Kenyataan Media Pakatan Rakyat
Winston Churchill pernah berkata bahawa “sejarah ditulis oleh pihak
yang menang”. Di Malaysia, bukan sahaja sejarah malah berita semasa
juga ditulis mengikut skrip mereka yang berkuasa.
Beberapa hari kebelakangan ini, media milik BN telah menyerang
Timbalan Presiden PAS Hj Mat Sabu secara berterusan sebagai seorang
simpatisan komunis. Mereka telah memfitnahnya sebagai
mengagung-agungkan pengganas komunis yang menyerang polis di dalam
tragedi Bukit Kepong.
Kedua-dua dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Kami percaya
Saudara Mat Sabu tidak berkata demikian dan secara tegas mengutuk
putar-belit yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan dan media UMNO.
Pertama sekali, Mat Sabu tidak sekali-kali menyebut tentang komunis
ataupun PKM. Kedua, usahanya untuk menarik perhatian terhadap sejarah
sebenar yang luas telah diputarbelitkan.
Justeru kami menegaskan bahawa kami tidak mempersoalkan sebab mengapa
Mat Sabu cuba menimbulkan persoalan terhadap naratif sejarah negara.
Tetapi kami secara serius mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat
Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu
helah dengan niat yang jahat.
Kami juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh ‘pihak yang
menang’, yang dalam kes ini ditulis oleh Kerajaan UMNO-BN dan perkakas
propaganda mereka. Dalam hal ini, kami ingin memberikan kritikan tegas
terhadap usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk ‘memalsukan’
sejarah Malaysia, agar hanya sumbangan UMNO dan sekutu mereka yang
diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan
pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan.
Apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy,
Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?
Bagaimana dengan pertubuhan dan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda
(KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)? Mereka merupakan
peneraju sebenar aktivisme politik Melayu. Kita juga mempunyai
Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat
Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).
Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka,
malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara.
Harus diingat perjuangan kemerdekaan bukanlah usaha Perikatan
semata-mata. Perjuangan murni ini berlangsung di pelbagai medan dan
lapangan, dipimpin pelbagai tokoh dan menerusi pelbagai cara. Bukankah
pengorbanan tokoh-tokoh menentang penjajah seperti Tok Janggut, Abdul
Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi juga mesti disertakan?
Tetapi pemimpin UMNO tidak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah
yang ditulis UMNO ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk
berbeza pandangan.
Hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia menerusi tokoh-tokoh
seperti Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako dan lain-lain lagi, kita
akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan,
anti-kolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang
menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA
oleh Kerajaan Perikatan / BN setelah difitnah, antara lain, menjadi
talibarut komunis.
Buku-buku sejarah kita bukan sahaja kehilangan satu atau dua bab,
tetapi satu sejarah yang selari tetapi telah berjaya dipadamkan
daripada rekod rasmi negara.
Jelas sekali lagi bahawa UMNO mempunyai kepentingan untuk mengekalkan
versi sejarah mereka memandangkan ini menjadi asas kepada pemimpin
serta kekuasaan mereka, malah menutup tipuhelah mereka untuk menindas
pihak lawan setelah lima dekad berkuasa.
Sekali lagi kami menegaskan bahawa Mat Sabu tidak salah dalam usaha
mempersoalkan persepsi yang wujud tentang sejarah negara. Yang menjadi
kesalahan ialah hakikat bahawa rakyat Malaysia telah dimanipulasi
sekian lama oleh perkakas propaganda Kerajaan UMNO-BN.
Dr Dzulkefly Ahmad, PAS
Nik Nazmi Nik Ahmad, KEADILAN
Liew Chin Tong, DAP