Pages

Monday, June 8, 2009

Kemelut Perak bertukar hujan emas

Apa yang sedang berlaku di Perak amat baik sekali. Kelam-kabut dan kacau-bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak sekali imbas tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Tanggapan sebegini satu pandangan yang salah.

Apa yang berlaku di Perak ini adalah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.

Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki atau institut beraja. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai.

Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai. Tiba-tiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman.

Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihatkan sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan di kalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.

Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri.

Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul.

"Raja adil raja di sembah, raja zalim raja disanggah" benar-benar menjadi realiti yang hidup di Perak.

Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak.

Hasil daripada krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan menteri besar, peranan tuan Speaker DUN dan had-had yang diwujudkan melalui perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini.

Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada di dalam genggaman mereka.

Najib Razak berniat merancang "rampasan kuasa" di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdullah Ahmad Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa kepadanya ingin dijadikan sebagai tiupan sangkakala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat.

Tiupan sangkakala Najib ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 Mac 2008. Harapan Najib ini jelas telah ranap.

Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah, lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.

Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Inilah tanda-tanda politik sihat apabila elemen-elemen demokrat dalam Barisan Nasional telah mula bersuara.

Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak-tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak.

Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak-tanduk yang telah diambil oleh Najib. Inilah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sihat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation - walaupun kecil.

Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.

Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan di antara parti PAS, PKR dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan.

Perak adalah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengetepikan agenda sampingan dan menerkam agenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.

Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti kecinaan telah diterima oleh orang Melayu. PAS yang selama ini dimomokkan dengan hukum hududnya telah menerobos masuk ke dalam kawah Cina.

Inilah perkembangan yang amat menakutkan United Malays National Organisation.

Dua buah parti ini - sebelum ini - selalu digunakan sebagai senjata ampuh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai, untuk saling menumbuhkan kecurigaan sesama sendiri.

Di Perak, orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak, orang Cina tidak lagi takut untuk menerima PAS. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.

Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Mohammad Nizar Jamaluddin dan V Sivakumar.

Kalau di permulaan era Reformasi dahulu, yang muncul hanya Anwar Ibrahim - masih lagi dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan warga bukan Melayu bahawa reformasi adalah agenda untuk semua.

Berbanding dengan krisis Perak, secara sepontan Nizar dan Sivakumar telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar.

Perkembangan ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.

Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya daripada apa yang berlaku pada 1998. Pada malam 20 September, Anwar ditangkap di rumahnya. Episod penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi.

Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Mohamad.

Di Perak, episod ini berulang lagi. Pada 7 Mei lalu, sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi tuan Speaker dan dikurung agar kuasanya dapat dirampas.

Kini sekali lagi, satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang diwakili oleh Najib Razak.

Sama ada DUN dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara.

Aktivis dan angkatan muda Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.

Ombak Perak ini wajib terus berdesir sehingga menjadi gelora membadai. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan dibakar.

Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum diadakan nanti. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini, lebih subur politik Malaysia.