Pages

Sunday, December 11, 2011

Menteri diminta dedah hubungan dengan Papagomo

KUALA LUMPUR, 11 Dis: DAP mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, apakah keistimewaan dimiliki blogger Papagomo sehingga dibenar menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak.

Setiausaha publisitinya Tony Pua berkata, kehadiran penulis blog itu dalam kapal tersebut telah membuktikan Zahid hanya berbohong bahawa tiadak ada penulis blog yang dibenarkan menaiki kapal tersebut selain wartawan Bernama dan TV3.


"Keistimewaan yang dimiliki Papagomo adalah jelas membuktikan salah guna kuasa, dan menteri pertahanan mesti menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang pembohongannya dan hubungan intimnya dengan blogger Umno itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sejak dua hari lalu, Papagomo telah menulis di blognya bahawa beliau adalah "blogger pertama belayar di atas kapal selam Scorpene KD Tun Razak".

Dalam pos blognya semalam, beliau mengakui berada di kapal selam itu selama kira-kira lima jam, dan telah menemubual anak-anak kapal perkara-perkara berhubung kapal selam berkenaan yang dipercayai adalah rahsia negara.
Jejas keselamatan negara

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan mempersoal tindakan kementerian pertahanan membenarkan blogger kontoversi Umno itu menaiki kapal tersebut.

Bercakap kepada pemberita pada majlis makan malam amal parti itu di Straits Quay Pulau Pinang, malam tadi, Anwar mendakwa tindakan membawa Papagomo itu mungkin menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga turut melahirkan rasa hairan seolah-olah Papagomo 'berada di atas undang-undang' dan tidak perlu mematuhi mana-mana undang-undang negara.

Justeru, kata Anwar, kehadiran Papagomo di sekitar kapal selam berkenaan merupakan satu isu penting bagi pihak pembangkang ketengahkan kerana keselamatan negara mungkin telah terjejas.

Beliau mendesak pihak polis supaya segera menyiasat perkara itu.