Pages

Saturday, March 7, 2009

Himpunan bantah dasar bahasa Inggeris tukar ganas, 124 ditahan

Jika anda ingin mencuba Kopi Radix Mai Secawan serta 190 Produk yang lain.*Mengapa umat islam mengisi rumah dengan Produk Yang subhah yang di buat YAHUDI..Non Muslim hampir 97% - colgate, lux, milo, axion, nescafe ....

Sila guna ID PAS Kawasan Marang (Parlimen Presiden PAS).

No Keahlian: 334166.MY01 ( PAS KAWASAN MARANG )





TINDAKAN POLIS... Pihak berkuasa keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang menyertai perarakan menuju Istana Negara petang tadi.
SURAI... Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.
BANTAH... Penyokong-penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan di ibu negara bagi membantah dasar bahasa Inggeris untuk mengajar subjek Sains dan Matematik di ibu negara hari ini.
BANTAH... SEBAHAGIAN daripada mereka yang menyertai Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.

[DIKEMAS KINI, 5.30 PETANG] PETALING JAYA: Perhimpunan 100,000 Rakyat petang ini - dianjurkan bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), bertukar ganas dengan beratus-ratus penyokongnya merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara.


Bagaimanapun perarakan itu berjaya disuraikan sebelum mereka tiba di kawasan Istana Negara.


Insiden itu juga menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara.


Kira-kira 124 orang ditahan berhubung perarakan haram itu.


Pihak polis telah memulakan sekatan di 16 lokasi di sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.


Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis bermula di Masjid Negara, yang jauhnya kira-kira satu kilometer pada pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.


Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).


Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.


Bagaimanapun mereka ditahan di laluan pertemuan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.


Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.


Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang sebelum ini hanya membenarkan tujuh wakil GMP ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.


Pun begitu, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke Istana Negara.


Difahamkan beliau memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian.


Memorandum pihaknya diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.


Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.


Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.


Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.


Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.



KOMEN KETUA POLIS NEGARA


Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pada awalnya kumpulan tersebut yang diketuai Datuk Hassan Ahamd, A. Samad dan Dr. Shaharil MD Zain telah bersetuju bahawa mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan ataupun demonstrasi.


"Mereka telah bersetuju akan menghantar wakil ke Istana Negara selepas sembahyang Zohor tetapi apabila parti-parti politik seperti PAS dan PKR terlibat bersama, ia berubah menjadi perarakan haram.


"Kami tiada pilihan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang mengingkari amaran polis," katanya.


BERITA TERDAHULU


Sekatan polis kawal perhimpunan bantah PPSMI di KL


[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang sejak awal pagi ini bagi mengawal keadaan menjelang Perhimpunan 100,000 Rakyat, dianjur bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI), di ibu negara petang ini.


Perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Masjid Negara dan disusuli dengan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.


Perhimpunan besar-besaran ini dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).


Beberapa laluan utama ke ibu negara terlibat dalam sekatan kali ini.


Bagaimanapun tinjauan mStar Online pagi ini mendapati belum ada kesesakan teruk di ibu negara.


Sekumpulan peserta sudah mula berhimpun di kawasan Masjid Negara.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, sebanyak 16 sekatan diadakan di ibu negara bagi mengawal keadaan.


Setakat pagi ini, kata beliau, keadaan adalah terkawal.


"Oleh kerana Masjid Negara merupakan tempat beribadat, penyokong perhimpunan dibenarkan berkumpul tetapi tidak dibenarkan mengadakan perarakan (ke Istana Negara)," katanya.


Jelas beliau, permit tidak dibenarkan untuk berhimpun dan mengadakan perarakan.


BERITA TERDAHULU


Semalam Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pihaknya telah mendapatkan permit daripada pihak polis kelmarin bagi mengadakan perhimpunan tersebut.


"Pihak polis hanya membenarkan tujuh orang daripada ahli jawantkuasa GMP untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.


"Saya sendiri akan mengetuai rombongan ini dengan menaiki kereta," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir gabungan itu di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini.


Selain Hassan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr Shahrir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Timbalan Pegerusi GMP, Dr Shahril Mohd Zain dan Setiausaha GMP, Hasni Abas akan diiringi polis ke istana pada pukul 2 petang.


Bagaimanapun Hassan berkata, polis tidak membenarkan sebarang usaha untuk melakukan perarakan ke Istana Negara.


Jelasnya, pihak polis tidak membenarkan sebarang perarakan bagi menjaga keselamatan kerana perhimpunan esok dijangka melibatkan puluhan ribu orang.


"Kami telah memberitahu polis ini bukan tunjuk perasaan atau demonstrasi, ini juga bukan gerakan menentang kerajaan atau mana-mana pihak. Kami hanya mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.


"Sejak dari awal lagi kami telah menjelaskan pendirian kami bahawa gerakan ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik dan kami juga tidak akan membenarkan sesiapa mengeksploitasinya," katanya.


Beliau menyifatkan penyertaan ahli-ahli daripada parti politik tertentu yang menyertai perhimpunan itu sebagai hak mereka sebagai rakyat Malaysia.


"Kami tidak dapat melarang mereka untuk membantah PPSMI," ujarnya.


Menurut Hassan, pihaknya akan cuba berunding dengan polis sekali lagi bagi membenarkan lebih ramai penyokong bersama-sama ke Istana bagi tujuan tersebut.


"Kalau tidak boleh, apa boleh buat... polis bukannya keras sangat. Mereka masih boleh diajak berunding," katanya.


Ditanya apakah kandungan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahmad berkata, terdapat dua perkara yang dikemukakan, pertama meminta PPSMI kembali diajar dalam bahasa ibunda masing-masing dan kedua meminta pihak kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.


Sebanyak 135 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut serta dalam perhimpunan itu termasuklah Yayasan Tamil Kebangsaan dan Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong).


"Kami juga akan mendapat bantuan keselamatan daripada unit amal PAS semasa perhimpunan dijalankan," katanya.