Pages

Tuesday, November 22, 2011

Tahniah Harimau Muda, persahabatan terjalin baik

KUALA LUMPUR, 22 Nov: PAS mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak negara bawah 23 tahun yang mempertahankan pingat emas dalam perlawanan bola sepak Sukan Sea 2011 di Jakarta, malam tadi.
Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kejayaan itu mengulangi kejayaan-kejayaan lepas.
Menurutnya, mutu permainan, semangat berpasukan dan motivasi yang cukup membolehkan skuad Harimau Muda mendapat kemenangan.
“Kita berharap prestasi ini dapat dipertingkatkan di masa hadapan bagi melayakkan Malaysia menyertai perlawanan di peringkat lebih tinggi.
“Tahniah juga kepada pasukan negara jiran Indonesia yang mendapat tempat kedua (pingat perak) dengan harapan persahabatan kita akan terus terjalin baik di masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Pasukan kebangsaan menewaskan Indonesia 4-3 menerusi tendangan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa 120 minit pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 apabila Gunawan menanduk masuk pada minit kelima manakala Malaysia menyamakan kedudukan menerusi tandukan Asrarudin Putra setengah jam kemudian.
Sementara itu, bagi pihak warga Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak bawah 23 Malaysia, atau yang dikenali ramai sebagai "Harimau Muda", atas kejayaan mereka meraih pingat emas dalam kejohanan bola sepak Sukan SEA, semalam.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih Ong Kim Swee yang telah membimbing anak-anak buahnya dalam mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada tahun 2009 di bawah tunjuk ajar Datuk K Rajagopal. Ini juga kali pertama Malaysia telah mencapai kejayaan berturut-turut dalam sejarah Sukan SEA," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sememangnya, kata beliau pemain-pemain kebangsaan kita telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam mengatasi sepakan penalti yang cukup mendebarkan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Walau pun dihadapi dengan situasi yang sangat mencabar, pasukan Harimau Muda tetap berjaya mengatasi pasukan tuan rumah, menunjukkan bahawa rahsia kejayaan merupakan kegigihan dan ketekunan.

"Sekali lagi, ribuan tahniah saya ucapkan kepada Harimau Muda yang menjadi kebanggaan sekalian warga Pulau Pinang mahupun rakyat Malaysia," ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.