Pages

Thursday, November 10, 2011

Pembantu Ku Li dakwa Umno juga pinggir Muhyiddin


KUALA LUMPUR, 9 Nov: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sedar yang dirinya juga sedang dipinggir Umno, kata Muhd Lukhman Ghani, pegawai khas kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga AJK Umno Petaling Jaya Utara berkata, status Muhyiddin mungkin berada di tangga ke lima dalam carta 'orang yang diberi prioriti' oleh Umno.

Perkara itu menurutnya boleh dilihat melalui program-program anjuran Umno serta liputan media arus perdana yang pro BN sendiri.

"Muhyiddin pun tak sedar dia dipinggir dalam Umno, mungkin dia duduk di nombor 5 atau 6," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai membidas jawapan Muhyiddin kononya Umno tidak pernah menyekat mana-mana suara ahlinya menyatakan pandangan seperti didakwa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai 'Ku Li'.

Lukhman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata, orang pertama yang diberi keutamaan oleh Umno adalah Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kedua pula adalah kepada Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais.

"Tempat ketiga diberikan kepada pengampu-pengampu Najib dan yang 'menyalak' kepada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) seperti Senator Ezam Mohd
Nor dan Zaid Mat Arip serta ahli parlimen bebas yang mengutuk pembangkang.

"Muhyiddin tak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi naib-naib presiden Umno.

"(Dalam Umno) Kalau mengampu kerajaan baru dapat ruang," katanya yang menyifatkan hanya 'ruang terpilih' yang ada dalam Umno.

Sambil menyifatkan Muhyidin tidak faham maksud Ku Li, Lukhman berkata ruang itu mula tertutup selepas penubuhan Umno baru, semasa era pimpinan bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah sekarang.

Ku Li semalam mendakwa beliau terpaksa menubuhkan Amanah kerana tidak lagi mempunyai ruang untuk bersuara dalam Umno.

Ianya termasuk ruang untuk bercakap sewaktu perhimpunan agung Umno diberikan syarat yang ketat termasuk perlu mendapat kelulusan pimpinan parti.

http://kelatedaily.blogspot.com/