Saturday, July 18, 2009

Laman Nurani : PRK Manek Urai

Selepas keputusan diumumkan, banyak pihak membuat pelbagai rumusan dan analisa berkaitannya. Tidak kurang juga yang memuji Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Katanya populariti beliau meningkat kepada 65% selepas PRK Manek Urai. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin pula berkata anak-anak muda sudah mula mendekati UBN dan memberi undi kepada UBN.

Sementara itu, ada yang berkata PAS telah retak, kepercayaan orang terhadap PAS sudah mulai berkurangan. Konflik-konflik yang melanda dalaman PAS menyebabkan populariti hilang. Apapun, dalam pengamalan demokrasi, yang menang tetap menang, dan yang kalah tetap kalah biarpun dengan satu undi.

Bagi saya, sifirnya amat mudah. PAS telah memperoleh sebanyak 5,348 undi manakala BN memeperoleh sebanyak 5,283 undi. majoriti kemenangan PAS adalah 65 undi sahaja. Bagi saya, 65 undi inilah menunjukkan kekuatan PAS yang sebenarnya di Manek Urai setelah diasak begitu hebat dengan wang dan sebagainya.

Berbalik kepada angka-angka tadi. masihkah kita ingat Arwah Pak Su Mail dalam pilihanraya umum 2008, beliau memeperoleh majoriti 1,352 undi dengan undi diperoleh 5,746. Manakala Zulkifli Omar memeproleh 4,394 undi. Oleh itu, cuba kita kira angka-angka ini. Berbanding PRU 2008, PAS kekurangan 398 undi manakala BN undi bertambah sebanyak 889 undi. Apa yang ajaibnya di sini. Jika 398+889 akan keluar jumlah 1,287 undi. Dan jika ditambah dengan 65 undi majoriti PAS menang dalam PRK ini, ia akan menghsailkan 1,352. Jumlah ini sama dengan jumlah yang diperolehi oleh Arwah Pok Su mail dalam PRU 2008.

Oleh yang demikian, PAS masih bertahan dengan 65 undi inilah. Bagi saya, Manek Urai ialah kubu Arwah Pok Su Mail, bukan kubu PAS seperti yang didakwa. Sebanyak 1,287 pengundi yang mengundi arwah dahulu adalah pengundi atas pagar yang segan dan menghormati arwah. Nak tak nak, undi juga arwah pada masa itu. Nah, sekarang dalam PRK, bukan Pak Su Mail yang tanding, bukan Zuki yang tanding. Kedua-dua parti meletakkan calon yang 'fresh'. Maka terserlahlah siapa sokong siapa.

Selain itu, apa yang saya nak katakan di sini ialah faktor penduduk manek urai yang rata-rata adalah peneroka Kesedar dan Felda yang sentiasa dikongkong oleh kerajaan pusat. Ini kerana kedua-dua agensi ini adalah dibawah kerajaan UBN. Kehidupan mereka adalah kebergantungan kepada ehsan Kesedar dan Felda. Hanya sedikit peratusan sahaja yang bekerja sendiri, menoreh getah yang tidak terikat dengan agensi ini.

Bagi pengundi luar pula, sebanyak hampir 10% penduduk Manek Urai berada di luar Dun. Pendapatan mereka rata-rata antara RM650 - RM1,500 sebulan. Mana tidak gelap mata jika pengundi-pengundi luar ini dibayar antara RM300 hingga RM1000 untuk pulang semata-mata mengundi BN. Itu dah dikira gaji sebulan. Banyak laman blog menceritakan hal membeli undi ini yang berlaku berleluasa semasa kempen dan shingga ke hari mengundi di Manek Urai. Sehinggakan telah memaksa PAS Kawasan Kuala Krai membuat laporan polis kes sogokan wang ini.

Disamping itu juga, apa yang paling hebat ialah janji seorang Timbalan Perdana Menteri untuk membina jambatan baru bernilai 7 juta. Masakan orang Manek Urai tak percaya, yang datang berjanji ialah seorang Timbalan Perdana Menteri, takkan pemimpin negara ini hendak menipu kita.

Maka, kita dapati seperti apa yang kita semua maklum. Serangan hebat dan diasak teruk dari segenap segi ini, hanya 65 undi mempertahankan Manek Urai. Inilah yang mampu meneruskan legasi PAS pada masa-masa akan datang di Manek Urai.

Kepada Abe Uji, ADUN Manek Urai, saudara memang hebat. Hanya seperkara yang saya hendak sampaikan kepada semua jentera parti PAS di Manek Urai. Manek Urai kubu Arwah Pok Su Mail, bukan kubu PAS. Oleh itu, mulai sekarang perhebatkan program-program tarbiyah kepada ahli-ahli PAS dan kepada seluruh penduduk supaya kita betul-betul bersedia menghadapi PRU ke-13 nanti. Sebab dengan 65 undi yang kita perolehi, UBN tidak akan duduk diam. Jikalau dilaburkan tiap-tiap seorang RM1,000, maka jumlahnya baru RM65,000. Ingatlah.

Hanya dengan tarbiyyah yang mantap mampu menangkis pemikiran duniawi. Bukan kata kita tidak perlu buat agenda pembangunan dan pembaharuan, tetapi ingat pesan Tok Guru, MEMBANGUN BERSAMA ISLAM.