Pages

Sunday, December 13, 2009

Bila Pula PR Hendak Adakan Anugerah Untuk Wartawan?

MALAM tadi telah berlangsung majlis penyampaian anugerah Malam Penghargaan Media Massa Umno 2009 anjuran Umno. Nampaknya Umno mendahului parti-parti politik lain dalam melayan, meraikan dan memberi penghargaan kepada para wartawan dan petugas media massa negara ini.

Kalau langkah Umno itu sebagai mewakili BN, bermakna BN menyedari akan hakikat ini dan BN telah mendahului Pakatan Rakyat (BN) dalam bermesra dan bermanja dengan para wartawan.

Malam tadi berbagai hadiah dan anugerah telah disampaikan kepada para pemenang. Semuanya dari media massa yang menjadi penjilat buntut kerajaan UBN. Jelas anugerah itu hanya untuk kalangan yang menyokong UBN saja. Maka wartawan yang mengkritik, memberi pandangan menentang parti berkenaan bukan saja tulisan mereka tidak berpeluang dinilai, diundang pun tidak.

Jangan persoalkan kebebasan dalam hal ini. Kebebasan hanya retorik dan boleh dicakap saja tetapi sulit untuk mengamalkannya. Untuk melaksanakan kebebasan penuh profesional sesuatu yang bukan mudah malahan mungkin tidak akan berlaku sampai khiamat. Hal ini tidak terkecuali kepada parti memerintah saja, parti pembangkan juga dua kali lima saja.

Sebelum ini parti pembangkang – Pakatan Rakyat ada juga mengadakan majlis meraikan wartawan, tetapi tidaklah sampai memberi penghargaan dalam bentuk material ribu-ribu ringgit. Tetapi sekadar meraikan dalam majlis makan-makan atau majlis berbuka puasa.

Wartawan dan penulis diundang dan datang ramai-ramai untuk makan. Sambil makan mereka dihidangkan dengan pidato pengukuhan politik oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Setakat itu saja.

Betul.. wartawan tidak mengharapkan apa-apa imbuhan. Mereka bertugas bertolak dari rasa keimanan kepada Allah dan tanggungjawab sosial mereka kepada negara yang berdasarkan bakat dan minat mereka. Tetapi sebagai manusia apa salahnya kalau kerja (profesyen) mereka dinilai dan diberikan pengikhtirafan dan dihargai.

Kini Pakatan Rakyat sudah ada empat kerajaan; Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Apalah salahnya kalau keempat buah negeri ini bersatu tenaga untuk mengadakan majlis grand untuk meraikan wartawan dan petugas media yang pro pembangkang. Kalau tidak setiap tahun, boleh buat tiap dua tahun sekali.

Dalam majlis itu boleh disampaikan penghargaan dan sedikit habuah berupa wang ringgit kepada wartawan yang berkualiti dan memberi sumbangan besar kepada perjuangan PR. Kalau nilainya tidak semahal kereta Kancil tetapi cukup kalau nilainya untuk membolehkan wartawan memiliki laptop baru ataupun membeli peralatan penulisan seperti kemera digital kecil.

Mereka yang pro PR bukan kecil-kecil anak. Pengorbanan dan tanggungjawab mereka lakukan cukup besar. Adakalanya gara-gara pendedahan untuk membantu PR menyebabkan diri mereka terbakar, di saman dan dihadap ke mahkamah. Dicemuh dan dimaki usah dikiralah itu sudah asam garam. Kadang kadang sesama sendiri pun dicaci dan dimaki dan dituduh dengan pelbagai gelaran dan peranan.

Apakah penulis seperti ini tidak boleh diberikan anugerah sebagai mengenang jasa-jasanya? Mungkin anugerah itu tidak memberi erti besar kepada mereka tetapi setidak-tidaknya ia menandakan kerajaan Pakatan Rakyat juga mengenang kaum wartawan dan penulis.

Kalau tidak silap saya semasa meledaknya era refomasi dulu pernah diadakan sebuah jawatan kuasa untuk mengenal pasti para penulis dan wartawan yang beperanan membantu menggerak reformasi. Jawatankuasa itu bercadang untuk mengenal pasti dan memberi pengikhtirafan kepada para penulis reformasi khasnya mengenai penerbitan buku politik, kartun dan sebagainya.

Malangnya cadangan itu berakhir tanpa kubur. Hangat diawal saja. Seharusnya idea itu dikembangkan kepada pihak kerajaan Pakatan Rakyat kini. Atau pihak kerajaan dalam bidang bersangkutan mengambil alih tugas menjayakan idea berkenaan.

Sesuai dengan hari ini dimana berlaku ledakan blog politik dan perjuangan, maka wajar kalau para penulis blog dan pengusaha blog dan portal juga turut sama dinilai dan diberikan penghormatan. Penghormatan ini tentulah akan merangsangkan lagi para bloger untuk menulis dengan lebih bertanggungjawab, rajin dan competant.

Sekali lagi dikatakan, saya mengira penulis dan wartawan pro Pakatan Rakyat memahami akan masalah kewangan dan prasarana kerajaan-kerjaan negeri PR dalam mengadakan majlis ini. Justeru itu mereka tidak begitu mengharap. Tetapi kepada pihak kerajaan dan pemimpin tertentu harus mengambil inisiatif untuk mewujudkan majlis anugerah itu, kalau pun bukan untuk digahkan tetapi sekurang-kurangnya bagi menunjukkan Pakatan Rakyat juga mempunyai komitment yang sama dengan kerajaan UBN khususnya Umno itu. [wm.kl.9:50 am 13/12/09]