Pages

Saturday, August 4, 2012

Kelantan mahu royalti dibayar sebelum Aidilfitri

NURUL AINI MOHAMED ALI
4 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berharap agar rundingan tuntutan royalti yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri bagi meraikan perjuangan rakyat Kelantan selama ini.
Abdul Fattah yang juga Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO berkata, ia perlu diselesaikan segera bagi memberi hadiah kepada rakyat Kelantan yang selama ini memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan oleh Kerajaan Pusat.
“Kalau boleh selesai sebelum hari raya ini, lagi bagus. Saya menyambut baik niat Perdana Menteri ini bagi mengadakan perbincangan,” ulas beliau kepada Sinar Harian Online.
Naib Presiden Pas dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa merupakan pengerusi jawatankuasa tersebut.
Nik Aziz awal pagi tadi memberitahu yang Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau semalam berhubung perkara tersebut.
"Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Nik Aziz.

Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Beberapa jam selepas kenyataan Nik Aziz itu, Najib berkata, pentadbirannya telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan isu berkenaan.
Jawatankuasa itu diberi tempoh enam bulan.
Abdul Fattah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau menambah, inti pati perbincangan kelak mestilah tidak lari daripada perjanjian yang telah dimeterai pada 1975.
“Saya turut berharap agar royalti dibayar secara terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui wang ihsan seperti yang terkandung dalam perjanjian,” katanya.
Beliau turut bersetuju jika pihaknya menghantar wakil dalam jawatankuasa jika mahu memantau dari segi perbelanjaan wang royalti.
“Perjuangan Nik Aziz selama ini terbukti benar kerana beliau berjuang untuk rakyat. Kita tolak ke tepi sebarang muslihat politik tetapi mesti melihat isu ini adalah semata-mata kerana kepentingan rakyat,” tambah beliau sama ada pendirian terbaru Putrajaya kemungkinan satu strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kita tidak mahu lihat sama ada ia muslihat atau tidak, kami hendak berbincang dan kami mahu royalti diserahkan kepada rakyat Kelantan," katanya lagi.
Bagaimanapun beliau menegaskan, perkembangan hari ini membuktikan perjuangan dan tindakan Nik Aziz dalam isu pertikaian royalti minyak adalah betul.
m