Pages

Saturday, May 22, 2010

Kelantan perkenal program 'pondok pelancongan'

2010/05/22
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan program perumahan bagi menempatkan penduduk tempatan atau dari luar negeri yang berkonsepkan "pondok pelancongan", kata Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, program baru itu berbeza dengan inap desa kerana penghuni boleh membeli dan mendiaminya dengan harga berpatutan untuk menuntut ilmu agama sebagai pemastautin tetap di situ sehingga ke akhir hayat.
Bagaimanapun, peserta tidak boleh menjadikan harta yang dimiliki dan dibeli itu sebagai pusaka apabila meninggal dunia.
"Rangka pelan pembangunan projek itu sedang diperincikan sebelum dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan perayaan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Balai Islam, Lundang.

Nik Aziz berkata, tanah bagi tapak pembinaan projek itu sudahpun dikenal pasti di Kampung Kandis, Bachok, tetapi keluasan dan kos pembinaan sedang diperincikan.

Selain itu, beliau juga bercadang memasukkan Pasti dalam kalendar lawatan ke Kelantan bagi membolehkan masyarakat dari luar negeri ini mempelajari kaedah pembelajaran dan pengajaran di pusat asuhan itu.

Nik Abdul Aziz turut meminta dermawan supaya menghulurkan sumbangan kepada Pasti bagi membantu pusat itu menjalankan aktivitinya. - Bernama