Tuesday, July 14, 2009

MANEK URAI: PERKEMBANGAN PILIHAN RAYA KECIL

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

BERIKUT adalah perkembangan hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai:

5.50 petang: Sehingga pusat pengundian ditutup, sebanyak 10,736 pengundi (87.3 peratus) keluar mengundi.

5 petang: Kesemua pusat mengundi ditutup. Proses pengiraan undi akan bermula bila-bila masa.

4.25 petang: Setakat pukul 4 petang, sebanyak 86.4 peratus telah keluar mengundi sekaligus melebihi sasaran 85 peratus yang ditetapkan SPR.

3.40 petang: Setakat pukul 3 petang, seramai 10,312 pengundi (83.8 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka. SPR turut mengesahkan belum ada pusat pengundian yang ditutup dan ia hanya akan ditutup pada pukul 5 petang.

3.10 petang: Setakat pukul 2 petang, seramai 9,845 pengundi (80 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka.

2.15 petang: Beberapa pemerhati daripada MAFREL turut hadir di setiap peti undi bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil Manek Urai.

2 petang: Tinjauan ke pusat mengundi di SK Sungai Peria mendapati keadaan agak lengang disebabkan pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka sejak awal pagi. Kesesakan lalulintas yang agak teruk berlaku di Kampung Peria menuju ke Manek Urai baru. Bagaimanapun, pihak polis dapat mengawal lalulintas.

1.50 tengah hari: SPR mengesahkan 9,359 pengundi (76.2 peratus) keluar mengundi setakat pukul 1 tengah hari.

12.00 tengah hari: SPR mengesahkan, 8,475 pengundi (68.4 peratus) telah menunaikan tanggungjawab masing-masing

12.00 tengah hari: Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed melawat pondok panas BN di Sek. Keb. Manek Urai Baru dengan menaiki motosikal.

11.45 pagi: Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menggesa orang luar tidak menggunakan Jalan Kuala Krai-Gua Musang jika tiada urusan penting untuk diselesaikan bagi membolehkan kelancaran lalu lintas sepanjang proses pengundian yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat khabar angin bahawa berlaku pertengkaran di bilik operasi Barisan Nasional. Belum ada laporan lagi.

11.35 pagi: MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat pondok panas PAS di Sek. Kebangsaan Manek Urai Baru.

11.30 pagi: Hampir 57 peratus sudah keluar mengundi.

11.05 pagi: Peratusan keluar mengundi sudah mencecah 40 peratus, kata Pengerusi SPR.

10 pagi: SPR mengesahkan peratusan keluar mengundi setakat ini 4,706 orang (38.3 peratus).

9.55 pagi: Berlaku pertembungan antara penyokong dan peraih undi BN dan PAS di kawasan SK Manek Urai Baru. Bagaimanapun, keadaan terkawal apabila pihak polis hadir mententeramkan keadaan. Penyokong kedua-dua parti menggunakan pelbagai cara untuk menarik perhatian pengundi termasuk melaungkan takbir 'Allahuakbar'. Turut hadir melawat peti undi tersebut adalah Datuk Sr Awang Adek Hussein.

9.30 pagi: Setakat pukul 9 pagi, SPR mengesahkan sebanyak 1,932 pengundi (15.7 peratus) telah keluar mengundi.

9 pagi: Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat berkata, beliau yakin BN berpeluang untuk menang. Beliau berkata: "Berdasarkan statistik semalam menunjukkan kita telah mendapat hampir 51 peratus sokongan. Daripada awal lagi, kita sedia maklum bahawa dalam pilihan raya kecil ini, saingan memang sengit dan sebagai calon yang bertanding di kubu kuat PAS, kita telah berusaha bersungguh-sungguh."

9 pagi: Penyokong dan peraih undi parti-parti yang bertanding berkumpul dan memberi sokongan kepada calon di pusat-pusat mengundi. Bagaimanapun, mereka perlu berada 50 meter daripada pusat mengundi.

8.40 pagi: Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tiba untuk melawat pusat mengundi SK Manek Urai Baru.

8.10 pagi: Calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah dijangka melawat peti undi Sg Peria.

8.01 pagi: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba di pusat pengundi kawasan Sg Peria, SK Peria. Beliau tidak mahu meramalkan tetapi punya keyakinan PAS akan beroleh kemenangan.

8 pagi: Sebanyak sembilan pusat mengundi mula dibuka.

7.45 pagi: Orang ramai sudah mula beratur untuk menyemak saluran mengundi masing-masing. Pihak polis mengawal lalu lintas seawal pukul 6 pagi.