Pages

Sunday, December 13, 2009

Cerita menteri dan artis

Zukri Aksah

Seorang sahabat saya yang merupakan penggiat Umno di sini menghantar satu sms kepada saya beberapa hari yang lalu, “Bang, dalam surat khabar Keadilan ada menteri kanan beli kereta RM1.5 juta bagi pada artis. Menteri dan artis mana bang?” Saya cuma jawab tidak tahu dan perlu bertanya dahulu dengan rakan-rakan dalam PKR, setahu saya dahulu ada isu Hishamuddin Tun Hussein memiliki Hummer yang berharga RM1 juta. Sahabat saya ini membalas jawapan saya, “Hummer tak pa. Ini beli kereta mewah bagi artis, artis lelaki pula tu. Kena masuk court ni, bawa dengan kereta-kereta sekali, hehehe!”

Bukan saya mahu membongkar isu menteri-artis ini, tetapi minat saya lebih kepada penelitian saya terhadap kecenderungan masyarakat terbanyak seperti sahabat saya ini bila berbicara soal politik atau soal artis. Ini juga adalah lanjutan pengalaman saya sewaktu aktif berblog dahulu. Seingat saya ketika itu, tulisan yang paling menghasilkan banyak komen ialah tentang kematian Noritta Shamsuddin yang penuh kontroversi itu.

Nyata, sama ada pengikut politik, atau pengikut dunia hiburan tanahair, mereka mempunyai citarasa yang serupa. Mereka sukakan sensasi, mereka sukakan cerita-cerita panas, yang meletup-letup!

Sewaktu saya masih aktif dalam PKR dahulu, saya mempunyai dua orang sahabat peneman minum petang yang agak unik, seorang usahawan merangkap aktivis Umno yang mengghantar sms kepada saya itu, seorang lagi pegawai polis yang bertugas di IPK Pahang. Sahabat saya ini selama kami berkawan tidak pernah pula menghantar sms bertanya apa 17 dasar PKR itu, atau selepas saya menyertai PAS bertanya apa pendirian PAS tentang hak keistimewaan Melayu?

Yang ditanya? Macam itulah, cerita skandal, cerita hubungan sulit dan seumpamanya.

Cerita artis begitu juga. Jarang saya mendengar orang heboh bercakap soal artis ini, artis itu sampai heboh satu kedai kopi kerana kehebatan lakonannya atau kemerduan nyanyiannya. Orang bercakap tentang Jamal Abdillah kerana isu dadahnya. Orang ramai bercakap pasal Umie Aida bila dia mengambil keputusan mahu berkahwin dengan seorang tokoh korporat berstatus Datuk dari utara, bukan hendak mendoakan kesejahteraan perkahwinan tersebut, sebaliknya lebih berminat meneliti dagu Umie, botox ke tu?

Saya secara peribadi bila mengingati Umie Aida, akan mengingati lakonannya yang begitu mengesankan dalam drama Surah Terakhir, atau dalam drama Salina adaptasi novel SN A. Samad Said.

Saya menulis ini kerana mahu sedikit menyedarkan bahawa mentaliti masyarakat kita sedang terperangkap dengan perkara-perkara yang tidak serius, picisan dan remeh-temeh. Jangan kata sahabat saya si aktivis Umno itu sahaja, kalangan penyokong Pakatan Rakyat pun begitu juga. Kalau dia tidak pernah mengambil tahu tentang dasar dan matlamat perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, apakah kita mengambil tahu, membaca dan menghadzami konsep 1Malaysia tajaan Najib? Jangan pula tuduh saya cuba menjadi petualang di kalangan Pakatan Rakyat dengan mempromosi doktrin Najib, Ahmad Deedat, pendebat Islam terulung abad ini adalah hafiz Bible (sudah tentu beliau juga hafiz Quran).

Katanya sepuluh tahun akan datang negara kita bakal bertaraf negara maju, sekarang pun negara kita adalah negara membangun. Betullah kata orang mentaliti rakyat kita masih di tahap dunia ketiga. Di sini bila hadirnya pilihanraya, isu yang seringkali boleh menaik dan menjatuhkan seseorang calon adalah isu perempuan simpanan, isu isteri muda isteri tua, bukan tentang dasar dan prinsip yang dibawa bersama calon tersebut. Semuanya sensasi, sensasi dan sensasi, jadilah pentas ceramah sebagai tabloid murahan yang punya suara. Padahal di luar negara sana, orang menukar kerajaan dalam pilihanraya kerana perbandingan dasar cukai, dasar luar, kadang-kadang polisi kesihatan yang hendak diperkenal pun memberi kesan besar dalam pengundian.

Lalu saya baru terfikir, patutpun selama ini payah benar seruan perubahan mahu disambut oleh rakyat Malaysia. Perubahan bukan skandal, perubahan adalah idea, dan idea bukan rencah yang sedap untuk menghasilkan sebuah gosip.

Sama ada kita tidak sedar, atau kita pura-pura tidak sedar, atau kita sengaja mengabaikannya, selama ini kita berkhutbah tentang idea, gagasan, dasar dan perjuangan perubahan kepada kelompok masyarakat yang sedang ralit menelaah majalah Mangga!

Dalam cerita perubahan tiada kisah bela anak ikan mahupun bela perempuan. Yang ada cuma kisah bela akidah perjuangan, supaya tidak tersesat dek pengaruh wang dan kekuasaan. Soalnya, kita yang saban hari berteriak “perubahan… perubahan…” ini pula ada apa? Ada apa di ketika kisah “bela” yang satu ini pastinya tidak akan mendapat kelulusan untuk tersiar di Mangga, apalagilah untuk akhbar-akhbar perdana seperti Utusan Makaysia dan Berita Harian, jauh panggang dari api.

Macam mana mahu menjadikan perubahan sepanas skandal? Yang kita ada cuma pemikiran…