Pakatan Rakyat yang memperkenalkan dasar perjuangannya dalam konvensyen sulungnya di Shah Alam hari ini akan menubuhkan satu
jawatankuasa untuk menyediakan mekanisme pelaksanaan dasar-dasar yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti yang menyertainya - PKR DAP dan PAS.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mekanisme itu akan dirangka bagi melaksanakan dasar Pakatan Rakyat menerusi proses demokrasi seperti mengukuhkan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.
Salah satu dasar Pakatan Rakyat ialah mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.
Beliau yang juga ketua umum PKR, menafikan ketiga-tiga parti itu tidak komited untuk menganjurkan pilihan raya tempatan jika mereka memerintah kerana perkataan 'pilihan raya tempatan itu' tidak dimasukkan ke dalam dasar Pakatan Rakyat tetapi digantikan dengan perkataan 'mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan'.
"Di antara tiga parti tidak timbul kenyataan kita menentang demokrasi, tidak timbul menentang proses pilihan raya. Yang timbul cara dan kaedah untuk melaksanakan cadangan ini dan sebelum kaedah ini diputuskan kita jangan terburu-buru mengumumkan proses pilihan raya itu," katanya dalam satu sidang media selepas berakhirnya konvensyen sehari itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan bahawa sebelum ini ada parti dari Pakatan Rakyat yang berjanji mahu melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam kempen pilihan raya mereka pada pilihan raya umum lepas.
Ditanya sama ada Dasar Pakatan Rakyat yang dilancarkan membayangkan mereka akan bertanding pada pilihan raya akan datang sebagai satu barisan yang bersatu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata mereka telah bersetuju dengan dasar itu dan ia akan menjadi panduan mereka.
Dalam dasar yang dibentangkan pada hari ini, Pakatan Rakyat menolak politik perkauman yang sempit dan akan memperkenalkan Akta Hubungan Kaum, membenarkan had umur mengundi minima pada 18 tahun, mencadangkan skim pencen untuk pekerja swasta dan menubuhkan Dana Penamatan Kerja.
Pakatan Rakyat juga akan membangunkan ekonomi berprestasi tinggi yang mendukung cukai yang progresif dan menolak semua cukai yang mungkin membebankan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merasa seperti berada di dalam dunia baru ekoran kerjasama PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
"Saya rasa berada dalam dunia baru, sesuai dengan pengajian dan akidah saya," katanya dalam ucapan rumusan pada Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sebelum ini PAS pernah bersama Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian dikhianati oleh Umno.
Mursyidul Am PAS itu juga berkata beliau merasa jijik dengan Umno apatah lagi selepas Perak yang sebelum ini di bawah Pakatan Rakyat diambil kembali oleh BN.
Bagaimanapun, beliau berkata mudah-mudahan tidak ada karenah yang bakal dihadapi PAS semasa bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Karpal pula berkata parti itu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pemimpin Umum Pakatan Rakyat.
Ekoran itu, katanya beliau akan menggunakan segala pengalamannya selama 40 tahun dalam bidang guaman untuk membela dan memastikan Anwar tidak dipenjarakan ekoran tuduhan yang dihadapi di mahkamah sekarang.
Anwar kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi awal tahun depan. - Bernama