Pages

Thursday, June 30, 2011

PAS Selangor: Khalid kembali timbalan pesuruhjaya,

Oleh G Manimaran June 21, 2011
KUALA LUMPUR, 21 Jun — Barisan kepimpinan PAS Selangor mengalami perubahan sehingga 80 peratus, menyaksikan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kembali sebagai timbalan pesuruhjaya negeri.

Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam, pernah memegang jawatan itu selama setahun sehingga 2009.

Pesuruhjya PAS Selangor yang baru Dr Abdul Rani Osman mengekalkan Exco Kerajaan Negeri Iskandar Abdul Samad sebagai timbalan pesuruhjaya satu.

Solehin Muhyi dilantik timbalan pesuruhjaya kedua manakala Khalid pula timbalan yang ketiga.

Iskandar pernah dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya PAS oleh kepimpinan sebelum yang diterajui Datuk Dr Hasan Ali.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri, dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa lantikan.

Beliau menjadi pesuruhjaya PAS negeri selama empat penggal lapan tahun dan digugurkan awal minggu lalu.

“Kecuali YB Iskandar dan seorang lagi, kesemua hampir 80 peratus adalah muka baru dalam barisan kepimpinan perhubungan negeri PAS,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Dr Rani yang minggu lalu memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan memastikan keseimbangan kepimpinan ulama dan profesional akan mengadakan satu sidang media di Shah Alam pagi ini untuk mengumumkan barisannya.

“Pengumuman akan dibuat pagi ini,” kata sumber itu.

Mohd Khairuddin Othman kekal sebagai setiausaha manakala Shaari Sungib dilantik ketua penerangan yang baru.