Saturday, June 18, 2011

Perubahan agak besar PAS Kelantan

KOTA BHARU, 18 Jun: Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.

Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim.

Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah.

Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas.

Selain itu Setiausaha Kerja Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal.

Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri.

”Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan.

”Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa,” ujarnya.

Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu.

Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan.