telah melampaui kuasa yang ada pada badan itu.

SPR seolah-olah bertindak sebagai mahkamah menentukan kesahihan surat perletakan jawatan itu. Sementara SPR mungkin terikat dengan keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak surat perletakan jawatan yang serupa. Pada 1990 kes yang sama berlaku di Kelantan, mahkamah menolak permohonan Speaker untuk mengosongkan kerusi dari ahli yang melompat.

Tugas SPR ialah menetapkan tarikh pilihan raya kecil setelah dimaklumkan kekosongan itu oleh Speaker. Tindakan undang-undang biarlah pihak Adun berkenaan ambil sekiranya mahu mempertikaikan keputusan Speaker atau SPR. Malah bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abd. Rahman dalam suatu wawancara dengan sebuah setesen TV bersetuju bahawa SPR tidak ada pilihan lain melainkan mengadakan pilihan raya kecil.

Di antara fungsi utama SPR ialah mengendalikan pilihan raya, membuat dan menyimpan daftar pemilih dan persempadanan semula kawasan pilihan raya. SPR tidak ada kuasa menentukan kesahihan surat perletakan jawatan atau mempertikaikan kekosongan yang telah dimaklumkan oleh Speaker.

Atas penolakan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itulah, maka Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan akan memohon agar dibubarkan Dewan Undangan Negeri oleh Sultan. Pada masa yang sama Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar memfailkan saman mohon mahkamah mengisytiharkan kekosongan di tiga kerusi DUN iaitu, Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang. Pengisytiharan mahkamah ini diperlukan bagi memaksa SPR mengiktiraf kekosongan ketiga-tiga kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

Serentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri pula menghadap Sultan dan mempersembahkan bahawa BN mempunyai suara majoriti dalam Dun setelah mendapat akujanji dan sokongan daripada ketiga-tiga Dun Bebas itu. Sultan juga telah memanggil semua Adun BN termasuk ketiga-tiga wakil bebas itu untuk mendapatkan kepastian.

Setelah itu Nizar dititah menghadap Sultan dan diminta supaya meletakkan jawatan kerana baginda tidak perkenan untuk membubarkan DUN. Perlu diingat, BN mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan kini Bebas 3. Ketiga-tiga wakil Bebas inilah menjadi penentu pihak mana yang dibolehkan berkuasa di negeri Perak.

Mungkin berdasarkan keyakinan bahawa BN mendapat sokongan daripada tiga calon bebas ini, maka Sultan mengambil keputusan menyerahkan kuasa kepada Umno-BN. Sayugia diingat bahawa perlantikan Menteri Besar dan Exco baru ini dibuat sebelum MB Pakatan Rakyat meletak jawatan atau mendapat undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Malah Dewan Undangan Negeri tidak pula dipanggil untuk proses ini. Mengikut undang-undang, MB hanya boleh diberhentikan daripada jawatannya sekirannya dia tidak mendapat sokongan majoriti dan melalui undi tidak percaya ke atasnya.

Mungkin bagi Nizar jalan yang paling baik untuk menyelamatkan keadaan terus menjadi kalut dan celaru ialah dengan memohon dibubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya semula. Ianya akan memberi kesempatan kepada rakyat membuat pilihan sekali lagi.

Proses undang-undang, bukan sahaja lambat malah banyak liku dan rumitnya, selain membuang masa dan wang. Justeru kerana itulah beliau telah mohon perkenan Sultan untuk bubarkan Dun, tetapi permohonan itu tidak diperkenankan.

Timbul pula persoalan bahawa kenapa Sultan tidak menerima nasihat Menteri Besarnya? Dalam kaedah perundangan nasihat daripada Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri hendaklah diterima oleh Sultan atau Yang di-Pertuan Agong tetapi dalam hal membubarkan Dun atau Parlimen, baginda boleh menolaknya.

Namun, yang jelas pertikaian ini seharusnya diselesaikan dengan dipulangkan semula kepada suara rakyat menentukan. Ini yang dikehendaki oleh Pakatan Rakyat, tetapi Umno-BN mahu mengelakkan perkara ini berlaku. Sebab itu mereka menggunakan pelbagai helah dan alasan supaya pilihan raya tidak diadakan.

Umno-BN sebenarnya takut untuk berhadapan dengan rakyat kerana mereka tahu peluang untuk mereka menang adalah sangat tipis. Kemungkinan mereka akan hilang banyak kerusi lagi adalah satu kebarangkalian yang tidak boleh dipandang remeh.

Umno sendiri di dalam keadaan yang tidak menentu dan menghadapi krisis keyakinan bukan sahaja di antara ahlinya tetapi juga di kalangan rakyat jelata. Rasuah politik yang semakin jelas berlaku dalam Umno ibarat penyakit barah yang semakin parah.

Perebutan kuasa dalam kepimpinan Umno pada Mac ini memeningkan lagi kepimpinan Umno. Suasana yang tidak menentu inilah yang tidak mengizinkan Umno-BN menghadapi satu 'snap election' pada masa terdekat. Justeru itu mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengizinkan 'rampasan kuasa' ini kerana undang-undang negara ini tidak menyekat ahli Dun atau pun parlimen melompat mana-mana parti politik yang mereka sukai.

Kerajaan Umno-BN yang baru di Perak tidaklah kuat dan kukuh kerana mereka sebenarnya menghadapi risiko yang tinggi. Pertama, suara majoriti mereka ialah tiga orang ini yang merupakan ahli Bebas. Bebas bukan sebuah organisasi atau parti politik yang berdaftar. Bebas bererti boleh condong ke arah mana sahaja mengikut situasi.

Kedua, dua daripadanya menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. Sekiranya mereka dibebaskan, persepsi masyarakat sudah tentu beranggapan bahawa pembebasan mereka sudah dirancang terlebih dahulu oleh pihak-pihak tertentu. Kalau mereka disabitkan kesalahan, maka tinggal seorang sahaja lagi iaitu bekas ahli DAP. Kemungkinan beliau berpaling tadah kepada Pakatan Rakyat semula tidak boleh ditolak.

Apa yang jelas kerajaan baru di Perak masih dalam pertikaian. Kesahihannya mengikut undang-undang masih boleh dipersoalkan. Dengan keengganan Nizar meletakkan jawatannya, Perak sekarang mempunyai dua MB.

Hakikatnya, Nizar masih belum letak jawatan dan watikah perlantikan Sultan itu masih berkuat kuasa. Tidak ada usul tidak percaya dihadapkan terhadapnya. Kes mahkamah masih berjalan, maka selagi itu beliau masih sah sebagai MB kecuali diputuskan oleh mahkamah.

Nizar seolah-olah dipecat oleh Sultan. Persoalannya, adakah Sultan ada kuasa memecat MB?

Atas pertimbangan semua ini, maka adalah wajar Dewan Undangan Negeri dibubar dan diadakan pilihan raya yang baru bagi mendapatkan mandat rakyat semula. Sekiranya Umno-BN menang dengan majoriti yang lebih maka mereka boleh memerintah dengan selesa.

Sekiranya Pakatan memperolehi kelebihan majoriti yang selesa, mudah juga bagi mereka memerintah. Sudah tentu rakyat Perak juga mahukan kaedah ini, iaitu supaya suara mereka menjadi penentu dalam menentukan kerajaan mengikut lunas-lunas demokrasi.

Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, Sultan hanya sebagai lambang dan ketua. Kerajaan dipilih oleh rakyat kerana suara rakyat adalah suara keramat. Kemelut ini seharusnya dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan. Kenapa mesti takut berdepan dengan rakyat? _