Pages

Thursday, July 2, 2009

NIZAR ZAMBRY : WIBAWA 6 HAKIM DISANGSI

Seramai enam daripada sebelas Hakim Mahkamah Persekutuan dikenalpasti membelakangkan peruntukan perundangan dan Perlembagaan dalam membuat keputusan pada beberapa perbicaraan termasuk yang membabitkan kemelut politik Perak, bekas Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan mendedahkan.

Enam hakim berkenaan masih berkhidmat walaupun mereka telah mencabuli Kod Etika Hakim 1994 dan boleh dipecat kerana gagal melaksanakan tanggungjawab secara berwibawa dan amanah.

Chan enggan menamakan hakim-hakim berkenaan secara terbuka tetapi mendedahkan bahawa sikap berat sebelah "kumpulan enam" itu terserlah setelah tercetusnya krisis perlembagaan di Perak.

Kes-kes bersabit kemelut diPerak menonjolkan kecenderungan enam Hakim Mahkamah Persekutuan itu untuk mengambil keputusan yang berpihak kepada Barisan Nasional walaupun penghakiman mereka jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Sejak berlakunya krisis politik Perak terdapat beberapa keputusan mahkamah yang tidak adil. Sekiranya krisis ini tidak berlaku kita tidak mungkin dapat membezakan "permata dengan batu" di kalangan hakim-hakim kita," kata Chan.

"Setakat ini saya telah mengenalpasti enam hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka berpandukan undang-undang. Saya boleh tambah jumlah ini dengan kalangan hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi," kata Chan yang dihormati kerana keberaniannya menegakkan keadilan semasa dalam perkhidmatan.

Artikel 125(3A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kod etika hendaklah dipatuhi oleh setiap hakim sama ada daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.

Seksyen 2(2) Kod Etika Hakim menyatakan hakim yang melanggari mana-mana peruntukan dalam kod tersebut boleh dipecat daripada jawatannya.

Menurut Chan, antara keputusan Mahkamah Persekutuan yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara ialah penghakiman April lalu bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco BN daripada menghadiri sidang DUN.

Keputusan kontrovesial itu diambil oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff. Beliau bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Seri S. Augustine Paul serta Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Hakim Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, mendakwa kononnya Perlembagaan Perak tidak memperuntukan hukuman penggantungan dari DUN untuk kesalahan menghina dewan.

Chan berkata kelima-lima hakim dalam perbicaraan itu telah membelakangkan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa, "keabsahan sebarang prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah".

"Hakim-hakim ini membuat undang-undang sendiri dan tidak memperdulikan Perlembagaan Negara yang bahasanya sangat jelas, terang dan rata-rata difahami oleh rakyat Malaysia," tambah Chan. -TVA